Staf Kejurulatihan Dortmund Bantah Pembelian Sancho Kerana Rekod Disiplinnya Sangat Teruk

Jadon Sancho kini dikaitkan dengan kepulangan ke kelab lamanya Borussia Dortmund. Ini selepas pengurusan tertinggi kelab itu dikatakan berminat untuk membawa pulang pemain itu selepas menjualnya ke United pada 2021 dengan nilai £85 juta atau kira kira €100 juta.

Perbincangan di kalangan bos besar di Dortmund tentang idea membawa pulang Sancho rancak dibincangkan dalam beberapa hari ini.

Pemain itu masih lagi digantung oleh kelab selepas masih enggan meminta maaf kepada Erik Ten Hag. Terbaru dia dilarang berlatih dengan pasukan utama malah dilarang berada di perkarangan dewan makan kelab untuk mengawal dia daripada mempengaruhi rakannya yang lain.

Sancho dikatakan benar benar marah dengan tindakan Man United itu. Dan sedia untuk meninggalkan kelab itu pada Januari hadapan.

Beberapa kelab sudah memantau situasi Sancho termasuk kelab dari Arab Saudi dan juga Borussia Dortmund dari Jerman.

Man United sedia melelong Sancho dengan harga diskaun hampir separuh harga. Di mana kelab meletakkan tanda harga hanya £52 juta untuk Sancho. United dikatakan tidak mahu melayan sebarang usaha kelab lain yang mahu mendapatkan Sancho secara pinjaman. Kerana mereka memilih untuk berunding tentang perpindahan tetap.

Sejak menyertai Man United Sancho gagal untuk menepati harapan yang tinggi diletakkan ke atasnya. Dia gagal menjadi pemain kesebelasan utama secara konsisten di Man United. Kehadiran Erik Ten Hag awalnya dianggap sebagai faktor yang boleh membantu kebangkitan Sancho. Namun itu gagal berlaku.

Sancho malah bertelagah dengan Ten Hag dan menuduh pengurus itu seringkali menjadikannya kambing hitam sejak dari dulu.

Terbaru, BILD melaporkan bos bos besar dalam pengurusan tertinggi Borsussia Dortmund serius mahu membawa pulang Jadon Sancho. Mereka mahukan perpindahan secara pinjaman untuk pemain itu dengan pilihan pembelian tetap. Namun Man United lebih memilih untuk perpindahan tetap dengan harga diskaun £52 juta.

Tetapi idea itu dikatakan tidak begitu digemari staf kejurulatihan di Borussia Dortmund. Ini kerana rekod lampau pemain itu menunjukkan pemain itu selalu datang lambat ke latihan atau taklimat pasukan. Dia juga kerap terus menghilang tanpa jejak sebaik sahaja selepas tamat perlawanan. Hilang dalam 2 atau 3 hari.

Sehingga satu ketika Sancho diminta sama kumpulan dengan Erling Haaland agar dia mengikuti disiplin pemain itu. Ianya membantu sedikit mengawal masalah disiplin pemain itu.

Ten Hag sebelum ini tidak mahu melabel pemain itu bermasalah disiplin spekulasi media menyatakan Ten Hag seolah olah menyatakan bahawa pemain itu ada isu disiplin dengan latihan.

Selepas Sancho mengeluarkan kenyataan panas itu, Ten Hag dikatakan mahu mengenakan syarat disiplin khas kepada Sancho jika dia terus kekal di Man United pada Januari. Dia perlu melapor diri sejam lebih awal untuk latihan dan taklimat pasukan berbanding pemain lain. Jelas sekali masalah Sancho adalah disiplin.

Seterusnya, pengurus Dortmund juga mendapati Sancho ada masalah serius dengan tak cukup tidur. Dia seorang yang tak tidur malam, bermain game playstation atau konsol lain sehingga dinihari. Selain itu dia kerap berparti malam hari. Gaya hidup Sancho itu dianggap tidak bagus untuk pembangunan dan pengekalan peak pemain itu.

Dan Dortmund tidak pernah mendedahkan secara terbuka masalah disiplin yang teruk itu. Kerana mereka pada masa itu mahu memastikan nilai harga Sancho kekal £100-£120 juta. Cuma laporan media luar sahaja yang pernah mengkantoikan Sancho pernah didenda kerana lewat ke latihan.

Walaubagaimanapun, pandangan staf kejurulatihan ini mungkin tidak akan diambil peduli oleh pengurusan tertinggi yang sentiasa menganggap Sancho sebagai anak emas kelab itu selama ini. Pengurus pasukan Dortmund mahukan jaminan, jika Sancho dibawa masuk, kos budget Sancho tak akan mengganggu kos dana perpindahan yang dia mahu gunakan untuk membeli pemain lain.

Seterusnya, Dortmund perlu layak ke UCL musim hadapan untuk memastikan impak kewangan mereka tidak terkesan jika mendapatkan Sancho secara tetap.