Ten Hag Sahkan United Berunding Dengan Tuchel Namun Akhirnya Sedar Sudah Ada Pengurus Terbaik

Erik Ten Hag mengesahkan sendiri bahawa kelab Manchester United sudah bercakap dan berunding dengan Thomas Tuchel.

Namun akhirnya kelab tersebut memutuskan untuk kekal dengan dia [Ten Hag]. Hal ini kerana menurut Ten Hag, Man United akhirnya sedar bahawa mereka sudah pun memiliki pengurus terbaik untuk kelab itu pada masa ini iaitu ETH.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa Man United benar benar berminat mahu mendapatkan Thomas Tuchel. Ini selepas Sir Jim Ratcliffe sebelum final Piala FA telah memutuskan untuk memecat Ten Hag walau apa keputusan dicapai dalam final itu.

Prestasi Ten Hag dianggap tidak memuaskan di peringkat EPL menjadi sebab utama kelab mahu memecatnya.

Ten Hag kemudian berjaya membantu United menjulang Piala FA bersama dengan ramai pemain muda kelab itu. Prestasi itu membuatkan kelab kembali membuka pintu untuk mengekalkannya dengan membuat satu lagi penilaian khas.

Tuchel dan United kemudian mengadakan satu rundingan. Namun The Times melaporkan bahawa Tuchel akhirnya tidak mahu meneruskan rundingan itu dan mahu berehat seketika selepas dipecat Bayern.

Ini kerana Tuchel sebelum ini tidak berehat selepas dipecat oleh PSG dan Chelsea. Kali ini dia mahu meluangkan masanya bersama keluarga.

United seterusnya merasakan bahawa Tuchel bukan calon terbaik untuk mereka lantik menggantikan Ten Hag pada masa ini. Mereka turut ada beberapa calon lain seperti Mauricio Pochettino dan De Zerbi.

Rundingan dengan De Zerbi juga dilaporkan buntu kerana pengurus itu meminta gaji lebih besar daripada Arteta, De Zerbi mahukan £10 juta semusim.

Akhirnya United mengadakan rundingan baharu untuk melanjutkan kontrak semasa Erik Ten Hag.

Ten Hag mendedahkan sendiri ada rundingan antara kelab dengan Tuchel ketika dia diwawancara oleh NOS di Jerman. Dia ketika ini menyaksikan Euro 2024 di Jerman.

Ten Hag berkata: “Ada pegawai pengurusan tertinggi kelab datang berjumpa saya ketika saya bercuti di Ibiza. Mereka tiba tiba terpacak depan pintu penginapan saya dan memberitahu saya bahawa kelab mahu meneruskan kerjasama dengan saya.

“Pemilik baharu kelab masih lagi baru dalam dunia bola sepak. Dia memerlukan sedikit masa. Mereka turut mengakui ada bercakap dengan Thomas Tuchel namun akhirnya menemui kata putus bahawa mereka sebenarnya sudah memiliki pengurus terbaik,” tegas pengendali asal Belanda itu.

Ten Hag dilantik menjadi pengurus United sejak 2022. Dia setakat ini mencipta rekod 66 kemenangan, 31 kekalahan dan 17 seri daripada 114 perlawanan. Meletakkan ratio kemenangannya pada paras 57.89%.

Rekod lebih tinggi daripada Ole Gunnar Solskjaer dengan ratio kemenangan 54.17% – Jose Mourinho, 58.33% dalam 114 perlawanan mereka bersama United.

Ten Hag kini sedang dalam proses untuk mendapatkan beberapa pemain sasaran baharunya untuk memperkuatkan kelab itu pada musim baharu.