Ten Hag Puas United Sapu Bersih Anugerah: “Treble Anugerah Ini Hasil Kerja Keras Berpasukan”

Erik Ten Hag gembira dengan kejayaan dia dan dua lagi pemainnya memenangi treble bagi anugerah bulanan untuk kategori individu.

Ini selepas dia menerima trofi Pengurus Terbaik Bulanan EPL untuk November pada pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Harry Maguire memenangi Anugerah Pemain Terbaik Bulanan EPL, kemudian Alejandro Garnacho seperti dijangka akan memenangi Anugerah Gol Terbaik Bulan November.

Sepanjang November Man United mendapat 9 mata maksimum dalam 3 aksi EPL yang mereka bermain. United menwaskan Luton Town, Fulham dan Everton. Bukan itu sahaja, Man United turut mencatatkan clean sheets dalam ketiga tiga perlawanan tersebut.

Harry Maguire yang menjadi pemain pilihan utama di bek tengah menjadi nadi penting dalam memastikan United tak bolos sepanjang November dalam aksi EPL.

Maguire telah berjaya merampas tempat dalam kesebelasan utama setelah dia disisihkan sepanjang musim lalu dan awal musim ini. Dengan krisis kecederaan berlaku melibatkan Varane dan kemudian Lisandro Martinez, maka Harry Maguire menggunakan kesempatan yang ada sebaiknya.

Maguire malah terus kekal menjadi pilihan utama Ten Hag pada masa ini. Membuatkan Varane terpaksa menerima hakikat bahawa dia berada di bangku simpanan.

Ten Hag sendiri mengakui pada masa ini Maguire lebih baik berbanding Varane.

Sementara gol lipat Garnacho ketika menentang Everton dianggap oleh Rio Ferdinand sebagai pemenang mutlak untuk gol tercantik musim ini. Serta calon pilihan memenangi Puskas.

Ditanya adakah Ten Hag ada mengingati mana satu persembahan yang luar biasa secara spesifik, dia menjawab: “Tak, namun saya rasa, apa yang luar biasa adalah cara kami bekerja. Cara kami membangun dan berkembang.”

Bagi Ten Hag treble anugerah individu ini hasil daripada usaha berpasukan.

“Saya rasa memenangi 3 anugerah ini adalah cerminan kepada sesuatu yang kami sedang lakukan sebagai pasukan. Ini sangat bagus, ini adalah perkara yang kami boleh jadikan perkara untuk membina kepercayaan kami. Kami boleh jadikan inspirasi dan percaya bahawa kami sedang menuju ke arah yang tepat.”

“Ini perkara yang mesti ada hari ini untuk memberikan tenaga kepada semua orang.”