Tak Peduli Tangan Bengkak & Game Penting Kerana Jalur Gemilang Di Atas Segalanya Buat Chong Wei

Datuk Lee Chong Wei sekali lagi memenangi hati rakyat Malaysia dengan statusnya di Facebook pada Hari Kemerdekaan.

Ianya status yang harus dibaca oleh semua rakyat Malaysia. Perkongsian pengalaman daripada atlet legenda yang sudah banyak kali mengibarkan jalur gemilang dan cuba memastikan jalur gemilang berada di podium.

Beliau berkongsi detik di Sukan Olimpik Rio, di mana ketika itu rupanya tangan dia bengkak dan pada satu ketika rakannya mahu menggantikannya untuk memegang bendera.

Ini kerana Lee Chong Wei ada perlawanan penting selepas itu dan ianya risiko besar jika tangan beliau yang bengkak itu dirundung kecederaan yang lebih teruk.

Tetapi Lee Chong Wei meletakkan jalur gemilang di atas segala semua itu.

Ikuti perkongsian beliau.

LCW: “Ini bukan sekadar bendera. Ia lambang perpaduan satu keluarga besar”

“Chong Wei! Pi depan naikkan bendera!” Selalu juga I kena tegur cikgu disiplin, kantoi borak dgn member time perhimpunan sekolah.”

“Sengaja I main naik bendera laju-laju sebelum tamat lagu Negaraku. Kawan-kawan gelak sambil nyanyi. Cikgu disiplin nak marah tapi tak boleh lagu Negaraku masih jalan. Kenangan nakal Chong Wei. Ha!”

“Dua puluh tahun kemudian, kami tengah warm-up di stadium Rio centro Pavilion, dalam persiapan menghadapi sukan Olimpik. Motivasi masa itu memang setinggi Gunung Kinabalu.”

“Diminta training yang lagi insensif. Malang sungguh tak berbau, dalam satu pukulan lift, raket terpukul tangan kiri. Tergemam semua. I ingat mungkin fracture patah tangan kiri aku. Nasib baik selepas diperiksa doktor, tulang selamat tapi perlu dibalut ais untuk meredakan bengkak.”

“Petang tu, kami team Malaysia semua beransur ke Stadium Maracana. Perempuan pakai baju kebaya oren. Lelaki pakai songkok dan baju Melayu oren. Memang team paling ensem paling lawa malam tu. Pihak penganjur datang membawa bendera Malaysia.”

2016 Rio Olympics, Opening ceremony, Maracana, Rio de Janeiro, Brazil on August 5, 2016. Flagbearer Chong Wei Lee (MAS) of Malaysia leads his contingent during the opening ceremony. (Photo by Stoyan Nenov/Reuters)

“CDM Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid mengajukan jari kepada saya. Budak nakal yang suka main bendera inilah pembawa bendera khas negara temasya itu.”

“Baru ingat nak main kibar bendera macam wayang perang Samurai, terus jam. Amboi! Berat juga si Jalur Gemilang ni! Sakit sangat tangan kiri I nak angkat. Diperhatikan kesukaran saya oleh rakan sepasukan, ada yang suruh saya rehat, biar orang lain yang bawa bendera.”

“Chong Wei, anak saya tengah tunggu depan tv, nak tengok you bawa kita masuk stadium”, kata pula Muhaimin pegawai rasmi pasukan. Tidak mungkin saya menghampakan jutaan rakyat Malaysia di rumah.”

“Game memang penting, tanggungjawab terhadap Jalur Gemilang dan Negara lagilah penting.”

“Saya pun minta Sue Bock dapatkan pita selofan dan balutkan tiang bendera dengan tangan I. Biar tambah sokongan dan supaya tidak terlepas bendera kita nanti.”

“Beberapa minit sebelum perarakan masuk ke dalam stadium, sempat juga saya berborak ngan kontijen Madagasgar yang beratur di depan kami.”

“Cantik bendera kamu, tapi rumit. Tak seperti bendera kita, simple je”.

Linangan air mata patriotik

“Entah dari mana datangnya semangat, pandai pula saya jawab. ‘Brother, ini bukan sekadar bendera. Ia lambang perpaduan satu keluarga besar. Ia Negara saya. Ia satu tempat di mana keharmonian dan kebahagian dihargai dan dikecapi. Ia keluarga saya, rumah syurga saya’.”

“Kemudian, mulalah perarakan team Malaysia ke dalam Stadium Maracana.”

“Terbasah sikit jugak di mata. Bukanlah kerana sakit di tangan, tetapi kebanggaan menjulang bendera Malaysia, menjulang harapan jutaan rakyat Malaysia, menjulang nama negaraku, rumahku, Malaysiaku.”

“Selamat Hari Jadi ke-63, Malaysiaku.”

Baca yang lain