Statistik: 10 Penyerang Tempatan Terbaik 2019

Pada musim 2019 JDT menjuarai liga buat kali ke-6 secara berturut-turut. Walaupun tersingkir di pusingan ke-3 Piala FA, JDT melengkapkan kejuaraan berganda apabila menewaskan Kedah 2-0 di perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sementara itu Kedah merangkul trofi Piala FA. Pahang menjadi pasukan ke-3 paling mencabar apabila menamatkan musim di tangga ke-2 liga dan mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Selangor pula membuat pecutan saat akhir dan berada di tangga ke-3 liga disamping mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Siapakah 10 penyerang tempatan paling banyak bermain  dengan pasukan masing-masing terutamanya melibatkan 4 pasukan teratas melibatkan semua pertandingan?

Mari kita lihat mengikut susunan pasukan yang terbaik dan seterusnya.

1. Safawi Rashid (JDT)

35 (3) penampilan, 19 gol

Selepas tiba di Johor pada musim 2017, pemain kelahiran Terengganu ini berkembang dengan baik.

Pada permulaannya, Safawi hanya bermain 11 (10), bertindak sebagai pemain simpanan kepada Gabriel Guerra.

Pada musim berikut, penyerang kanan ini hanya terlepas 1 perlawanan liga. Memasuki 2019 Safawi sudah mengesahkan dia adalah pemain utama pasukan secara total dengan tampil 20 kali dari 22 perlawanan liga sebagai pemain kesebelasan utama.

Tidak ada mana-mana peyerang tempatan di pasukan lain mampu mendapat tempat sebanyak dia. Atas faktor ini, dia merupakan pemain penyerang terbaik di Malaysia.

Prestasi Safawi agak mengagumkan pada kempen Piala Malaysia apabila mengumpul 11 gol dari 10 perlawanannya, terlepas 1 perlawanan akibat penggantungan ketika pasukan turun bertemu UiTM pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Jaringan tunggal JDT ketika tewas kepada Shadong Luneng merupakan jaringan pertamanya di pentas Liga Juara Asia dan ia merupakan jaringan ke-6 peribadi dipertandingan kelab Asia.

Tanpa ragu-ragu Safawi berhak ditabalkan sebagai penyerang terbaik pada tahun lepas.

2. Zaquan Adha Radzak (Kedah)

22 (12) penampilan, 3 gol

Secara formasi Thanabalan Nadarajah merupakan penyerang tengah pasukan Aidil Sharin. Pemain ini merupakan penyerang ke-2 pasukan selepas Fernando Rodriguez.

Zaquan pula bertindak sebagai pemain sayap di sebelah kanan, akan tetapi dalam bentuk menyerang, pemain yang berusia 32 tahun pada ketika itu boleh dikatakan sebagai seorang penyerang.

Jadi kami memilih Zaquan sebagai penyerang tempatan paling digunakan berbanding Thanabalan.

Apabila Tan Cheng Hoe banyak membuat panggilan bagi menaggalas cabaran negara, pemain ini mempunyai minit perlawanan yang cukup walaupun hanya menyumbang 3 gol sepanjang musim.

Ketiga-tiga jaringan itu berlaku dalam perlawanan kecil ketika menentang Felda United dan Selangor United.

Walau bagaimanapun dia merupakan penyerang penting dalam peranannya ketika Thanabalan hanya muncul 2 kali sebagai pemain kesebelasan utama sepanjang 38 perlawanan Kedah musim lalu.

Daripada 2 perlawanan tersebut, Thanabalan menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Perak 4-2 pada perlawanan ke-21 Liga Super.

3. Norshahrul Idlan Talaha (Pahang)

21 (7) penampilan, 3 gol

Norshahrul digunakan secara bergilir di 2-3 posisi pasukan Pahang. Dickson Nwakaeme agak disenangi oleh penyokong namun kecergasan pemain yang dikenali sebagai ‘jantan miang’ ini terus membataskan penampilannya.

Ze Eduardo Love bermain dalam kesemua 17 perlawanan sepanjang berada disana, sentuhan terbaiknya tiba pada penghujung bulan 3 sehingga pertengahan bulan 4 apabila mencetak 4 gol dari 4 perlawanan.

Tetapi dia tidak digemari penyokong dan diganti dengan Lazarus Kaimbi.

Norshahrul menjadi pemain yang digunakan sebagai penyerang tengah apabila Nwakaeme tidak diturunkan. Jika sebaliknya pemain yang mempunyai ketinggian 171 sentimeter ini akan bermain di bahagian sayap kiri.

Malahan jika Mamadou Sumareh tiada, nama Norshahrul menjadi yang pertama dalam percaturan Dollah Salleh untuk berada di sayap kanan.

Begitulah Norshahrul meraih banyak perlawanan pada musim tersebut. Menjadi pemain ke-2 dalam semua posisi. Penyerang tengah, sayap kiri kadang-kadang di kanan.

3 jaringan Norshahrul muncul pada 2 bulan pertama kempen domestik, baki 7 bulan lagi Norshahrul gagal menjumpai sebarang sentuhan di depan pintu gol lawan.

4. Kyril Muhymeen Zambri (Selangor)

12 (3) penampilan, 5 gol

Jika tidak kerana hubungan dingin antara Amri Yahya dan Sathianatan Baskaran, mungkin pemain kelahiran Tanjung Karang ini lebih banyak bermain berbanding Kyril.

Amri hanya membuat penampilan 9 kali sebagai pemain kesebelasan utama tetapi dimasukkan 11 kali dari bangku simpanan.

Jumlah tersebut lebih banyak dari Kyril iaitu 20 penampilan berbanding 15 dari Kyril tetapi pemain yang berasal dari Kedah itu lebih banyak tampil dalam senarai utama.

Sehingga  penghujung Mei, Kyril tidak pernah muncul dalam kesebelasan utama kecuali hanya bermain 14 minit pada 2 perlawanan.

Pemain ini berada dalam senarai kecederaan dan bergelut untuk mendapatkan kecergasan yang diperlukan oleh Liga Super.

Pada pertengahan Jun akhirnya Kyril berjaya kembali. Menyumbang 3 gol pada 7 perlawanan terakhir liga dimana pemain ini bermain sebanyak 6 kali.

Dia seterusnya tampil dalam 6 perlawanan terakhir Piala Malaysia, menambah 2 lagi gol dalam koleksi peribadi sebelum Selangor tunduk kepada JDT dengan agregat 1-5 di pusingan suku akhir.

5. Shahrel Fikri (Perak)

15 (13) penampilan, 4 gol

Sekembalinya Shahrel ke Liga M dari Thai League 1, pemain ini dipinjamkan kepada Perak dari PKNP.

Secara teknikalnya ia merupakan musim pertama Shahrel di Perak dan pasukan ke-3 dalam karier profesionalnya selepas PKNP dan Nakhon Ratchashima.

Sama seperti Kedah, Pahang dan Selangor, bukan mudah bagi seorang penyerang tempatan mendapat tempat di posisi penyerang tengah.

Perak seperti Selangor menggunakan penyerang berkembar dan mempunyai 2 penyerang import utama.

28 kemunculan Shahrel merupakan angka yang baik bagi seorang pemain tempatan di posisi ini.

Duo Brazil Gilmar dan Wander Luiz merupakan penyerang utama Mehmet Durakovic. Perak membuat double change dengan mengenepikan penyerang ini, membawa masuk Raianderson Moraes (Careca) dan Ronaldo Silva.

Di sebalik perubahan itu Shahrel berjaya muncul lebih banyak pada pertengahan liga, ketika transisi perubahan itu berlaku.

Shahrel bermain 8 kali diantara LS6 hingga LS15, sedikit mengecewakan pemain ini hanya menjaringkan 1 gol dan ia merupakan gol tunggalnya dalam kempen liga.

Shahrel bermula agak baik pada pertandingan Piala FA apabila menjaringkan gol penting menewaskan N.Sembilan 2-1 di pusingan ke-2.

Namun gagal menjaringkan sebarang gol pada baki 6 perlawanan seterusnya dalam perjalanan Perak menuju ke pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Seterusnya pemain ini sekali lagi menampilkan penyudah yang baik pada awal kemunculannya, menjaringkan 2 gol ketika diturunkan kali pertama sebagai pemain kesebelasan utama ketika bertemu Pahang dalam perlawanan ke-5 Piala Malaysia.

2 jaringan itu memberi 3 mata apabila Perak berjaya menewaskan Pahang 3-1.

Kesimpulannya, 4 jaringan pemain ini hanya berlaku pada kemunculan awal saingan, 1 gol pada kemunculan ke-2 liga, 1 gol pada perlawanan pertama Piala FA dan 2 gol pada perlawanan ke-2 peribadi.

Mehmet perlu mencari jawapan bagaimana mahu meneruskan jaringan tersebut supaya lebih pemyudah Shahrel konsisten.

6. Azim Rahim (Felda United)

13 (8) penampilan, 3 gol

Kenapa Felda United disenaraikan sebagai pasukan ke-6 terbaik berbanding Terengganu dan Melaka United?

Nidzam Jamil membuat kejutan apabila berjaya membawa pasukannya menjadi 4 terbaik dalam kancah Piala FA.

Terengganu dan Melaka United tidak berjaya menjadi 4 terbaik dalam mana-mana pertandingan.

Disebalik pencapaian itu, timbul nama Azim Rahim yang bertindak sebagai penyerang tempatan paling kerap bermain bersama pasukannya.

Pemain berusia 22 tahun ini mempunyai larian yang baik bagi memecah blok pertahanan lawan ketika hantaran bola ke belakang pemain lawan dilakukan.

Nidzam mempunyai masalah dengan pemain penyerang import apabila Jycee John Okwunwanne hanya sempat bermain 2 kali sebelum dikeluarkan.

Tiada pemain ganti yang dimasukkan oleh Felda dan Azim meraih peluang bermain lebih-lebih lagi ketika Thiago Quirino juga mempunyai masalah sebelum ketibaan penyerang Singapura Khairul Amri Kamal.

Penyerang muda ini perlu bekerja lebih kuat untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyerang terbaik di Malaysia melalui peluang yang diperolehi.

3 jaringan Azim berlaku hanya dalam 2 perlawanan, kedua-duanya ketika menentang Kuala Lumpur pada perlawanan ke-9 liga dan pusingan suku akhir Piala FA. Kedua-dua perlawanan tersebut juga berakhir dengan keputusan seri 1-0 dan 3-3.

Azim tidak mempunyai jaringan yang banyak tertapi dia merupakan penyerang tempatan yang paling banyak bermain di Felda United.

7. Ashaari Samsuddin (Terengganu)

5 (11) penampilan, 2 gol

Antara Khairul Anwar Shahruddin, Syamim Yahya, Abdul Malik Arif, Khairul Izuan Rosli dan Ashaari Samsuddin, siapakah pemain paling hampir dengan ciri-ciri seorang penyerang?

Kesemuanya banyak bertindak sebagai pemain sayap pasukan atau menyerang dari sisi. Kami memilih Ashaari.

Hanya turun 2 kali sebagai pemain kesebelasan utama di liga, sekali di Piala FA dan 2 kali di Piala Malaysia. Sangat sedikit tapi inilah pemain yang boleh memenuhi kriteria ‘penyerang tempatan yang paling banyak bermain dengan pasukan masing-masing’.

Apa fakta menarik tentang pemain berusia ini pada musim 2019?

Secara umumnya pemain 34 tahun ini diberi peranan sebagai pemain simpanan, bukan pemain utama. Apabila Ashaari tampil dalam kesebelasan utama, dia akan menjaringkan gol.

2 kali dia disenaraikan pada aksi liga, 1 gol dihasilkannya. Perlawanan tunggal sebagai pemain utama di Piala FA, dia juga menjaringkan 1 gol.

Cuma Ashaari tidak dapat meneruskan catatan menarik itu pada 2 pelawanannya di Piala Malaysia.

8. Tiada penyerang tempatan (Melaka United)

Pahit untuk ditulis, jika anda mencari pasukan mana yang tidak menggunakan penyerang tempatan ia adalah Melaka United.

Dalam senarai pasukan Zainal Abidin Hassan hanya Nurshamil Ghani yang berada dalam kategori penyerang. Pemain ini hanya bermain 28 minit (2 perlawanan) sepanjang musim.

Serangan tengah Melaka United dikuasai sepenuhnya oleh Casagrande, Davy Angan dan Luca Milunovic. Patrick Reitchel pula mendominasi di bahagian kanan dengan tampil 27/28 perlawanan Melaka United.

Pemain tempatan yang paling hampir dengan unit serangan adalah Gopinathan Ramachandran (nama lama) dan Nazrin Nawi. Tetapi mereka bukan penyerang.

Dalam kes ini Zainal tidak membantu Tan Cheng Hoe walaupun jurulatih ini merupakan antara bekas penyerang digeruni di Asia Tenggara.

9. Jafri Firdaus Chew (PKNS)

10 (9) penampilan, 2 gol

Pada awal musim Kpah Sherman, Gabriel Guerra dan Chan Vanathaka adalah trio serangan utama pasukan Rajagopal Khrisna.

Menjelang pertengahan musim Vanathaka dilepaskan dan Jafri Firdaus Chew meraih peluang bermain di posisi kanan PKNS.

Debut pertama 2019 Jafri sebagai pemain utama melihat penyerang ini menjaringkan gol. Ia berlaku ketika perlawanan yang berkesudahan dengan jumlah jaringan terbesar liga.

PKNS tewas kepada Kedah di Darul Aman dengan keputusan 4-5. Rodney Celvin, Tarmilan Kozubaev, Kpah Sherman dan Jafri merupakan penjaring gol.

Jafri bermain dalam kesemua 6 perlawanan Piala Malaysia namun hanya berjaya mencetak 1 gol dari 7 jaringan keseluruhan pasukannya.

Hanya Romel Morales dan Guerra yang berjaya mencetak 2 jaringan.

Jafri antara penyerang Malaysia yang masih mempunyai peluang untuk menjadi pemain baik. Dia baru berusia 22 tahun dan sudah mempunyai banyak pengalaman domestik dan antarabangsa terutamanya di peringkat B-23.

Hanya kesukaran mencari pasukan terbaik baginya menjadi cabaran.

10. Safee Sali (Petaling Jaya City)

11 (10) penampilan, 4 gol

Jika tidak kerana detik hitam yang berlaku di Perlis, Devan Kuppusamy mungkin mengikut jejak Zainal Abidin Hassan. Tiada penyerang tempatan untuk digunakan.

Devan hanya mempunyai 1 nama yang sudah lama hilang dari radar kancah domestik dalam skuadnya, Thamil Arasu Ambumamee. Bekas penyerang Kuala Lumpur ini hanya bermain 28 minit sepanjang tahun 2019.

Safee Sali tiba pada pertengah Februari dan pada ketika itu Giancarlo dipinjamkan ke PKNP meninggalkan Serginho dan Pedro Henrique di unit serangan pasukan.

Safee tampil 8 kali berturut-turut di liga selepas ketibaan itu tetapi hilang tempat apabila Washington Brandao dibawa masuk pada pertengahan musim.

Fakta yang tidak boleh ditandingi oleh penyerang tempatan lain, Safee menjaringkan 3 gol liga dan 3 jaringan tersebut menghadiah 7 mata terus kepada pasukannya.

Penjaring gol ketika seri menentang Pahang (1-1), 1 gol ketika menumbangkan Kuala Lumpur (1-0) dan 1 gol lagi ketika menewaskan Melaka United (1-0).

Baki 1 gol lagi dijaringkan ketika Petaling Jaya City menang keatas UiTM pada pusingan ke-2 Piala FA.

Safee tidak pernah muncul sebagai pemain kesebelasan utama dalam 6 perlawanan Piala Malaysia, hanya meraih 50 minit sebagai pemain simapanan yang dimasukan dari bangku simpanan sebanyak 5 kali.

Penyerang terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia ini sudah berusia 36 tahun pada 29 Januari lepas.

Rumusan

Kami tidak menyenaraikan penyerang tempatan dari PKNP dan Kuala Lumpur kerana 2 pasukan ini agak terkebawah dari sudut pencapaiannya dalam 3 pertandingan domestik.

Safawi Rashid merupakan penyerang terbaik dimiliki oleh negara pada masa kini. Melalui statistik ini, penyerang yang berusia 23 tahun ini terlalu jauh didepan dalam konteks jumlah jaringan.

Malahan dia antara penyerang yang sudah mendapat tempat sebagai penyerang utama berbanding penyerang lain.

Lebih menarik ia berlaku dalam pasukan terbaik di Malaysia, sesuatu yang bukan senang untuk dilakukan oleh penyerang tempatan.

*Nota: Statistik ini merangkumi jumlah semua perlawanan. Liga Super, Piala Fa, Piala Malaysia dan Liga Juara Asia 2019.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.