Statistik Tak Masuk Akal Thiago Silva Yang Membantu Fluminense Keluar Daripada Zon Penyingkiran

Thiago Silva benar benar membantu Fluminense daripada menjadi pasukan yang bocor kepada pasukan yang kebal dan kental di barisan pertahanan.

Thiago Silva sebelum ini mengumumkan bahawa dia akan kembali semula ke bekas kelab lamanya, Fluminense. Kelab yang awalnya sertai sebagai pemain pinjaman pada 2006 dan kemudian mendapat kontrak tetap pada 2007.

Dari situlah dia dipantau oleh AC Milan dan kemudian ditandatangani kelab gergasi Serie A itu. Dia kemudian menikmati karier terbaik di Milan dan menjadi bek tengah terbaik di dunia pada kemuncak prestasinya.

Krisis kewangan Milan memaksa dia terpaksa menerima perpindahan ke PSG kerana perlu membantu kelab mendapatkan wang pada masa itu. Ketika di PSG dia cemerlang membantu revolusi kelab tersebut pada era pemilikan Qatar.

Setelah karier yang panjang dan cemerlang bersama PSG, dia menyertai Chelsea sebagai ejen bebas. Awalnya dianggap sudah ‘habis peak’. Tetapi dia membuktikan dia masih ada keringat untuk bermain tahap tertinggi. Ketika Chelsea sedang dalam masalah, dia membantu Chelsea bangkit di bawah era Tuchel yang masuk, dan mereka menjuarai UCL.

Tetapi krisis kecederaan kerap mengganggunya dan dia akhirnya kembali semula ke Brazil selepas revolusi Chelsea di bawah pemilikan Todd Boehly. Dia memilih kembali semula ke Fluminense yang penuh dengan masalah prestasi.

Tiba di sana dia menjadi ketua kebangkitan mereka dalam beberapa perlawanan terakhir ini. Bekas bintang Chelsea dan PSG serta Milan itu kini sudah beraksi enam perlawanan sejak menyertai kelab tersebut dan membantu mereka dalam 5 kemenangan daripada tempoh tersebut.

Fluminense tidak bolos dalam kesemua perlawanan yang Thiago Silva beraksi di atas padang. Dia mencatatkan 91% hantaran tepat memenangi 67% pertarungan udara serta terlibat dalam 36 aksi bertahan. Laman statistik Sofascore memberikan dia purata 7.2 mata setakat ini. Satu skor sangat tinggi.

Oleh itu Fluminense kini berjaya keluar daripada zon penyingkiran dengan 2 mata di atas zon tersebut. Walaupun perjuangan masih belum selesai untuk mereka benar benar kekal dalam Serie A Brazil, namun keadaan semasa memihak kepada Fluminense untuk mengawal ‘nasib’ mereka sendiri dalam baki musim ini.

Sebelum debut kedua oleh Thiago Silva bersama dengan mereka, Fluminense telah banyak menelan kekalahan dan hanya 1 kemenangan. Sejak di tiba dia sudah membantu kelab itu menang 5 kali dan kini keseluruhan 6 kemenangan.

Keyakinan pasukan mereka kini semakin bertambah dengan adanya Thiago Silva di barisan pertahanan. Pemain yang memiliki karier luar biasa di Eropah dan bersama skuad kebangsaan. Thiago Silva seringkali dianggap sebagai salah seorang bek tengah terbaik sepanjang zaman pada eranya.

Bukan sahaja pemain yang hebat dia juga seorang pemimpin luar biasa. Memiliki aura yang kuat.

Pemain berusia 39 itu kini akan meneruskan misi untuk membantu Fluminense agar mereka berjaya mengelak daripada penyingkiran musim ini.