Stephen Chow pernah berkongsi tentang idea filem Shaolin Soccer yang legenda. Agak mengejutkan apabila Chow memberitahu dia sebenarnya bukan seorang yang kelakar di luar set penggambaran.
“Saya sebenarnya tak kelakar langsung kat luar. Saya jenis pendiam,” kata Stephen Chow. Ye ke?
Stephen Chow digelar King Of Comedy Hong Kong. Dengan beberapa gaya lawak signifikan disusuli mimik muka yang mintak penampar.
Jika dia bukan seorang yang kelakar, bagaimana dia boleh berlakon kelakar? Rahsia Stephen Chow adalah dia berkawan dengan ramai orang kelakar. Dan dia menjadikan itu idea dan diserapkan ke dalam watak dalam filem serta lakonannya.
“Saya jenis suka memerhatikan orang. Untungnya saya ada ramai kawan yang kelakar. Saya juga mendapat beberapa idea daripada mereka ini semua.”
Shaolin Soccer telah menjadi naskah yang menjulang Stephen Chow sehingga ke luar negara terutama sekali pasaran Amerika Syarikat.
Menjadikan ianya filem pertama Stephen Chow yang dilancarkan di AS.
Filem yang mengisahkan seorang peminat bola sepak yang ada kemahiran kung fu terserempak dengan coach Ng Man Tat. Lalu mewujudkan idea membina pasukan Shaolin Soccer dengan mengumpul semula saudara sepeguruannya di kuil shaolin.
Mereka daripada latar belakang berbeza. Ada yang jenis berbadan besar, kurus, nerd dan sebagainya. Pada awalnya mereka tidak setuju dengan idea tersebut. Tetapi akhirnya mereka merasakan ada sesuatu yang membawa mereka kepada Chow.
Stephen Chow mengabadikan idolanya Bruce Lee dalam filem tersebut. Dengan watak penjaga gol mereka dengan gaya Bruce Lee.
“Bruce Lee idola saya sejak saya berusia 13 tahun,” kata aktor yang lahir di Shanghai tetapi membesar di Hong Kong.
“Saya sebenarnya banyak berlatih kung fu sebab nak tiru Bruce Lee. ”
Chow mencuba nasib untuk masuk ke industri hiburan namun banyak penolakan yang dia terima.
Sehinggalah akhirnya dia berjaya menyertai rancangan kanak kanak “430 Space Shuttle.”
“Saya tak ada pilihan masa tu. Saya benar benar mahu berlakon.”
Pada 1988 beliau mendapat peranan dalam “Final Justice,” akhirnya dia menemui fortenya dengan berlakon dalam filem komedi dalam “All for the Winner” pada 1990 – filem parodi “God of Gamblers” lakonan Chow Yung Fat.
Selain itu Stephen Chow juga melakukan tarian ala Thriller sebagai tribute kepada artis kegemarannya, Michael Jackson.
Tidak dinafikan bahawa Stephen Chow memang pakar dalam spoof. Dan kekuatan itu dikekalkan dalam filem Shaolin Soccer. Banyak rujukan yang digunakan beliau.
Namun Chow menyatakan dalam setiap filem jenakanya, dia akan cuba mengangkat tentang mesej moral.
“Saya cuma nak beritahu semua orang macam ni. Saya suka benda benda mengarut ni semua, namun sebenarnya ianya menghubungkan kita kepada sesuatu [mesej dan pengarajaran].”
“Bagi dia, wajah Mei yang hodoh itu tidak penting kerana itu cuma luaran. Kerana jika dia ada hati yang baik, itu lagi penting.”
Sumber: LaTimes