Subkhiddin: Hindle Patut Kena Kad Merah Kerana Berkelakuan Ganas Dengan Pengadil

Ingat lagi tak insiden melibatkan pengadil dan Jack Hindle dalam aksi di antara Kelantan FC dan Perak FC II? Di mana Hindle telah menolak pengadil yang menghadangnya daripada melakukan percubaan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pemain Kelantan FC, Jack Hindle sepatutnya dilayangkan kad merah.

Ini kerana menurut Subkhiddin, tindakan Hindle menolak pengadil Amirul Aizat sebagai tindakan ofensif ataupun berkelakuan ganas kepada pengadil.

Dipetik daripada BH Online Subkhiddin menjelaskan:

“Saya tidak pasti sama ada MFL akan menggunakan video itu sebagai akses untuk mereka mengambil hukuman. Ada sesetengah pertandingan atau negara yang menggunakanya.”

“Maknanya kalau pengadil terlepas insiden di atas padang, dia akan guna pula bukti video sebagai akses untuk mereka menghukum kalau ada kesalahan yang boleh mencemarkan imej bola sepak.”

“Tapi untuk pengadil itu, mungkin ini kali pertama berlaku pada dia dan dia pun tak pasti nak ambil keputusan apa. Tapi keputusan yang sepatutnya adalah kad merah kepada pemain itu kerana ia kesalahan berkelakuan ganas.”

“Jadi, kalau pengadil itu tidak pasti untuk mengambil keputusan, dia ada ‘match official team’, jadi kumpulan ini dia ada lagi pembantu pengadil 1, pembantu pengadil 2 dan ada pegawai keempat.”

Subkhoddin juga menyatakan bahawa pengadil perlu berbincang dengan pemain tentang kelakuan ganas seperti itu sebelum memulakan perlawanan. Ini bagi mengelakkan berlaku tidak konsistensi di dalam pengadilan.

“Sebelum memulakan semula perlawanan, mereka patut bincang, ini kesalahan ganas membabitkan kelakuan pemain. Oleh itu, kalau hari ini kita lepas, esok kalau orang lain buat dan kita bagi kad merah, orang tidak akan percaya.”

Namun begitu Subkhiddin tetap bersetuju bahawa Amirul Aizat berada di posisi yang salah ketika kejadian itu berlaku dan menyebabkan insiden itu berlaku.

Walaubagaimanapun, Subkhiddin tetap berpegang pada pendirian bahawa pemain tidak berhak bersikap ganas kepada pengadil walaupun mereka melakukan kesilapan termssuk dari segi posisi.

“Pengadil [memang] salah posisi, tetapi itu tak salah dari segi undang-undang. Tapi pemain, bila anda tidak dapat menahan emosi dan kelakuan, undang-undang akan ambil tindakan. Ini di bawah klausa kelakuan ganas.”

“Pengadil ini salah mungkin dari segi kekurangan pengalaman, mungkin dia pengadil dalam proses untuk diketengahkan. Satu yang baik adalah ia jadi satu pengajaran.

“Pengajaran bukan untuk pemain (Hindle) atau pengadil (Amirul) itu sahaja. Tapi untuk semua orang, ini satu pengajaran yang hebat yang mana pemain tidak boleh buat macam itu dan sebagai pengadil perlu berhati-hati di kawasan penalti,” tambah beliau lagi.


 

Laporan Kelantan lwn Perak ll: Jack Hindle Tolak Pengadil, Jack Hindle ‘Miss Penalty’

Kelantan turun memburu kemenangan pertama pada perlawanan pembukaan Liga Perdana di laman sendiri. Perlawanan ini dilihat menjadi peluang terbaik bagi pasukan kendalian Marco Ragini apbila hanya berdepan pasukan pembangunan dari Perak.

Untuk rekod, pada musim ini Kelantan membariskan skuad yang majoriti pemain tidak mempunyai banyak pengalaman bermain di liga utama. Kelantan hanya mengekalkan seorang pemain musim lepas iaitu penjaga gol Faridzuen Kamaruddin.

FORMASI

Ragini kembali menggunakan formasi 3-4-2-1 selepas bereksperimen dengan sistem back 4 ketika bertemu Melaka United dalam perlawanan persahabatan terakhirnya.

Ia dilihat satu keputusan tepat kerana peranan Christos Intzidis lebih efektif  di garisan pertahanan bersama Yusri dan Ghaffar berbanding di posisi defensive midfielder.

Pada perlawanan petang tadi, ketika pasukan Kelantan ketinggalan 0-1, Intzidis naik keatas membantu Jack Hindle melakukan tekanan kuat di barisan pertahanan Perak II bagi mencari gol penyamaan.

Emergency plan tersebut agak berkesan apabila Kelantan meraih banyak peluang dengan deretan percubaan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan. Sistem back 3 memudahkan perubahan peranan Intzidis kerana masih terdapat 2 center back digarisan terakhir Kelantan.

BABAK PERTAMA

Kelantan bermula agak perlawanan dan menjadi cemerlang pada lewat 15 minit terakhir. Situasi itu berlaku pada kedua-dua babak permainan.

Perak ll terlebih dahulu hampir mengejutkan Kelantan apabila hantaran silang dari sebelah kiri hampir menewaskan Nik Amin, namun penjaga itu sempat mengubah arah bola tersebut dari masuk ke dalam gawang.

Dua minit selepas itu Nursyamil Ghani mempunyai peluang untuk merembat bola ke dalam gawang Perak II, bagaimanapun pengadil terlebih dahulu meniupkan wisel kerana terdapat kekasaran yang berlaku dalam kotak penalti.

15 minit pertama pelawanan Perak II lebih menguasai bola. Yusri Yuhasmadi 2 kali meneutralkan serangan bahaya pasukan lawan.

Memasuki minit ke-20 Kelantan berubah menjadi semakin baik. Intzidis berjaya mematahkan serangan Perak II dan melakukan counter attack. Larian bergaya dari Hindle berjaya menewaskan pertahanan lawan namun rembatannya agak liar.

Selepas 30 minit Kelantan sepenuhnya cemerlang, 2 peluang hadir melalui tandukkan Nurshamil hasil hantaran berkualiti dari M.Yogaraj dari sebelah kiri. Hindle selepas itu sekali berjaya melepas 1 percubaan.

Serangan demi serangan tersebut terhenti pada minit ke-39 apabila pengadil perlawanan menghalang peluang Hindle melakukan percubaan dari jarak 6 ela.

 

 

Hindle agak bengang dengan situasi tersebut dan menolak pengadil sehingga terpelanting dan tergolek macam nangka busuk.

Pengadil meminta maaf, Hindle terus merepek kepadanya.

BABAK KEDUA

Seperti babak pertama, Kelantan sekali lagi bermula dengan perlahan. Kali ini pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan Johor itu menerima padah apabila Sergio Aguero berjaya melihat Hakimi Mat Isa sedang melakukan larian memecahkan blok pertahanan Kelantan.

Hakimi pantas menerima hantaran tersebut dengan melakukan satu percubaan menewaskan Nik Amin sebelum angel tertutup.

Tidak lama selepas itu Kelantan memperolehi satu peluang keemasan apabila Haziq Subri dijatuhkan dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Agak sayang kerana anugerah itu diberi pada awal babak permainan, fasa Kelantan agak sejuk. Ia ternyata betul apabila Hindle merembat liar sepakan penalti itu.

Moral pemain Kelantan jatuh selepas Perak II menjaringkan gol pendahuluan dan kegagalan Hindle menjaringkan gol penalti.

Selepas 20 minit baharulah skaud Ragini kembali menemui rentak permainan. Intzidis kerap naik ke atas bagi melakukan overload attacking. Mario Arques juga kerap masuk kedalam kotak penalti dan berjaya melakukan flick header menarik sehinggakan tiang perlu menjadi penyelamat untuk pasukan Perak II.

Hampir setengah dozen peluang terhidang yang gagal diterjemahkan oleh pasukan Kelantan.

RUMUSAN

Kedua-dua pasukan menampilan corak permaianan agresif yang kerap melakukan kekasaran. Perak II pasukan lebih baik pada awal permainan dan Kelantan merupakan pasukan lebih baik pada lewat perlawanan. Perak II menewaskan Kelantan 1-0.

MOTM: Hakimi Mat Isa (Gol kemenangan)

Sumber: BH Online

Baca yang lain