Ten Hag Kekal Dengan ‘Standard Ketat’: “Ronaldo Tak Berada Di Tahap Saya Harapkan”

Erik Ten Hag memberikan bayangan bahawa Cristiano Ronaldo kemungkinan besar tidak akan bermula sebagai kesbelasan utama dalam aksi pertama EPL mereka pada hujung minggu ini.

Hal ini kerana Ten Hag menegaskan bahawa pemain itu tak cukup bersedia dan tidak berada di tahap yang dia tetapkan. Semuanya gara gara Ronaldo terlepas banyak perlawanan dan latihan pra musim sebelum ini.

Ronaldo tidak menyertai jelajah Asia dan Australia atas sebab peribadi. Dan dia akhirnya kembali semula dalam aksi pra musim berdepan dengan Rayo Vallecano di mana Man United seri 1-1.

Erik ten Hag mengakui Cristiano Ronaldo tidak berada di tahap rakan-rakan skuad Manchester United yang lain dalam aspek kecergasan perlawanan.

Ten Hag dikenali dengan sikapnya yang meletakkan standard yang tinggi dalam skuad Manchester United yang ada sekarang. Dia sentiasa menuntut pemainnya untuk konsisten dalam melakukan pressing. Selain itu Ten Hag turut mengenakan beberapa peraturan ketat dalam kem United termasuk melarang pemain melantik cef peribadi untuk pemakanan mereka.

Ten Hag telah memberitahu bahawa ketidakhadiran Ronaldo sepanjang pramusim mungkin menjadi isu utama kepada isu kecergasan pemain itu. Ten Hag memberitahu bahawa solusinya kini adalah, Ronaldo perlu menggandakan latihannya dan juga mendapatkan semula minit perlawanan.

Minit perlawanan ini mungkin akan diberikan daripada bangku simpanan.

Erik Ten Hag memberitahu Sky Sports ketika ditanya mengenai keadaan fizikal Ronaldo: “Saya tidak dapat memberitahu pada masa ini. Dia pastinya tidak berada pada tahap skuad kami sekarang, kerana dia terlepas banyak minggu. Jadi dia memerlukan perlawanan dan dia memerlukan banyak latihan. ”

Pemain berusia 37 tahun itu terkenal kerana melakukan latihan tambahan secara peribadi dan, walaupun sudah berusia, masih dipuji kerana fizikalnya. Dia berlatih di Portugal sebelum kembali ke Manchester. Komen Ten Hag sebelum ini menegaskan bahawa dia tak risau tentang tahap kecergasan Ronaldo kerana mengetahui pemain itu seorang yang sangat rajin dan berdisiplin melakukan latihan sendiri walaupun di rumahnya.

Dia berkata pada awal Julai: “Kita semua tahu Ronaldo seorang profesional terbaik dan akan cergas, itu adalah kebimbangan terakhir saya.”

Sebelum ini Ten Hag sudah menegaskan bahawa hanya pemain yang menunjukkan aksi cemerlang secara taktikal dan fizikal dalam aksi pra musim akan berhak mendapatkan tempat mereka dalam kesebelasan utama pada minggu pembukaan.

Nama Martial menjadi pemain yang dikatakan mendahului persaingan untuk mengetuai jentera serangan mereka sebagai no.9.

Walaupun Ronaldo akan kembali ke latihan, Martial akan tetap menjadi no.9 pada hari pembukaan. Ini kerana pemain itu sudah beraksi dengan cemerlang dan dipersiapkan dengan minit yang secukupnya pada pra musim.

Keupayaan Ten Hag menaikkan motivasi Martial dalam pra musim ini benar benar luar biasa. Pemain yang merengek nak keluar sepanjang musim lalu. Dan pernah berniat untuk meninggalkan United untuk musim ini. Di mana Martial diberikan peluang berpindah secara pinjaman ke Sevilla pada pertengahan musim lalu sebelum dia dijual secara tetap seperti dimajukannya.

Situasi itu kini berubah. Martial langsung tidak terfikir soal berpindah. Martial dilihat selesa dan lebih ceria bersama United. Ten Hag gembira kerana Martial antara pemain yang cepat memahami kehendak sistem serangan beliau.

Ten Hag turut berpuas hati dengan prestasi Martial. Dan dia sendiri menghalang sebarang usaha kelab mahu menjual pemain itu.

Ten Hag akui dia betuah dapat melatih 4 pemain dalam serangan United ketika ini. Namun itu bukan bermakna mereka sudah berpuas hati dengan rangkaian serangan mereka.

Ten Hag malah mahukan aspek serangan ini dibangunkan dan diperkasakan lagi.

Bercakap kepada media, Ten Hag berkata: “Serangan berempat dengan Martial, Rashford, Sancho dan Fernandes, mereka berhubung dengan sangat baik bersama sama. Saya rasa, bila kamu tengok keadaan itu, kamu rasa bertuah menjadi pengurus mereka.”

“Mereka adalah ancaman, senjata ampuh pasukan dan kami harus meningkatkan keupayaan itu setiap hari, membangunkannya dengan lebih lagi.”