Tebas: ‘Saya Tak Nampak Liga, Negara Ini Dan Penyokong Di Sini Rasis’

Javier Tebas dirundung dengan pelbagai kecaman dan desakan daripada ramai pihak.

Ini kerana semua orang tahu Tebas adalah orang yang paling lantang mengkritik liga lain. Dan seringkali tutup mata apabila melibatkan La Liga.

Beberapa hari lalu, Vinicius telah menyeru Javier Tebas untuk bertindak lebih pro aktif dan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan di media sosial.

Vini berkata: “Bukan sekali, bukan dua, bukan tiga, malah sudah banyak kali. Apa tindakan kamu? Ini bukan masa kamu menghilangkan diri. Hashtag sahaja tidak akan membuatkan saya tertarik dengannya.”

Sebelum ini RFEF sendiri yang merupakan FAM cawangan Sepanyol telah melabel La Liga ada masalah rasisme.

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti turut menyatakan La Liga memang ada isu dengan perkauman. Perkara itu sangat jelas.

“Bukan seorang dua, tetapi satu stadium mengejek Vinicius dengan bunyi monyet,” kata Ancelotti.

Vinicius mempersoalkan, setelah beberapa tahun kes rasisme berlaku di Sepanyol, setakat ini tiada pihak yang dihadapkan ke muka pengadilan.

Lantas La Liga bertindak dengan menggantung pegawai VAR dan mencari penyokong yang didapati mengejek Vinicius dengan bunyi monyet.

Vinicius kemudian tampil memuat naik video yang menunjukkan beberapa siri insiden dia diejek secara rasis.

Vinicius menganggap La Liga adalah perosak kepada imej negara Sepanyol. Vini menambah: “Negara sangat baik, mengalu alukan kedatangan saya, namun liga ini telah membuatkan negara ini dikenali sebagai negara yang rasis  di Brazil. Mungkin akan ada rakyat Sepanyol tak setuju, namun saya sendiri tak berdaya untuk mempertahankan imej negara Sepanyol di Brazil.”

Tebas dikecam dan dianggap cakap tak serupa bikin. Kerap menjadi orang pertama bising apabila liga lain bermasalah. Namun kerap membisu ketika ada isu di La Liga.

Misalnya isu FFP, dia sering mengecam PSG dan Man City. Namun dia kerapkali enggan mengulas lanjut isu melanda Barcelona.

Kini polisi sama berlaku dalam isu rasisme.

Tebas malah menganggap dia tak nampak ada isu rasis yang jelas di dalam La Liga. Ianya dianggap isu terpencil dilakukan beberapa individu tak bertanggungjawab.

Tebas berkata, La Liga buka sarang rasis, penyokong di Sepanyol tidak rasis.

Tebas menyatakan: “Kami sedia maklum masalah rasis ke atas Vinicius. Kami sudah bertindak sejak dulu lagi dengan kuasa yang kami ada.”

“Kami meletakkan garis panduan di tempat perlawanan liga dilangsungkan, membentangkan 9 aduan yang kami terima, berkerjasama dengan polis dalam mengenalpasti identiti mereka yang terlibat.”

“Dan kami nak katakan bahawa, kami perlukan lebih kepakaran lagi untuk bertindak lebih efektif.”

Tebas kemudian menganggap apa yang menimpa Vini adalah jenayah kebencian yang berlaku kepada sesiapa sahaja. Sama ada dalam bentu rasisme atau yang lain. Dan itu tidak menggambarkan bahawa liga tersebut sebagai sarang rasisme.

“Isu perkauman ini adalah isu global, di mana ada serangan kebencian. Itu berlaku kepada Cristiano Ronaldo dengan ejekan h****fobik. Kemudian Vinicius diejek dengan rasisme.

“Kita harus menyingkirkan anasir dan serangan seperti ini yang telah memberikan impak kepada pemain pemain terbaik dalam liga kita.”

“Solusinya, bukan terus menggelarkan masyarakat Sepanyol sebagai rasis atas segala yang berlaku dalam beberapa hari ini. Ianya satu pembohongan menuduh La Liga dan penyokong La Liga sebagai rasis.”

“Penyelesaian terbaik adalah menelusuri pertandingan ini,  polisi disiplin, kerjasama antara semua pihak berkuasa dan banteras jenayah kebencian dalam bola sepak.”

Kenyataan Tebas itu membuatkan ramai peminat menganggap Tebas masih mahu menegakkan benang yang basah. Dan mereka mahu Tebas letak jawatan.

Baca yang lain