Tawaran €180 Juta Untuk Mbappe: Real Beri Amaran Minta PSG Beri Kata Putus Esok

Real Madrid sudah melancarkan dua bidaan ke atas Kylian Mbappe. Dan kedua duanya ditolak oleh PSG.

Bidaan pertama dilaporkan bernilai €160 juta. Leonardo menyatakan bahawa bidaan itu jauh daripada tanda harga Mbappe yang mereka letakkan.

PSG mahukan sekurang kurangnya €180 juta dan meminta Real Madrid membayar €35 juta lagi kepada AS Monaco. Yang merupakan bonus tertunggak pembelian Mbappe yang dibeli dari Monaco pada 2018.

PSG membeli Mbappe dengan nilai €180 juta secara keseluruhan. Dan mereka merasakan bahawa Real Madrid harus menawarkan harga sekitar €200 juta untuk pemain itu.

Real Madrid kemudian datang dengan bidaan kedua. Di mana kali ini pakej keseluruhan bernilai €180 juta. Dengan €170 bayaran pertama, dan €10 juta dibayar sebagai bonus.

Kylian Mbappe sudah menyatakan bahawa beliau mahu ke Real Madrid. Namun PSG tidak mahu melepaskan pemain itu.

PSG masih berusaha memujuk Mbappe agar pemain itu melanjutkan kontrak bersama mereka untuk terus menjadi sebahagian daripada projek penting PSG.

Leonardo sebelum ini menyatakan bahawa Mbappe adalah pusat kepada projek masa depan PSG. Namun mengingatkan bahawa Mbappe tetap bukan perkara paling utama mengatasi kelab.

Selepas menerima bidaan kedua Real Madrid, PSG menolaknya sekali lagi. Dan Leonardo menuduh Real Madrid bermain pintu belakang dengan menghubungi Mbappe terus tanpa kebenaran mereka.

PSG turut melabel Real Madrid sengaja membuat tawaran besar namun di bawah syarat harga yang mereka minta, untuk membuatkan pemain itu memikirkan bahawa Real benar benar serius mahukannya dan kemudian Mbappe akann terus menolak untuk melanjutkan kontrak.

Ini akan membuatkan Real berpotensi mendapat Mbappe secara percuma.

Florentino Perez bengang dengan cara PSG melayan rundingan Real Madrid. Perez menuduh kem PSG sebagai biadap.

Nasser Al Khelaifi ketika bercakap kepada wartawan dalam sesi undian UCL, menegaskan bahawa Mbappe akan terus kekal.

Khelaifi berkata: “Pendirian kami masih sama. Kami tak boleh mengubah perancangan secara drastik.”

Khelaifi dikenali dengan sikapnya yang sukar dibawa berunding. Antara sebab kenapa Neymar gagal pulang ke Barcelona sebelum ini walaupun pemain itu mendesak kelab.

Real Madrid merasakan bahawa mereka sudah memberikan tawaran terbaik untuk Mbappe. Dan meminta PSG memberikan kata putus pada Ahad ini – sebelum pemain itu menyertai kem kebangsaan.

Jika PSG tidak memberikan sebarang jawapan, Real Madrid akan menamatkan minat mereka untuk membeli Mbappe pada kali ini. Dan menunggu pemain itu datang sebagai pemain ejen bebas.

PSG kelihatan masih belum berganjak dengan pendirian mereka untuk meminta Real Madrid mengemukakan tawaran lebih besar.

Leonardo berkata kepada El Chiringuito: “Tiada apa yang berubah. Kami masih berpendirian sama seperti dua hari lalu.”

PSG turut menyediakan perancangan khas untuk mengisi kekosongan Mbappe. Mereka dikatakan berminat untuk mendapatkan Richarlison, Haaland dan juga Lewandowski, jika Mbappe dijual ke Real Madrid.

Baca yang lain