Tampar Coach Sendiri Dan Coach Lawan Antara 4 Momen Panas Gattuso Atas Padang

Gennaro Gattuso memang dikenali dengan sifatnya yang ganas dan panas baran. Walaupun badannya kecil namun dia sangat hati kering.

Berikut antara 4 detik panas Gattuso ketika beraksi di atas padang.

1. Gattuso menghantuk  Joe Jordan

Dalam aksi UCL di antara Milan dan Spurs pada 2011, berlaku salah satu insiden yang paling panas. Ini apabila Gattuso menghantuk jurulatih Spurs iaitu Joe Jordan pada pertengahan separuh masa kedua.

Flamini melakukan kekasaran ke atas Vedran Corluka yang membuatkan pemain itu terpaksa dikeluarkan. Joe Jordan sangat marah di tepi padang. Gattuso tidak berpuas hati dengan Jordan.

Gattuso berlari ke arah Jordan dan mencekik dan menolaknya. Beberapa minit selepas insiden itu Gattuso dibuang padang kerana mengasari Steven Pienaar, walaupun sebenarnya dia melakukan bentesan bersih dengan memenangi bola.

Bukan itu sahaja, kemarahan Gattuso malam itu juga dilepaskan kepada Peter Crouch.

Tidak terhenti di situ, Gattuso berjabat tangan dengan Harry Redknapp dan kemudian menghantuk Joe Jordan yang menurut Gattuso memanggilnya dengan panggilan ‘Italian bas**rd’. Gattuso menyatakan dia pernah bermain di Scotland dan faham apa yang dikatakan Jordan.

Jordan menafikan dia berkata begitu.

Pada 2018, Gattuso menyatakan dia sudah meminta maaf ke atas Jordan dan berkata sebagai seorang lelaki kena berani mengakui diri bersalah. Gattuso menyedari Jordan memang tidak bersalah.

Gattuso dan Jordan berdamai. Kedua duanya merupakan bekas pemain AC Milan.

2. Gattuso tampar Beckham – 2000

Dalam aksi persahabatan Itali dengan England, Gattuso telah menampar pemain paling popular di muka bumi ketika itu iaitu David Beckham.

England agak bercelaru ketika itu selepas perletakan jawatan Kevin Kegan.

Sementara itu Itali turut dalam proses mahu bangkit daripada kekecewaan dalam final Euro 2000 kalah di tangan Perancis.

Gattuso bermain sebagai kesebelasan utama buat pertama kali dan menjaringkan gol tunggal kariernya bersama Itali dengan rembatan jarak jauh.

Namun insiden panas berlaku apabila Gattuso menampar Beckham kerana tak berpuas hati pemain itu menurutnya lembik dan mudah sangat jatuh.

Beberapa tahun selepas itu Gattuso dan Beckham menjadi sahabat baik. Malah pada tahun 2010, ketika Gattuso membuka pasar ikan, Beckham turut datang membantu promosi beliau.

Beckham juga membantu Gattuso dengan bekerja di pasar tersebut pada hari pembukaan termasuk mengangkat ikan. Power tak?

3. Gattuso menampar Lippi

Tidak cukup dengan menampar jurulatih lawan dan pemain lawan, Gattuso kemudian menampar pengurusnya sendiri.

Sebelum perlawanan menentang Republik Czech, Gattuso memang sudah marah marah di hadapan media. Ianya selepas aksi kasar di antara Itali dan USA.

Gattuso ketika itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama kerana Daniele De Rossi menerima kad merah kerana menyiku Brian McBride.  Gattuso mendedahkan dia tak gembira kerana aksi tersebut merisikokan tempatnya dalam aksi seterusnya.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Republik Czech, Itali cuma memerlukan seri untuk mengelak bertemu Brazil di peringkat 16 akhir.

Itali mendahului 1-0 sehingga minit ke-87, Inzaghi memastikan kemenangan mereka dengan menggelecek Petr Cech.

Gattuso terlalu gembira meraikan gol itu dan berlari ke tepi padang lalu menampar Marcello Lippi. Reaksi Lippi ketika itu tergamam.

Gattuso memang jenis ganas kalau meraikan sesuatu yang mendebarkan.

Ancelotti pun pernah menjadi mangsanya kena goncang kat kepala.

Beberapa tahun selepas itu Lippi menyatakan dia faham dengan Gattuso. Memang jenis macam tu, dan  Lippi mendedahkan dia yakin Gattuso akan menjadi pengurus yang bagus. Lippi melihat cara Gattuso menguruskan pasukan ketika di Milan mirip kepada gaya dirinya masa muda muda dulu.

4) Gattuso menganjing Christian Poulsen – 2005

Dalam aksi Liga Juara Juara Eropah antara Milan dan Schalke, selepas tamat perlawanan Gattuso berlari ke arah  Poulsen dan memprovokasipemain itu. Lalu Poulsen panas nak bertumbuk dengan Gattuso.

Keadaan itu memaksa pemain lain termasuk Clarence Seedorf menenangkan keadaan.

Gattuso masih berdendam dengan Poulsen. Pertamanya  insiden Euro 2004, Gattuso menuduh Poulsen memprovokasi Totti sehingga pemain itu dan berkali kali mengasari Totti.

Dalam perlawanan tersebut, Gattuso sempat meludah Poulsen.

Pada aksi UCL 2005/06, Poulsen sekali lagi menggunakan taktik kotor ke atas Kaka. Mengasari playmaker  tersebut dan memprovokasinya sepanjang malam. Perlawanan di Jerman berakhir 2-2.

Dalam aksi timbal balik di San Siro, Milan menyingkirkan Schalke. Gattuso kemudian  pergi ke arah Poulsen dan memprovokasi pemain itu.

Gatttuso memberitahu wartawan: “Saya tidak akan maafkan Poulsen. Dia beberapa kali mengasari Kaka dan melakukan beberapa bentesan kotor yang tak perlu. Saya mempertahankan kawan saya. Kaka tidak layak mendapat layanan sekotor itu kerana Kaka seorang yang sangat baik. Kaka malah tidak mampu membunuh seekor semut pun.”

Gattuso tak suka gaduh gaduh

Namun keadaannya kini sudah berubah. Gattuso menyatakan dia menyesal dengan barannya di atas padang.

Usia mendewasakan kita, itulah kata pujangga yang seringkali kita dengar.

Beliau sendiri mengakui, ketika menjadi pemain, beliau sangat mudah dipanaskan ‘enjin’ jika ada insiden.

Sebaliknya dalam aksi di antara AC Milan dan Lazio pada 2019 – di mana beliau menjadi pengurus Rossoneri, beliau menjadi penenang kepada para pemain kedua-dua pasukan yang sedang bertengkar dan mahu bercakaran.

Gattuso menjerit dan memarahi para pemain kedua-dua pasukan dan meminta mereka menghentikan pergaduhan. Dalam perlawanan tegang tersebut, AC Milan menang 1-0 di tempat sendiri. Gol kemenangan AC Milan dijaringkan Frank Kessie pada minit ke-10.

Mengulas tentang insiden pergelutan para pemain, Gattuso berkata: “Saya tidak gemar perkara seperti itu lagi. Saya sendiri berusaha sedaya upaya – mengerah otot saya berlari ke arah mereka untuk menenangkan semua orang.”

“Saya sedang duduk di tempat duduk pengurus dan saya melihat para pemain bertikam lidah. Paling penting perkara itu harus berakhir di situ.”

Ada beberapa wartawan agak lucu mendengar Gattuso cuba menenangkan keadaan. Lalu Gattuso berkata lagi:

“Ya, ketika saya masih menjadi pemain, saya sangat ‘suka’ dengan perkara seperti ini. Senang-senang sahaja insiden seperti itu menghidupkan ‘api’ saya.”

“Namun sekarang [selepas semakin berusia], saya sudah melihat perspektif berbeza. Lagipun saya sudah terlalu tua untuk benda-benda seperti itu.”

“Tambahan pula, jika saya bagi penampar kepada mana-mana pemain. Sudah pasti saya akan mendapat balik tamparan daripada pemain – mereka pergi ke gym lebih banyak berbanding saya – jadi penampar mereka jauh lebih kuat.”