Pepe telah menolak tawaran daripada Vasco Da Gama di Brazil sebagai tanda protes ke atas keganasan yang selalu berlaku dalam bola sepak di Brazil.
Menurut Pepe, dia tidak suka dengan liga Brazil yang seringkali terlibat dalam kontroversi keganasan daripada penyokong sehingga ke pemain.
Pepe masih mahu melanjutkan lagi kariernya, namun buat masa ini, Brazil bukan destinasi yang dia pertimbangkan.
Sebelum ini Vasco Da Gama sangat yakin mereka akan mendapatkan Pepe. Terutama sekali selepas mereka berjaya mendapatkan Phillipe Coutinho dari Aston Villa secara pinjaman.
Ini adalah kepulangan bersejarah buat Coutinho ke kelab lamanya di Brazil.
Menurut laporan Presiden kelab, Pedrinho bagaimanapun terpaksa akur dan mengesahkan bahawa mereka sudah bercakap dengan Pepe untuk membawa masuk pemain itu.
Pedrinho berkata: “Ya kami ada bercakap dengan Pepe, pemain pertahanan terkemuka, namun dia menolak untuk datang ke sini [Brazil], kerana bimbang dengan aspek keselamatan.
“Pepe tidak suka dengan situasi bola sepak di Brazil yang seringkali berlaku keganasan..”
Pepe ketika ini masih belum ada kelab selepas kontraknya dengan FC Porto tamat. Dia baru baru ini masih menjadi pertahanan utama untuk Portugal dalam Euro 2024 walaupun sudah berusia 41 tahun.
Pihak kelab telah cuba menghubungi Pepe sejak bulan lalu lagi, malangnya pemain itu tidak menjawab dan tak berminat dengan tawaran daripada Vasco Da Gama.
Vasco tidak berputus asa dengan merasakan bahawa Pepe mungkin fokus kepada persiapan Euro pada masa itu. Selepas Euro tamat, wakil kelab sekali lagi menghubungi Pepe.
Dan ejen kepada pemain itu menyatakan bahawa dia tak berminat ke Liga Brazil kerana terlalu ganas.
Pepe merupakan pemain kelahiran Brazil yang memilih mewakili Portugal.
Kini dia turut menjadi perhatian beberapa kelab di Arab Saudi dan beberapa kelab Eropah yang lain.
Pepe yang menangis ketika tersingkir dari Euro 2024, berpelukan bersama CR7 pada masa itu, dilihat sudah mengesahkan bahawa dia tidak akan bermain lagi untuk skuad kebangsaan atas faktor usia.
Pepe kini masih bercuti bersama keluarganya selepas tamat Euro dan kemudian barulah dia memikirkan soal destinasi berikutnya.
Apa yang pasti Pepe memiliki perjalanan karier luar biasa tak kira di peringkat kelab dan di peringkat kebangsaan. Di peringkat kelab dia memenangi segalanya bersama dengan Real Madrid dan di peringkat kebangsaan dia pernah membantu Portugal menjuarai Euro 2016.