Ten Hag Jelaskan Beza Sancho Dan Rashford

Sebelum ini ramai peminat melabel Ten Hag sebagai pilih kasih dalam mengendalikan kes disiplin melibatkan Marcus Rashford.

Mereka membandingkan layanan itu dengan apa yang diterima oleh Jadon Sancho.

Ten Hag tampil mempertahankan tindakannya. Kerana menurutnya, beza antara Sancho dan Rashford adalah, seorang pergi mendedahkan kepada umum dan seorang lagi secara tertutup.

Selepas kekalahan di tangan Arsenal beberapa bulan lalu, Ten Hag dalam sidang media selepas perlawanan secara terbuka mengkritik Jadon Sancho sebagai tidak memberikan yang terbaik di sesi latihan.

Perkara itu telah membuatkan Sancho berang dan mengecam pengurusnya itu secara terbuka. Menurut Sancho, Ten Hag sentiasa menjadikannya kambing hitam.

Sancho menafikan dia tak bersungguh sungguh ketika berlatih, sebaliknya memberitahu semua staf kejurulatihan Ten Hag selalu berpuas hati dengannya namun masih juga dia disisihkan pada hari perlawanan.

Dia melabel Ten Hag sebagai berbohong. Kenyataan itu kemudian dibidas oleh Ten Hag yang menegaskan bahawa, Sancho harus meminta maaf kepadanya atau dia terus dibekukan daripada pasukan utama.

Sacnho digantung kelab dan diarahkan berlatih bersama skuad pembangunan sehinggalah dia kembali semula ke Dortmund secara pinjaman.

Baru baru ini Marcus Rashford terlibat kontroversi. Apabila dia gagal hadir ke latihan atas alasan sakit. Namun dia kantoi pada hari sebelum ini berada di kelab malam sehingga lewat pagi di Belfast.

Rashford kembali ke Manchester kira kira 3 pagi dengan jet peribadi dan tidak dapat hadir ke latihan kesan daripada kemabukannya.

Rashford meminta maaf kepada Ten Hag secara peribadi dan bertanggungjawab di atas kesalahannya. Pemain itu kemudian dilepaskan daripada sebarang hukuman berat.

Dia tersedia untuk dipilih dalam aksi menentang Wolves. Sebelum ini Rashford pernah dikenakan tindakan disisihkan dari kesebelasan utama setelah dia lewat hadir ke sesi taklimat pasukan.

Rashford ketika itu masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan gol kemenangan menentang Wolves. Dia mendedahkan dia melakukan kesilapan sebelum itu dan dia tidak akan mengulanginya.

Ten Hag kemudian menegaskan bahawa, Rashford memilih untuk menghormatinya dan kelab dengan menyelesaikan isu secara dalaman. Sebaliknya Sancho secara terbuka.

“Kami boleh je selesaikan perkara seperti ini secara dalaman. Tetapi Sancho telah memilih untuk pergi secara terbuka kepada umum,” kata Ten Hag.

Rashford merupakan pemain yang sentiasa bertanggungjawab di atas kesalahannya. Sebelum ini juga dia pernah pergi ke kelab malam selepas kekalahan United dalam derbi.

Dia meminta maaf kerana pergi ke kelab malam sambil menyatakan dia pergi kerana sudah merancang untuk mengadakan parti harijadinya.

Musim sebelum ini, Cristiano Ronaldo juga pernah pergi secara terbuka menerusi wawancara dengan Piers Morgan mengutuk kelab dan juga Erik Ten Hag.

Ronaldo ketika itu berkata dia tak akan pernah menghormati Ten Hag lagi selepas layanan buruk diberikan pengurus itu kepadanya terutama sekali meminta dia berlatih walaupun dia baru kehilangan anaknya yang gugur dalam kandungan pasangannya.

Tindakan Ronaldo itu membuatkan Ten Hag memutuskan tidak akan menggunakan pemain itu lagi. Kelab akur dan melepaskan Ronaldo secara percuma dengan penamatan kontrak atas persetujuan bersama.

Pemain itu kemudian menyertai Al Nassr.

Sancho masih lagi pemain United. Dengan kelab itu berharap pemain itu akan kembali kepada prestasi terbaiknya di Dortmund untuk membolehkan mereka mendapatkan harga terbaik daripadanya.

Ten Hag sebelum ini mendedahkan pintu di Old Trafford untuk Sancho masih terbuka. Pemain itu hanya perlu meminta maaf sahaja.