Stefano Pioli: Liku-Liku dalam Mengembalikan Kegemilangan AC Milan

AC Milan kembali menjulang kejuaraan Serie A buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun setelah kali terakhir melakukannya pada musim 2010/2011.

Mengecewakan musuh tradisi Inter Milan dengan perbezaan 2 mata, kejayaan ini dianggap pencapaian besar berikutan prestasi terumbang-ambing dan masalah dalaman yang melanda kelab dalam dekad ini.

Ketika ramai yang menjulang tinggi peranan Zlatan Ibrahimovic, Paolo Maldini serta Ivan Gazidis dalam mentransformasi minda pengurusan dan pemain AC Milan, jangan dilupa pengaruh yang dibawa oleh pengurus kelab, Stefano Pioli.

Mari bersama penulis kita singkap peranan besar yang dibawa oleh lelaki budiman yang berasal dari Parma ini.

Resume Pengurusan yang Tidak Meyakinkan

Ketika dinamakan sebagai pengurus baharu Milan pada 2019 bagi menggantikan Marco Giampaolo, majoriti peminat pesimis dan meluahkan rasa kurang keyakinan di atas perlantikan itu.

Namun AC Milan ketika itu adalah kelab yang berada dalam satu tahap mereka hampir muflis kerana beban hutang yang sangat tinggi. Mereka dilarang beraksi dalam pentas eropah, itu memburukkan lagi keadaan. Mereka tidak boleh berbelanja besar. Dan hanya pengurus seperti Pioli yang sanggup bekerja dengan dana kecil.

Resume yang dibawa oleh beliau sangat biasa. Tiada piala yang mampu dijulang. Pernah menghumban Parma ke Serie B, 2 musim yang hambar bersama Bologna dimana hampir tersingkir ke Serie B, dipecat selepas hanya 90 hari bersama Palermo dan dipecat Inter Milan setelah 6 bulan. Pencapaian terbaik? Nombor 3 bersama Lazio pada musim 2014/2015.

Denga rekod suam-suam kuku begitu, boleh ke Pioli mampu membawa Milan bangkit dari abu membawa menguasai Itali dan seterusnya Eropah?

Hampir Diganti dengan Bapa Gegenpressing

Setelah menamatkan musim 2019/2020 di tempat ke-6, Pioli menandatangani kontrak sambungan selama 2 tahun lagi.

Dikhabarkan penyambungan kontrak itu tidak straight forward kerana dikhabarkan Ivam Gazidis ingin menggantikan Pioli dengan bapa gegenpressing, Ralf Rangnick.

Ini mencetuskan perang dingin di antara Maldini dan Gazidis. Akhirnya Gazidis akur dan membenarkan Maldini menyambung kontrak Pioli.

Tanda-tanda Kebangkitan

Milan muncul sebagai naib juara Serie A pada musim ke-2 Pioli melatih Milan setelah mengutip 79 mata, 12 mata dibelakang musuh setempat, Inter Milan.

Kebangkitan yang lama ditunggu peminat ini memberi sinar harapan kepada mereka untuk kembali menawan Itali pada musim seterusnya.

Pembelian yang baik seperti Zlatan, Simon Kjaer (loan) memberi kestabilan kepada skuad sedia ada. Mereka menampilkan ciri-ciri kepimpinan melalui teladan yang sangat ditagih skuad muda Milan.

Ini Itali Milan yang Punya

Pioli melengkapkan Cinderella Story beliau bersama Milan setelah berjaya menjulang Serie A yang ke-19 untuk AC Milan pada musim 2021/2022. Lagi manis menewaskan Inter dan juga rakan lama, Hakan Calhanoglu yang berhijrah ke Inter dengan harapan untuk menjulang kejuaraan liga.

Beliau yang sentiasa tenang ketika ditemubual tetap optimis yang mereka mampu menjulang kejuaraan liga walaupun pada suatu ketika ketinggalan.

Sekali lagi dengan pembelian yang baik dan bersesuain dengan taktikal beliau membantu. Olivier Giroud, Fikayo Tomori dan Mike Maignan melengkapkan skuad ampuh Milan.

Pioli juga berjaya menggilap bakat muda yang berpotensi sepert Rafael Leao, Sandro Tobali, Alexis Saelemakers dan Pierre Kalulu menjadi bakat yang menjadi tumpuan kelab-kelab besar eropah selepas ini.

Rumusan

Stefano Pioli bukanlah pakar taktikal yang digeruni di Itali namun ketenangan, resilien beliau akhirnya dapat menutup mulut pengkritik dan kembali memberi sinar harapan kepada penyokong Rossoneri.

Keep it simple, memastikan Milan menjadi pasukan yang sukar ditembusi, dan mengembalikan keharmonian pasukan menjadi tunjang utama kebangkitan AC MILAN dibawah kendalian beliau.

Grande Stefano!

Baca yang lain