Tawaran £20 Juta West Ham Nak Beli Maguire Ditolak Begitu Sahaja

West Ham United sebelum ini cuba membeli Scott McTominay dengan nilai sekitar £30 juta namun ditolak Man United kerana tanda harga pemain itu kini £50 juta. Man United sedia mendengar tawaran bermula £45 juta sebelum bonus.

Dan kemudian West Ham menyatakan bahawa harga itu terlalu mahal, boleh menyebabkan mereka membelanjakan hampir separuh harga Declan Rice untuk seorang pemain.

Kini Moyes beralih ke seorang lagi pemain Man United iaitu Harry Maguire. Moyes sudah lama meminati Maguire. Malah dia antara pengurus yang sentiasa memantau perkembangan Harry Maguire.

Man United dilaporkan sedia mendengar tawaran daripada mana mana kelab untuk bekas kapten mereka itu. Asalkan dapat jual. Selain daripada cuba meraih pendapatan, United juga mahu mengurangkan bil gaji pemain mereka.

West Ham menawarkan harga £20 juta untuk pemain yang mereka rasakan tidak diperlukan Erik Ten Hag itu.

Namun Man United menolak bidaan itu sebagai terlalu rendah. Mereka meminta bidaan lebih tinggi dengan pakej bayaran lebih menarik daripada West Ham.

Dalam erti kata lain, United mahukan tawaran lebih tinggi dengan pakej bayaran lump sump, bukannya ansuran.

Selain itu, isu gaji pemain itu juga menjadi masalah buat West Ham. Kerana Maguire enggan mengurangkan gajinya jika menyertai pasukan David Moyes itu.

Lebih mengejutkan apabila Man United memberitahu West Ham, mereka tidak pernah mendesak Maguire keluar dan sedia mengekalkan pemain itu sebagai depth player, jika Maguire tidak ada masalah untuk menjadi pemain simpanan tetap.

Seterusnya, Man United menegaskan kepada West Ham, Maguire adalah ‘kekal sebagai salah seorang pemain penting’ dalam skuad Man United.

Jadi Man United memberitahu West Ham bahawa mereka tidak akan sesekali menjual Maguire dengan nilai serendah £20 juta.

Man United kini memberikan peluang kepada West Ham untuk merenung kembali situasi itu. Jika mereka masih berminat mendapatkan Harry Maguire, mereka harus menawarkan harga lebih tinggi.

Dan pada masa yang sama, Maguire juga mengharapkan West Ham tidak menawarkan gaji yang kurang daripada apa dia dapat di Old Trafford.

Harry Maguire kini menerima gaji sekitar £190k seminggu di Man United. Dengan kejayaan Man United kembali ke UCL, gaji itu boleh menjadi £230k seminggu jika semua bonus prestasi teraktif.