Tan Cheng Hoe Letak Jawatan

Ketua jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya pada hari ini.

Perletakkan jawatan itu berlaku selepas beberapa minggu lalu, Malaysia terkeluar dari peringkat kumpulan dalam Piala AFF 2020.

Tan Cheng Hoe bukan nama asing dalam kejurulatihan skuad kebangsaan. Di mana beliau pernah berkhidmat selama 14 tahun bersama skuad kebangsaan sebagai penolong jurulatih skuad B-20.

Potensi Ah Hoe diserlahkan lagi ketika menjadi jurulatih pasukan Kedah dan membawa kejayaan kepada Lang Merah termasuk memenangi promosi ke Liga Super dan kejayaan menjuarai Piala Malaysia.

Tan Cheng Hoe kemudian kembali semula ke pangkuan FAM sebagai pembantu kepada Nelo Vingada aka The Professor.

Selepas Nelo Vingada menunjukkan prestasi hambar, Nelo Vingada dipecat dan digantikan dengan Tan Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe memberikan nafas baru kepada skuad kebangsaan dengan gaya permainan lebih teratur berbanding sebelum ini.

Menamatkan rekod tanpa menang Vingada dengan mencipta beberapa keputusan memberangsangkan. Membantu Malaysia mara ke final Piala AFF 2018 – tewas kepada Vietnam pada ketika itu.

Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Tan Cheng Hoe bergelut untuk mendapat prestasi terbaik terutama sekali dalam edisi Piala AFF 2020 baru baru ini di Singapura.

Lantas Tan Cheng Hoe dan FAM mencapai kesepakatan bersama untuk penamatan kontrak.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan rasminya berkata:

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memaklumkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

“Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih.

Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini.”

Siapakah bakal menjadi pengganti Tan Cheng Hoe di kerusi skuad kebangsaan selepas ini?

Dan ke manakah destinasi jurulatih tersebut? Beliau tetap memiliki reputasi yang sangat baik di peringkat domestik untuk menarik minat banyak kelab di Malaysia.