Statistik: Perak 2020 Lebih Baik Dari Perak 2017-2019

Pada tahun 2018 Perak telah menjuarai Piala Malaysia apabila menewaskan Terengganu di Shah Alam melalui penentuan sepakan penalti. Pada musim yang sama mereka menamatkan liga di tangga ke-2.

Setahun selepas itu pasukan ini mara ke perlawanan akhir Piala FA namun ditewaskan oleh negeri jirannya, Kedah.

Ia merupakan pencapaian terbaik Perak dalam tempoh 2017-2019.

Hanya 2 ketua jurulatih yang terlibat dalam tempoh tersebut iaitu Karl Heinz-Weigang dan Mehmet Durakovic.

Durakovic menggantikan Weigang pada 22 Februari 2017 ketika Perak sudah mengharungi 8 perlawanan dan jurulatih dari Australia itu kekal sehingga hari ini.

2017-2019 menyaksikan Perak bermain 108 perlawanan.

Dalam tempoh itu, siapakah pemain tempatan terbaik yang pernah tampil dalam pasukan ini.

Berikut 11 pemain mengikut formasi 4-5-1, pemain paling banyak bermain

GK. Hafizul Hakim Nizam Jothy, 96 penampilan (88.9%)

Penjaga gol yang lahir pada tahun 1993 ini telah tampil dalam majoriti perlawanan. Hanya terlepas 12 perlawanan dari 108, 30 kali berjaya mengelak gawangnya dibolosi (clean sheet).

Perak mengekalkan bekas penjaga gol P.Pinang, Khairul Amri Salehuddin untuk berada di posisi ke-2 selama beberapa musim.

Nasrullah Aziz yang bertindak sebagai penjaga gol ke-3 pada musim lepas telah diberi peluang bermain dalam 4 perlawanan awal pada musim ini.

Hafizul yang akan memasuki umur 27 tahun dan dijangka akan kembali menjadi penjaga utama, mungkin Nasrullah akan menggantikan Amri dikedudukan ke-2.

Penjaga itu akan berusia 31 tahun dan Nasrullah pula 23 tahun.

Trio pertahanan tempatan dari promosi 2016

DR. Amirul Azhan Azman, 82 (5) penampilan (80.5%)

Pemain ini bermula dengan skuad utama Perak pada 2016. Setahun selepas itu dia sudah menjadi pertahanan utama pasukan ketika berusia 23 tahun dengan tampil sebanyak 26 (3) kali.

Seterusnya Azahan mengukuhkan kedudukannya dengan 29 dan 27 (2) penampilan pada 2 musim seterusnya.

Pada mulanya Ibrahim Aziz (bekas pemain DRB-Hicom) dibawa masuk untuk menjadi pemain simpanan, selepas itu Idris Ahmad diberi peluang untuk menjadi pemain simpanan di 2 posisi iaitu pertahanan kanan dan tengah.

DL. Nazirul Naim Che Hashim, 95 (2) penampilan (89.8%)

Nazirul antara 3 bekas pemain Malaysia B-19, bermain dalam kelayakan Piala Asia di bawah kendalian Ismail Ibrahim satu masa dahulu.

Salah seorang lagi yang berjaya menempatkan diri dalam kancah teringgi saingan domestik juga berada dalam pasukan Perak iaitu Shahrul Saad.

Seperti Azahan, Nazirul mula masuk ke dalam skuad utama pada tahun 2016 ketika berusia 23 tahun.

Pemain ini terlalu dominan sehinggakan Perak tidak memerlukan pemain pertahanan kiri ke-2 yang khusus dalam pasukan.

Jika dia tidak dapat diturunkan, Rafiuddin akan menampung kekosongan itu. Pada musim awalnya ia mungkin pemain tengah seperti Jasazrin Jamaluddin akan bermain disitu jika Nazirul tiada.

Gol yang paling diingati oleh pemain ini adalah pada 13 Mei 2019 apabila jaringan itu berjaya mengikat PKNS 3-3 ketika perlawnanan berbaki 10 minit.

Nazirul mengumpul 3 gol sepanjang 2017-2019. Pada musim ini dia masih belum diturunkan sebagai kesebelasan utama tapi telah tampil 9 minit dalam perlawanan terakhir Perak.

DC. Shahrul Saad, 85 (9) penampilan (87.0%)

Tidak dinafikan Shahrul merupakan pemain Malaysia B-19 (2012) paling berjaya apabila dia menembusi skuad utama negara pada masa kini.

Pemain ini juga merupakan kumpulan pertahanan yang diangkat oleh pasukan Perak pada 2016. Jadi trio pertahanan tempatan Perak sekarang bermula pada tahun itu.

Shahrul pada mulanya lebih kerap bermain di bahagian tengah ketika Shahrom Kalam berada dalam pasukan.

Walaupun tidak berada dalam posisi utamanya, pemain ini masih mampu menjadi pemain penting apabila tampil sebanyak 21 (9) kali pada tahun 2016.

Apabila Shahrom tidak dikekalkan, Shahrul bermain sebanyak 64 kali di posisi itu pada tahun 2018 dan 2019.

Shahrul merekod 8 jaringan pada 3 musim terakhir, pemain ini juga sudah menjaringkan 2 gol pada 4 perlawanan awal musim ini.

DC. Shahrom Kalam, 26 penampilan (24.1%)

Shahrom merupakan pertahanan utama pada musim 2017, bergandingan dengan Thiago Junior.

Bermain sebanyak 17 kali di liga, sekali di Piala FA dan 9 penampilan di Piala Malaysia. Tidak menjaringkan sebarang gol.

Pemain ini tidak dikekalkan dan ia menjadi satu peluang besar kepada Shahrul Saad menandakan posisi itu miliknya.

Pemain tengah yang mempunyai rekod kecederaan

MC. Nasir Basharuddin, 74 (9) penampilan (76.9%)

Tiada pemain tempatan yang lebih banyak bermain bersama Perak di posisi ini selain Nasir. Posisi yang dikemudikan oleh Leandro sejak 2 musim lepas.

Nasir lebih kerap diggunakan Mehmet Durakovic di bahagian sisi kanan ketika Hafiz Kamal bersama Perak pada 2016.

Kecederaan Hafiz memberi laluan kepada Nasir bergandingan dengan Leandro. Hafiz gagal kembali dari kecederaan dan tidak membuat sebarang penampilan selepas itu.

Ironinya, Nasir juga ditimpa dengan banyak siri kecederaan selepas musim 2018. Pemain ini menjaringkan 6 gol sebelum cedera.

MC. Brendan Gan 48 (3) penampilan (47.3%)

Mempunyai isu sama seperti Nasir dan Hafiz, kecederaan panjang. Cuma Brendan cedera sebelum bersama Perak.

Selepas mula cergas sepenuhnya pada lewat Mei 2018, Brendan Gan memacu jentera tengah pasukan Perak menjulang Piala Malaysia.

Pemain kelahiran Australia ini menjadi yang terbaik dalam kategori tempatan selepas Nasir di bahagian tengah.

Gan menjaringkan lebih gol pada musim ke-2 dengan 6 gol berbanding hanya 1 pada musim sebelumnya.

MC. Hafiz Kamal, 29 (1) penampilan (27.8%)

Hanya mempunyai 1 musim berguna dari 2 musimnya di Perak berikutan kecederaan yang dialaminya. 2016 merupakan tahun pemain ini tampil 29 (1) kali bergandingan dengan Faton Toski (yang lebih menyerang).

Hafiz menyertai Perak dari Selangor, membantu pasukan ini menamatkan kempen liga di tempat ke-5. Tewas di pusingan ke-2 Piala FA tetapi mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh JDT.

Hafiz mengumpulkan 4 jaringan ketika bersama Perak.

Shahrel laung keyakinan dan sasaran

AMR. Zaquan Adha, 22 (9) penampilan (28.7%)

Sayap kanan merupakan posisi paling kerap bertukar pemain. Dari Zaquan kepada Misagh Bahadoran kemudian digalas oleh Kenny Pallraj buat sementara waktu sebelum ketibaan Parthiban Jayasekaran.

Antara 4 pemain ini mungkin Zaquan berada di senarai tertinggi.

Ketika Parthiban dibawa masuk, pemain tidak menguasai peranannya dan digilirkan dengan Firdaus Saiyadi sepanjang musim 2019.

Zaquan menjaringkan 2 gol selama bersama dengan Perak.

Statistinya tidak terlalu kukuh dan jika Parthiban atau Firdaus kerap bermain pada musim ini sudah tentu mereka akan mengenepikan nama Zaquan dalam senarai ini.

AML. Norhakim Hassan, 70 penampilan (64.8%)

Terdapat 2 nama yang agak seimbang dimiliki Perak diposisi ini. Norhakim Hassan dan Nazrin Nawi.

Norhakim Hassan lebih banyak menyumbangkan gol kepada pasukan.

Pemain ini menjaringkan 7 gol pada musim pertamanya dimana pada masa itu dia mula menyisihkan nama Nazrin dari senarai pemain utama.

Nazrin bermain sebanyak 19 (5) kali sebelum ketibaan Norhakim dan pemain ini tidak mampu menyaingi Norhakim apabila hanya tampil 5 (19) kali.

Norhakim menjadi pemain utama di bahagian sayap kiri selama 2 musim sebelum menyertai Selangor dengan 11 gol terkumpul.

SC. Shahrel Fikri, 15 (5) penampilan (18.5%)

Siapa lagi senarai penyerang tempatan yang boleh disenaraikan?

Hadi Yahya, Nizad Ayub atau Shahrel. Sudah tentu Shahrel.

Belum lagi menjadi yang terbaik tetapi sudah menjadi yang terbaik dari senarai pemain yang ada pada musim 2017 hingga 2019.

Mehmet menggunakan sepenuhnya tenaga import dalam membentuk penyerang berkembarnya. Mewarisi Yasir Pinto dan Vladislav Mirchev dan membawa masuk Gilmar.

Seterusnya menggantikan Gilmar dan Wander Luiz kepada Ronaldo Silva dan Raianderson Morais (Careca).

Nampak gayanya pada musim ini Shahrel akan diberi lebih kepercayaan mengemudi serangan Perak bersama Guilherme de Paula.

Shahrel sudah tampil dalam kesemua 4 perlawanan Perak dan menjaringkan 3 gol. Pada musim sebelumnya dia menjaringkan 4 gol iaitu 1 di liga, 1 di Piala FA dan 2 di Piala Malaysia.

Rumusan

Melihat kepada perkembangan keluar masuk pasukan ini sejak 2017, musim ini merupakan antara barisan yang terkuat dimilikinya.

Azahan, Nazirul dan Shahrul sudah menjadi senior dan mempunyai banyak pengalaman bermain. Sudah merasainya sekurang-kurangnya 2 kali final pertandingan piala.

Mereka juga sudah menghampiri penampilan yang ke-100.

Leandro memasuki musim ke-3 dimana tidak akan timbul isu mahukan masa untuk penyesuaian.

Jika Brendan meninggalkan Perak, pasukan ini mempunyai Chanta Theiry Bin yang sudah mempunyai pencapaian baik di liga M bersama Terengganu.

Shahrel melaungkan keyakinan dan mahu mencabar penyerang import untuk menjadi penjaring terbanyak selepas mempunyai 3 gol dalam akaunnya.

Careca difungsikan di bahagian kiri dan mungkin Parthiban-Firdaus sekali lagi akan bergilir bermain di sebelah kanan sebelum musim ini.

Baca yang lain