Ten Hag Mahu Hapuskan Kuasa Pemain

Laporan di UK menyebut bahawa Erik Ten Hag sudah semakin hampir untuk menyertai Manchester United. Pengurus Ajax itu sudah melalui sesi temuduga untuk jawatan di Manchester United.

Antara perkara yang cuba dilakukan oleh Ten Hag adalah mengembalikan kuasa veto pada pengurus. Ini hanya akan dapat dilakukan jika Ten Hag diberikan kuasa mutlak dalam pengurusan pemain termasuk kata akhir dalam jual beli pemain.

Sejak bertahun tahun lamanya selepas era Sir Alex Ferguson, Man United berdepan dengan karenah diva para pemain bintang mereka.

Ten Hag merupakan pilihan utama majoriti pemegang saham di Manchester United ketika ini. Walaupun ada beberapa pemain mahukan Mauricio Pochettino.

Koresponden MEN yang terpercaya ibarat Fabrizio Romano versi MEN untuk Manchester United la, Samuel Luckhurst menyatakan bahawa Ten Hag benar benar mahu menamatkan budaya kuasa pemain melebihi pengurus.

Ini selepas kemuncak kepada kuasa pemain ini apabila ‘Kudeta’ ke atas Mourinho 4 tahun lalu menyebabkan pengurus dari Portugal itu hilang jawatan.

Mourinho kemudian digantikan oleh Ole Gunnar Solskjaer yang seringkali dipanggil sebagai cikgu PJ oleh segelintir pemain yang tidak cukup menghormati pengurus mereka.

Lebih teruk, pada era Rangnick ada pemain yang memperlekehkan Rangnick sebagai old skool atau kolot kerana pengurusan latihannya yang tegas. Selain itu ada pemain yang bergurau mempersendakan pembantu Ralf Rangnick, Chris Armas sebagai Ted Lasso. Perkara itu diketahui oleh Gary Neville sendiri daripada sumber dalaman kelab.

MEN sedar bahawa apa yang cuba dilakukan oleh Ten Hag ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana sebab ini Manchester United beberapa kali memihak kepada pemain mereka berbanding pengurus.

Antara kes yang paling popular adalah melibatkan Jose Mourinho dan juga Paul Pogba. Di mana ketika itu club memutuskan untuk menyokong dan berpihak kepada Paul Pogba. Ini telah membuatkan Jose Mourinho dipecat selepas hilang kawalan dengan bilik persalinan. Mourinho dianggap telah membuatkan Pogba bakal mendesak untuk keluar dan United tidak akan mendapat harga yang tinggi.

Pogba dianggap pemain kesayangan Ed Woodward. Dan seringkali membiarkan sahaja ejen Pogba mengutuk kelab. Antaranya, Raiola pernah menuduh Manchester United sebagai punca pemain itu tidak akan menjadi pemain elit. Malah Raiola menyatakan letak Pele dan Maradona ketika mereka prime pun, akan hancur kalau di United.

Ole Gunnar Solskjaer tidak selesa dengan komen Raiola dan meminta ejen itu jangan terlalu banyak songeh. Perkara itu membuatkan Raiola terus mengamuk dan mengancam tidak mahu berunding kontrak baharu untuk Pogba serta tak mahu membawa masuk pemain di bawah jagaannya ke United lagi.

Selain itu beberapa pemain seperti Martial dan Greenwood juga dikatakan mulai buat perangai pada era Rangnick.

Greenwood mulai ada masalah disiplin kerap datang lewat ke latihan. Martial pula mendesak untuk berpindah.

Sikap berlemah lembut Ole Gunnar Solskjaer juga dikatakan antara sebab beliau disenangi pemain yang selesa dengan kuasa pemain ada pada mereka.

Marcus Rashford baru baru ini dikatakan tidak gembira dengan Rangnick kerana kurang minit perlawanan dan mendesak untuk tidak melanjutkan kontraknya.

Cristiano Ronaldo antara pemain senior yang tidak selesa dengan perangai diva beberapa pemain muda United dan pernah meluahkan kritikan terbuka.

Malah selepas kekalahan teruk Manchester United 0-5 di tangan Liverpool, Ronaldo menjadi pemain yang cuba memulihkan semula semangat di bilik persalinan pasukan.

Jadi, Erik Ten Hag mahukan jaminan bahawa dia akan dibenarkan untuk menyingkirkan pemain pemain yang dia rasakan akan memberikan masalah kepada bilik persalinan.

Beliau mahukan kuasa seperti yang ada pada Arteta di Arsenal. Di mana Arteta dibenarkan untuk menyingkirkan superstar seperti Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Ini kerana apa yang berlaku di United telah membawa lebih banyak masalah di dalam pasukan. Pastinya ada beberapa pemain tidak selesa dengan perlantikan ini.

United sudah banyak kali terlepas pengurus yang bagus sebelum ini. Antaranya ialah Pep Guardiola ketika pengurus itu meninggalkan Bayern Munich.

Kemudian Ed Woodward dilaporkan gagal untuk meyakinkan Jurgen Klopp untuk datang ke Manchester United. Salah satu sebabnya ialah, Klopp tidak jelas dengan struktur pentadbiran di United.

Selain itu, United turut gagal meyakinkan Antonio Conte untuk datang ke kelab mereka menggantikan Solskjaer. Ini selepas Conte dikatakan terang terangan mahukan dana yang besar untuk memperbaiki pasukan United. Ianya dianggap kerja yang berat dan tidak boleh dilakukan segera.

Kini Erik Ten Hag dianggap pengurus baharu yang berbakat besar. Adakah United akan terlepas seorang lagi pengurus yang bagus?

Dan jika Ten Hag dilantik, adakah dia akan mampu untuk mengatasi budaya kuasa pemain yang semakin kuat di United?

Salah satu resipi kejayaan Sir Alex Ferguson dahulu adalah para pemain tidak ada kuasa lebih besar dari pengurus. Apabila ada pemain yang egonya mulai naik kepala, Alex Ferguson akan menjual mereka tanpa sebarang halangan. Contohnya Ruud Van Nistlerooy dan David Beckham yang dianggap SAF sebagai mulai mahu menjadi pemain bola sepak merangkap selebriti.