Ten Hag Tunjukkan Kepada Rashford Siapa Bos Dan Pada Masa Yang Sama Sisi Seorang Cikgu

Erik Ten Hag sangat bengang dengan Marcus Rashford. Kerana pemain itu lewat hadir ke perjumpaan pasukan untuk taklimat taktikal. Kesalahan itu adalah pelanggaran disiplin yang tak boleh diterima Ten Hag,

Alasannya, adalah terlajak tidur!

Erik Ten Hag terus memberitahu Rashford dia tak akan berada dalam kesebelasan utama pasukan. Itu adalah hukumannya.

Bukan perkara yang baru untuk pengurus menghukum pemain yang tak berdisiplin. Mikel Arteta melakukan perkara sama kepada Aubameyang.

Di Man United, sudah beberapa pengurus tidak diberikan sokongan oleh kelab apabila ada situasi yang melibatkan pengurus vs pemain bintang.

Cristiano Ronaldo sendiri pernah menyatakan di United, ramai pemain muda di sana, dari akademi yang naik ke pasukan utama terus tunjuk lagak.

Tidak mahu mendengar nasihat apatah lagi meminta nasihat.

Kenyataan Ronaldo itu dikatakan menjadi titik tolak kepada beberapa pemain muda mulai tidak menyukainya.

Legenda seperti Roy Keane selalu membidas polisi kelab yang memanjakan pemain pemain yang dianggap bintang terutama sekali yang merupakan graduan Manchester United, ditambah pula pemain Inggeris.

Sebelum ini Mason Greenwood ada masalah disiplin. Namun kelab selalu tutup mata. Pengurus malah diancam oleh kuasa pemain di bilik persalinan.

Jose Mourinho, Louis Van Gaal malah Ralf Rangnick, kesemuanya pernah merasai toksik di dalam bilik persalinan Man United.

Gary Neville pernah memuat naik status di Twitter secara terbuka mengecam sikap pemain yang suka menggunakan ejen mereka untuk memberikan tekanan kepada pengurus.

Erik Ten Hag hadir ke Man United. Dia hanyalah pengurus yang masih dianggap baru untuk mengendalikan kelab sebesar Man United.

Namun dia tidak takut. Dia menunjukkan kepada pemain pemain Man United dia adalah seorang bos yang lebih besar daripada mana mana pemain.

Ketika Ronaldo dan beberapa pemain seperti Dalot pulang awal ke rumah sebelum aksi perlawanan pra musim tamat, mereka semua dikenakan tindakan.

Kemudian Ronaldo turut dihukum kerana buat hal ketika aksi berdepan Spurs. Enggan masuk lewat perlawanan dan balik awal.

Ronaldo digantung daripada tugasan dan diarahkan berlatih dengan skuad muda.

Ten Hag tidak memerlukan restu pemilik kelab untuk melakukannya. Kerana tanggungjawab itu adalah ada pada pengurus.

Man United kemudian menyatakan mereka akan menyokong pengurus dalam kes Ronaldo.

Ten Hag dan Rashford

Jika nama sebesar Ronaldo boleh dihukum Ten Hag, apatah lagi Marcus Rashford.

Rekod jaringan dan prestasi cemerlangnya dalam beberapa perlawanan, bukan vice versa untuknya tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Siapa salah akan dihukum!

Namun apa yang lebih mengagumkan, cara Rashford menerima hukuman itu dengan profesional.

Dia masuk sebagai pemain gantian dan kemudian menjadi penjaring kemenangan pasukannya. Dia bukan membalas hukuman itu dengan cara berdendam, tetapi membalasnya dengan menebus kesilapannya.

Ada sesuatu yang membuatkan pemain terasa seperti mereka dihukum bukannya dibuang. Mereka dihukum atas dasar profesional. Tiada apa yang harus dikecil-hatikan kerana dah salah terima sahaja.

Namun Rashford masih merasakan bahawa Ten Hag tetap gurunya. Guru tak akan pernah mengabaikan muridnya. Guru akan sentiasa bersedia memberikan peluang kepada muridnya.

Selepas tamat perlawanan, mereka berdua seperti biasa. Meraikan kejayaan demi pasukan. Tiada apa yang harus diungkit lagi. Fokus kepada perlawanan seterusnya.

Dengar sendiri Rashford menjawab pertanyaan wartawan di sini sambil mengakui dia melakukan kesilapan. Peraturan tetap peraturan tidak kiralah dia bintang atau ada pangkat MBE.

Dia berkata: “Ya, itu peraturan pasukan. Saya rasa ianya kesilapan yang boleh berlaku. Saya kecewa tak bermain namun saya akur dan faham dengan keputusan yang dibuat pengurus. Saya gembira kita berjaya juga menang perlawanan. Selain itu kita boleh katakan perkara itu sudah diselesaikan, tak perlu diperbesarkan lagi serta melangkah ke depan.”

“Saya terlewat sedikit untuk perjumpaan pasukan. Saya terlajak tidur, itu boleh berlaku.”

Baca yang lain