Subahan Kamal Bidas Lim Teong Kim: “Kenyataan Dia Bersifat Peribadi”

PETALING JAYA, 14 Dis — Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mewujudkan skuad projek FAM-MSN yang bakal bersaing dalam Liga Premier 2021 bertujuan memastikan pemain muda negara didedahkan dengan aksi kompetitif, kata Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata kenyataan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim bahawa penyertaan skuad berkenaan bakal membunuh pembangunan bakat muda di negara ini merupakan pandangan peribadi.

Subahan, yang merupakan Presiden Kelab Petaling Jaya City FC (PJ City FC), menegaskan FAM sentiasa memberi tumpuan bagi memastikan pemain muda negara mendapat pendedahan berterusan sebagai kesinambungan proses pembangunan di peringkat akar umbi.

“Bagi saya program ini adalah program baik, tapi macam biasalah, sesiapa pun ada pandangan (masing-masing), tetapi bagi saya, kita (FAM) tahu apa yang kita buat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis memperkenalkan bekas penyerang kebangsaan, Darren Lok sebagai pemain baharu PJ City FC, di sini, hari ini.

Subahan berkata: “Kita tidak menyatakan mereka betul atau salah, tetapi kita mempunyai beberapa individu (penting) dalam skuad berkenaan, dan pengurusan FAM mengetahui kita memerlukan program sebegini sebagai medan pendedahan untuk pemain-pemain muda itu sendiri.”

Mengulas lanjut, Subahan berkata FAM tidak mahu pemain muda terutamanya graduan AMD di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sekadar menjadi pemain profesional yang beraksi dalam kancah bola sepak tempatan, sebaliknya, meraih pendedahan berguna apabila bersaing dengan pemain asing di peringkat senior.

Katanya, FAM merancang untuk menghantar skuad projek FAM-MSN di luar negara pada masa akan datang sebagai medan pendedahan untuk meningkatkan kualiti permainan skuad berkenaan.

Semalam, Teong Kim mendakwa keputusan FAM untuk mewujudkan skuad itu, merupakan keputusan tidak masuk akal bagi pembangunan bakat muda dan bakal membunuh perkembangan kerjaya mereka di peringkat muda.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pemain skuad projek FAM-MSN beraksi dalam liga bawahan seperti saingan Piala Belia (Bawah 19 tahun) dan Piala Presiden (Bawah 21 tahun).

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari.

Skuad tersebut akan dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dan dibantu Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal).

— BERNAMA

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari