Statistik Sumareh Bersama Pahang Dan Malaysia. Bagaimana Nasibnya Di JDT?

Pada tahun 2017 Mamadao Sumareh menyertai Pahang dari Perlis. Pemain ini berada bawah Dollah Salleh ketika berada di Kangar.

Dollah sudah tahu tentang kemampuan pemain kelahiran Gambia itu.

Dengan status pemain asing, sudah pasti dia akan digunakan semaksima mungkin kerana itu tipikal kita tentang apa yang perlu disumbang oleh pemain luar.

Mari kita lihat siapa Sumareh selama 3 musim lebih bersama Pahang dan Malaysia.

2017 (33 PENAMPILAN, 11 GOL)

Sumareh menyertai Jae Wan Heo (Korea Selatan), Matthew Alves (Brazil) dan Bright Dike (AS) bagi memperkuatkan cabaran Pahang selepas musim eksperimen 2016.

Pada pertengahan musim, Tok Gajah menggugurkan Dike dan menggantikannya dengan Yamil Romero (Argentina).

Pahang muncul naib juara dibelakang JDT dengan perbezaan 9 mata. Mereka juga mara ke final Piala FA tetapi tewas kepada Kedah 2-3.

Final tersebut mudah diingati ekoran insiden Kiko Insa dilayangkan kad merah seawal minit-32 dan pada ketika itu Romero melakukan debut bersama Pahang.

Romero hanya menjaringkan 2 gol dari 13 perlawanan dimainkannya, lebih buruk dari Dike yang menjaringkan angka sama tetapi hanya dalam 4 (4) perlawanan.

Sementara itu Alves bersaing siapa lagi banyak sumbat gol dengan Mohamed Ghaddar (Kelantan) dan Sumareh pula agak stabil di bahagian sayap kanan.

Bersama kem negara Sumareh jarang menjaringkan gol penting tetapi dia lebih berguna dari Joseph Kallang Tie, Christie Jayaselan mahupun Nurridzuan Abu Hassan.

Dalam pertandingan Piala Malaysia, Pahang mara ke Peringkat suku akhir sebelum tewas di tangan Perak walaupun menang 3-1 pada perlwanan pertama di Darul Makmur.

Liga Super: Naib Juara

Piala FA: Naib Juara

Piala Malaysia: Suku akhir

2018 (34 PENAMPILAN, 4 GOL)

Musim dimana Sumareh mendapat kerakyatan Malaysia. Sumareh tampil bersama skuad Harimau Malaysia pada Oktober ketika menentang membenam Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan.

Ia merupakan debut cemerlang dari pemain berusia 24 tahun itu apabila mencetuskan kebangkitan selepas Malaysia ketinggalan 0-1.

Sumareh menjaringkan 2 gol dan Malaysia menang 4-1.

Sebelum itu, Sumareh merupakan sebahagian pemain utama Pahang yang mengulangi kemaraan ke final Piala FA.

Pada kali ini mereka bertemu dengan Selangor dan menang 2-0 hasil jaringan Nor Azam Aziz dan Patrick Cruz.

Walaupun prestasi mereka di liga menurun berbanding musim sebelumnya namun Pahang masih mengekalkan pencapaian cemerlang di Piala Malaysia.

Liga Super: ke-4

Piala FA: Juara

Piala Malaysia: Suku Akhir

2019 (31 PENAMPILAN, 5 GOL)

Sumareh terus mengekalkan status pemain utama Pahang -sayap kanan- selama 3 musim.

Pahang tidak mencapai sebarang final seperti 2 musim sebelumnya, namun skuad Dollah Salleh masih boleh dibanggakan.

Mereka kembali menjadi pasukan ke-2 terbaik liga dan melangkah ke separuh akhir dalam 2 pertandingan Piala.

Pahang hampir melakukan hatrik di final Piala FA namun Perak sekali lagi melakukan magis 2017 apabila bangkit di Ipoh selepas tumbang di Kuantan 1-3.

Sumareh gagal membantu Pahang apabila terikat 8-8 melalui agregat di tangan Kedah pada separuh akhir Piala Malaysia.

Sumareh tidak memahat namanya dalam 8 jaringan oleh pasukannya.

Liga Super: Naib Juara

Piala FA: Separuh Akhir

Piala Malaysia: Separuh Akhir

2020 (3 PENAMPILAN, 0 GOL)

Sumareh kerap diturunkan sebagai center forward berbanding sayap kanan.

Ketika bertemu Sabah (2-0) dan Melaka United (1-0) Sumareh mengisi kekosongan yang tidak dapat dimainkan oleh Dickson Nwakaeme yang kurang cergas.

Walaupun Sumareh tidak menjaringkan sebarang gol dalam 2 perlawanan terakhir Pahang, keputusan 2 perlawanan tersebut memihak kepada Pahang.

2 kemenangan yang penting selepas mereka tewas pada 2 perlawanan awal bertemu Selangor dan Petaling Jaya City yang mana Sumareh tidak berada dalam kesebelasan utama.

RUMUSAN

Sumareh bukanlah seorang penyerang yang mampu menjadi penjaring yang konsisten, malah dia tidak mempunyai koleksi jaringan yang banyak untuk dilabelkan sebegitu.

Sumareh juga bukan seorang pemain yang boleh mengubah keputusan, jaringan domestiknya tidak bernilai tinggi.

Ia bukan gol kemenangan, kebanyakanya gol tambahan selepas Pahang sudah mendahului lawan.

Tetapi ada 2 perkara yang luar biasa pada pemain ini.

Pertama, dia boleh meningkatkan tempo permainanan melalui larian dan menjadi dynamic play terutamanya di bahagian kanan.

Kedua, apa yang dilakukan Sumareh bersama Pahang agak berbeza ketika kem negara. Dia tiba-tiba mampu merekod purata jaringan tinggi.

Lebih menarik dia boleh menjadi pengubah keputusan perlawanan.

18 PENAMPILAN DAN 7 JARINGAN ANTARABANGSA SUMAREH. ADAKAH MALAYSIA BERTAMBAH BAIK?

Sebelum kehadiran Mamadou Sumareh, Malaysia melalui fasa yang agak tenat. Tidak pernah menang 12 perlawanan selama setahun bermula pada November 2016 sehingga Mac 2018.

Penghujung 2017 Tan Cheng Hoe dibawa masuk mengendalikan skuad utama Harimau Malaya. Bekas jurulatih Kedah ini mula mengenalpasti pemain yang dimahukannya bagi menggalas cabaran Malaysia.

Sementara itu sekitar jendela perpindahan pemain 2018, cerita Mamadou Sumareh akan dinaturalisasikan menjadi kenyataan.

Pada masa sama, Malaysia mula menunjukkan perkembangan positif apabila meraih 3 menang dari 4 perlawanan- sebelum Sumareh membuat debut antarabangsanya.

SUMAREH MELAKUKAN DEBUT YANG MENYAKINKAN

Pada panggilan antarabangsa Oktober 2018 nama Sumareh mula berada dalam skuad Malaysia.

Malaysia dalam persiapan untuk mengharungi Kejohanan AFF 2018 yang akan berlangsung pada November pada tahun tersebut.

Sumareh muncul ketika bertemu Sri Lanka, menyumbang 2 gol dalam kemenangan 4-1. Sumareh terus diuji pada 2 perlawanan persahabatan selepas itu.

SUMAREH DI PIALA SUZUKI AFF

Sumareh semakin mendapat kepercayaan dari Tan Cheng Hoe bagi mengisi posisi sayap kanan Malaysia.

Pemain kelahiran Gambia ini muncul 7 kali dari 8 perlawanan yang menyaksikan Malaysia mara ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada Vietnam 2-3 melalui agregat.

Pemain ini sentiasa bermula di sebelah sayap kanan sebagai pemain kesebelasan utama.

Safawi Rashid dan Akhyar Rashid bergilir di sayap kiri.

SAYAP KANAN MILIK SUMAREH

Dalam kejohanan itu Sumareh gagal menyumbangkan sebarang jaringan tetapi prestasi Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Abdul Radzak sudah mencukupi membawa Malaysia ke pentas akhir.

7 jaringan dari 2 penyerang veteran ini merumuskan negara tidak mempunyai isu penyerang ‘hambar’ ketika itu.

Panggilan pertama minggu antarabangsa 2019, Sumareh terus diberi kepercayaan bagi menghadapi Piala Airmarine.

Pemain ini tampil 2 perlawanan dalam pertandingan yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Singapura 0-1, menang penentuan tempat ke-3 menewaskan Afghanistan 2-1.

SUMAREH MULA YAKIN, TAN CHENG HOE SIMPAN UNTUK PERLAWANAN BESAR

Kalendar pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula pada Jun 2019.

Malaysia menyusun persiapan rapi dengan mengatur 1 perlawanan persahabatan setiap kali minggu antarabangsa.

Sumareh sentiasa berada bersama skuad Tan Cheng Hoe dalam 4 panggilan antarabangsa yang berlangsung pada Julai, September, Oktober dan November.

Menariknya Sumareh tidak pernah diturunkan di kesemua 4 perlawanan persahabatan, tetapi akan membarisi kesebelasan utama pasukan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia/Asia.

Bermakna Tan Cheng Hoe sudah yakin dengan pemain ini dan menyimpannya untuk perlawanan besar.

Baca yang lain