Sultan Johor: Lupakan Bazar Ramadan, Kesihatan Lebih Penting

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa, penganjuran bazar Ramadan di tengah wabak Covid-19 adalah tidak sesuai.

Baginda menyampaikan titah itu menerusi entri terbaru di Facebook milik baginda.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari Sultan Johor:

SULTAN JOHOR: PENGANJURAN BAZAR RAMADAN TIDAK SESUAI SUSULAN PENULARAN WABAK COVID-19

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menegaskan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini, adalah tidak sesuai untuk mengadakan Bazar Ramadan.

Baginda Tuanku Sultan bertitah ini adalah disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan Bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah ditempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan Bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah Baginda.

DYMM Sultan Johor bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini (2 April).

Baginda Tuanku Sultan bertitah masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.

“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.

“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah Baginda.

Rata-rata menyokong titah nasihat baginda Sultan Johor. Ini kerana Covid-19 adalah virus yang sangat mudah merebak menerusi sentuhan walaupun kontak minima.

Kita sudah cuba sedaya upaya untuk menjarakkan diri / social distancing ketika Perintah Kawalan Pergerakan / PKP.

Adalah lebih baik untuk kita membasmi sehingga negara kita benar benar bebas daripada koronavirus.