‘Team’ Media Dan Pemasaran Selangor Antara 5 Sebab Jersi Selangor Laku Keras

Selangor mengumumkan 6,000 pertama jersi mereka lancarkan menunggu masa untu licin dijual dan 1,500 unit lagi akan ditambah semula pada Khamis ini.

Jersi yang digelar Jersi Legasi Legenda ataupun Legasi Mokhtar Dahari sempena mengingati legenda Selangor dan Harimau Malaya.

Dari segi rekaan jersi Selangor ini tampil dengan 3 warna iaitu kuning, merah dan hijau. Dan ianya akan menjadi jersi utama pasukan Selangor.

Jersi tersebut merupakan jersi yang diinspirasikan daripada jersi 1986 yang turut dipakai Mokhtar Dahari.

Agak menarik kerana logo Selangor turut diletakkan di sebelah kanan untuk menyamai konsep asal rekaan jersi 1986.

Yang paling menarik adalah logo khas ‘SuperMokh’ turut diletakkan pada bahagian belakang. Sebenarnya saya tak nak sentuh sangat hal rekaan ini dengan lebih mendalam.

Apa yang kita mahu bincangkan bagaimana Selangor berjaya hampir menjual habis 6,000 cetakan pertama dalam masa sangat singkat.

1. Media dan pasukan pemasaran Selangor FC

Kredit terbesar pastinya kepada pasukan media dan pemasaran yang bekerja keras seperti biasa. Sudah menjadi lumrah pasukan belakang tadbir ni ibarat defensive midfielder. Jadi wira tak didendang.

Oleh itu saya mahu meletakkan mereka mendapat penghargaan di atas usaha mereka kali ini.

Boleh dikatakan media Selangor melakukan tugas yang sangat baik dalam menghebahkan dan melakukan proses promosi di media sosial.

Media sosial merupakan jaringan perhubungan paling utama antara pasukan dengan peminat. Medium seperti Facebook, Twitter dan Instagram antaranya.

Antara dengan teasing, dan konten konten berkaitan. Itu semua proses pra pelancaran.

Pada hari pelancaran dan selepas pelancaran, pasukan media dan pemasaran Selangor FC sudah bersedia dengan konten yang berterusan. Ia meningkatkan lagi kesedaran kepada mereka yang mungkin terlepas info sebelumnya.

Pada masa yang sama para peminat disuapkan dengan penerangan seringkas mungkin menerusi grafik.

Gambar yang menarik dengan kerjasama daripada pemain dan pegawai belakang tadbir menjadikan semua ini dilakukan dengan sangat baik. Walaupun kita tahu di sebaliknya ianya memerlukan usaha dan komitmen tinggi.

2. Rekaan

Cantik itu subjektif bak kata orang. Namun rekaan kali ini gabungan retro, konsep legenda dan elemen moden.

Retro itu adalah mengambil semula template 1986. Legenda adalah SuperMokh yang jelas sekali menjadi figura paling disayangi di Selangor.

Moden pula adalah dari segi rekaan potongan jersi serta meletakkan logo khas SuperMokh yang saya anggap pakej kejutan daripada pereka jersi.

Sekali lagi pasukan pemasaran dan media Selangor melakukan tugas dengan baik. Termasuk memuat naik gambar beberapa legenda dan juga anak Mokhtar Dahari.

Memberikan suapan info tentang jersi tersebut.

3. Nostalgia dan legasi

Menepati temanya yang mahu mengangkat legasi, elemen nostalgia juga sangat kuat. Ramai peminat otai yang merasakan jersi ini wajib milik kerana pernah melihatnya dahulu.

Mungkin ada yang mahu menghadiahkannya kepada ayah atau pak cik mereka? Kerana nostalgia itu kuat.

Seterusnya legasi adalah dengan memastikan generasi hari ini yang rata rata tak pernah pun melihat aksi SuperMokh, dapat merasai aura tersebut hanya dengan sehelai jersi.

4. Harga dan tarikh pelancaran

Harga juga perkara yang sangat subjektif dibincangkan. Bagi sesetengah orang RM109 itu mungkin terlalu mahal. Bagi sesetengah orang pula merasakan ianya harga yang mampu milik.

Ada juga yang jenis beli je la walaupun terpaksa korbankan perbelanjaan lain. Namun RM109 untuk rekaan jersi yang memuaskan, ianya nilai yang sanggup dibayar seorang peminat sejati.

Sebab penyokong sayang kepada pasukan. Walaupun kadangkala terpaksa meroyan kalau team main tak sedap kan? Itu biasa la tu.

Dari segi tarikh, pemilihan awal Februari adalah sangat baik kerana rata rata ianya selepas hari gaji. Seterusnya terdapat juga promosi kepada penyokong yang ada keahlian kad pasukan.

Ini juga antara perkara yang baik dalam menarik pembeli.

5. Semangat penyokong

Ada ramai penyokong yang tidak kisah dengan rekaan. Bagi mereka memiliki jersi pasukan setiap musim itu adalah satu perkara yang harus bagi mereka.

Walaupun tidak memiliki jersi pertama, mungkin jersi kedua ataupun ketiga?

Pemain berperang dalam padang, penyokong bertarung di luar padang dan menunjukkan semangat kecintaan mereka kepada pasukan.

Dengan keadaan pandemik yang melanda dunia, ramai juga penyokong mahu memastikan pasukan mereka terus menjana wang. Walaupun wang jersi ini pecahannya mungkin sedikit kepada pasukan, namun penyokong tetap mahu memastikan mereka membantu pasukan.

Rumusan

Kudos kepada Selangor FC di atas kejayaan pelancaran jersi dan sambutan hangat. Mungkin juga boleh menjadi inspirasi daripada pasukan lain untuk pemasaran dan juga engagement dengan peminat secara berterusan.

Pasukan media dan di belakang tadbir, serta penyokong sudah memainkan peranan mereka walaupun gaji mereka tidak berpuluh ribu sebulan sekalipun.

Next? Ya tugas para pemain di atas padang pula menterjemahkan semangat dan passion mereka.

 

Baca yang lain