Suarez Bawa Atletico Hampiri Kejuaraan Liga, Barcelona Terkubur Terkena Comeback Lawan Sekali Lagi

Luis Suarez menjaringkan gol kemenangan lewat pada minit ke-88 untuk melengkapkan comeback ke atas Osasuna.

Osasuna di hadapan pada minit ke-75 menerusi Ante Budimir.

Ketika itu, Real Madrid sedang mendahului lawan mereka dan berada di atas carta secara langsungnya.

Tetapi Atletico bangkit dengan dua gol lewat perlawanan. Renan Lodi menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Namun euforia keraian Atletico adalah ketika Lui Suarez berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88. Sekaligus meletakkan Atletico kembali ke puncak liga menjelang perlawanan terakhir La Liga selepas ini.

Nasib berbeza ditanggung Barcelona. Kelab yang sinonim dengan Luis Suarez. Tetapi kehadiran Ronald Koeman sangat kejam. Dia datang terus menyenaraikan Suarez antara nama yang mahu dia buang.

Lebih kejam, Koeman tanpa berfikir panjang, mungkin terlalu teruja dapat jawatan, terus menyingkirkan Suarez menerusi SMS dan meminta pemain itu mencari kelab baharu.

Suarez menangis membayangkan, betapa kejamnya dirimu atas diriku. Lionel Messi antara pemain senior yang tak selesa dengan cara Barcelona melayan Suarez sebegitu rupa kerana pemain itu legenda Barca. Penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah Barca.

Agak ironi, Barcelona menjual Suarez mur mur ke Atletico Madrid. Simeone memang mencari penyerang selepas kehilangan Morata dan prestasi Diego Costa yang tidak menentu.

Alasan Koeman adalah Suarez dah terlalu tua untuk beraksi di tahap tertinggi.

Atletico dengan gembira mengutip Luis Suarez dan hasilnya, abang gigi terus menggigit Barca musim ini dan membantu Atletico berada di puncak menjelang hari terakhir La Liga.

Atletico hanya memerlukan kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga. Jika keciciran mata, seri atau kalah, dan Real Madrid menang, maka trofi milik Real Madrid yang ada kelebihan head to head jika mata sama.

Suarez memberikan kata kata semangat kepada semua warga Atletico:

“Kita berada di sana! Selangkah lagi! Ayuhhh!”

Atletico satu satunya pasukan yang mencelah di sebalik dominasi Real Madrid dan Barcelona dalam 16 tahun terakhir. Hanya sekali nama Atletico berada di celah celah, dan selebihnya hanya Barcelona dan Real Madrid.

Kini mereka berpeluang sekali lagi menjadi pengacau dominasi tersebut. Lebih bermakna ianya bakal diraikan dalam stadium baharu mereka.

Barcelona terus berduka. Mereka keciciran 10 mata dalam 4 perlawanan terakhir walaupun 3 daripadanya mereka mendahului kesemuanya.

Kekalahan kepada Celta membuatkan impian Barca untuk merampas semula La Liga terkubur. Kini tinggal persaingan dua kelab Madrid sahaja.

Kisah Suarez Akui Menangis Beberapa Hari Sebab Dibuang Dengan Kejam Oleh Barcelona

Luis Suarez mengakui bahawa dia menangis dan benar-benar kecewa kerana Barcelona membuangnya.

Suarez mengakhiri karier luar biasanya di Barcelona musim panas lalu berikutan Ronald Koeman yang baru dilantik telah memutuskan untuk tidak mahu mengguna pemain itu.

Koeman memberitahu Suarez dan memintanya mencari kelab baru.

Memang sukar untuk Suarez meninggalkan Barcelona dengan cara itu, kerana dia adalah penjaring terbanyak yang ketiga sepanjang zaman untuk Barcelona dengan 198 gol, hanya di belakang dari Lionel Messi dan Cesar.

Perpisahan itu menjadi emosional kerana Suarez sudah enam tahun bersama dengan Barcelona.

Itu adalah masa terpanjang dalam karier bola sepaknya berbanding kelab lain yang pernah diwakilinya selama ini.

Sebagai tambahan, bekas penyerang Liverpool itu telah membantu Barca menjulang empat gelaran La Liga, satu gelaran Liga Juara-Juara, empat gelaran Copa del Rey dan satu gelaran Piala Dunia Kelab.

Dia juga merupakan rakan untuk Lionel Messi sama ada di dalam dan di luar padang..mereka sangat akrab.

Luisito berkata:

“Saya tidak dapat menerimanya dengan baik kerana cara Barcelona memperlakukan saya, sangat kejam.”

“Kita mesti menerima hakikat bahawa akan tiba waktunya sesuatu itu akan berakhir.”

“Saya menangis berhari-hari kerana keadaan saya ketika itu.”

Suarez meninggalkan kompleks Barcelona dengan mengesat air matanya.

Namun selepas itu Suarez belajar untuk menerima hakikat yang paling pedih dan menghargai suasana baharu dengan rakan baharu di Atletico.

“Kemudian selepas itu saya mula belajar menikmatinya, merasa dihargai lagi sebagai pemain, disayangi, merasa dijaga oleh kelab yang menyambut saya dengan sangat luar biasa,” tambah Suarez.

Suarez menerima tawaran Atletico Madrid, yang menandatanganinya secara percuma dan hanya perlu membayar bonus sekitar €4-6 juta euro.

Atletico mendapatkan Suarez dengan kontrak selama dua tahun untuk menjadi sandaran utama di barisan hadapan.

“Ada banyak perkara yang tidak diketahui oleh orang ramai.”

“Tetapi ketika berada di Barcelona dan anda harus berlatih selain daripada 22 pemain lain …”

“Isteri saya menyedari kesedihan yang saya rasakan, kekecewaan yang mendalam pada masa itu. Mereka [keluarga] hanya ingin melihat saya bahagia,” kata Luis Suarez.