Tata Martino Tak Risau ‘Benchkan’ Atau Keluarkan Messi: “Dia Sangat Profesional”

Lionel Messi masuk sebagai pemain gantian ketika melakukan debut MLS semalam. Messi fokus untuk mengeluarkan Inter Miami dari tangga tercorot liga bagi persidangan timur.

Dan kapten Argentina serta Inter Miami itu memberikan impak yang luar biasa macam biasa. Dia malah menjaringkan salah satu gol yang sangat cantik tahun ini.

Messi masuk minit ke-60 menggantikan Leonardo Campana. Dia membantu Inter Miami menang 2-0.

Ini adalah kali kedua Messi masuk sebagai pemain gantian. Sebelum ini dia masuk sebagai pemain gantian ketika aksi Piala Liga menentang Cruz Azul.

Kemudian dalam aksi berdepan Atlanta dia dikeluarkan pada minit ke-78. Membuatkan ada wartawan bertanya kepada Tata Martino, adakah dia tidak risau melakukan perkara itu.

Bagaimana dengan Lionel Messi? Pernah tak dia merungut ketika dikeluarkan atau diletakkan di bangku simpanan.

Tata Martino menyatakan: “Messi seorang pemain yang sentiasa mahu bermain sepenuh masa. Namun dia juga menghormati keputusan kelab untuk memastikan dia kekal cergas pada perlawanan berikutnya.”

“Kami baru sahaja melalui keletihan yang  teruk sehingga dia perlu berehat pada masa-masa tertentu.”

“Dia menjalani jadual yang sibuk yang sangat luar biasa dengan semua pertandingan dia terlibat dalam sebulan terakhir ini.”

“Keputusan diambil demi kebaikannya untuk memulihkan keadaan sedikit,” tegas Tata Martino yang pernah menjadi pengurus Messi di Barcelona.

Selain daripada mahu memastikan Messi tidak terlalu banyak digunakan secara melampau / overused, Tata juga menegaskan bahawa mereka juga perlu memastikan pemain sandaran di posisi itu dapat menggalas tugas dengan baik.

Ini untuk memastikan kelab dapat bermain dengan sistem yang sama walaupun tanpa Messi.

Tata Martino malah menyatakan bahawa setiap orang harus sedar dengan kemungkinan Messi tidak akan dapat bermain untuk tempoh lama.

“Saya faham semua orang ingin melihatnya bermain. Kami tidak akan memeras tenaga pemain secara berlebihan,” tambah Martino.

“Kami tak boleh terpengaruh dengan apa yang orang ramai inginkan.”

“Dia akan bermain dalam sekurang-kurangnya tiga pertandingan tahun ini, begitu juga tahun depan.”

“Kami harus faham bahawa ketika dia tiada dalam pasukan [atas faktor tertentu], skuad ini harus boleh diharapkan.”