TCH: Pasukan Lain Buat Persiapan Lebih Baik Berbanding Malaysia

Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyatakan bahawa, persiapan yang carca merba punca kegagalan skuad Malaysia pada kali ini dalam kempen Piala AFF Suzuki.

Finalis edisi 2018 itu dihumban keluar awal. Dan lebih perit, Indonesia yang merupakan musuh utama Malaysia, menjadi pasukan yang menunjukkan jalan keluar untuk Malaysia.

Bercakap kepada Nadi Arena, Tan Cheng Hoe tidak menolak bahawa persiapan kali ini sebagai persiapan terburuk beliau.

“Yang penting adalah persiapan ataupun persediaan pasukan. Dan itu yang kita perlukan yang terbaik.”

“Kerana kita tahu dalam kempen Piala AFF Suzuki kali ini, pasukan pasukan lain memang membuat persediaan yang terbaik.”

“Saya bukan menyalahkan sesiapa. [Tetapi] persedian pasukan tidak berada dalam tahap terbaik, sedikit sebanyak telah menjejaskan momentum pasukan dan juga fikiran atau mentaliti pemain.”

Skuad Malaysia sebelum ini tidak memiliki perlawanan persahabatan yang cukup menjelang aksi Piala AFF Suzuki 2020.

Namun Malaysia telah menggunakan dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbezkistan untuk menguji beberapa pemain baharu untuk diserap ke dalam pasukan utama.

Jadi sebenarnya, Malaysia tidak ada perlawanan pemanas badan yang benar benar untuk pasukan utama.

Tan Cheng Hoe hanya bergantung kepada kem latihan pusat. Tetapi sebelum ke Singapura, Tan Cheng Hoe memutuskan untuk hanya membawa 24 pemain sahaja berbanding 30 kuota maksimum yang dibenarkan oleh AFF.

Bukan itu sahaja, ramai pemain yang dianggap menyerlah di dalam kalendar liga domestik tidak dipanggil.

Mujur Arif Aiman berjaya menyertai Malaysia pada saat akhir dari senarai menunggu.

Seterusnya Tan Cheng Hoe sudah mengintai kalendar kelayakan Piala Asia dalam senarai semaknya. Ini kerana beliau cuma ada masa kira kira enam bulan sahaja untuk mempersiapkan skuad terbaiknya.

“Memang itu sebahagian daripada perancangan FAM jugak la dan MFL – di mana mereka akan memberikan peluang kepada skuad kebangsaan jika ada perlawanan dalam takwim FIFA.”

“Kita tidak boleh ambil masa yang lama untuk mengadakan perlawanan persahabatan, dan mengumpulkan pemain untuk persediaan pasukan.”

“Di mana masa berlalu sangat pantas, dalam masa enam bulan kita perlu menyiapkan skuad yang terbaik untuk menghadapi kelayakan Piala Asia nanti.”

FAM bertanggungjawab penuh

Sebelum ini FAM sudah menjelaskan bahawa mereka mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan skuad Malaysia. Sekaligus memberikan kelegaan kepada Tan Cheng Hoe tentang statusnya.

Dalam kenyataan pada Isnin, FAM memaklumkan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin mengarahkan pengurusan skuad kebangsaan supaya mengemukakan laporan lengkap mengenai prestasi pasukan sepanjang kempen kejuaraan itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata laporan itu akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan juara bertahan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Pencapaian mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang turun beraksi sebagai naib juara edisi 2018 gagal mencapai sasaran diletakkan FAM untuk layak ke final.