Terdiam Satu Pasukan Apabila Eto’o Berceramah: Saya Mahu Negara Saya Menang Piala Dunia

Samuel Etoo telah menyatakan ketidakgembiraan beliau di atas keputusan yang dicatatkan oleh pasukan kebangsaan Cameroon dalam beberapa perlawanan terakhir.

Menurut Etoo, Cameroon perlu bermain lebih baik lagi jika mahu memenangi Piala Dunia.

Sebelum ini Samuel Eto’o menyatakan keyakinannya bahawa suatu hari nanti negara dari Afrika akan mampu memenangi Piala Dunia.

Dan sudah tentunya impian utama Eto’o adalah mahu melihat pasukan negaranya, Cameroon yang menjulang Piala Dunia itu.

Dalam satu sesi taklimat pasukan, Eto’o meluahkan bicara tulus dari hati. Dia menegaskan bahawa dia mahu membantu pemain generasi baharu agar dapat menggapai impian Piala Dunia yang pernah terpaksa dilupakannya dahulu.

Eto’o berkongsi pengalamannya selaku pemain , dia pernah kecewa kerana impian Piala Dunia itu cuma impian kerana persatuan bola sepak Cameroon pada masa itu sarat dengan karenah birokrasi dan korupsi.

Kini dia sendiri menjadi presiden Fecafoot (FA Cameroon) dan dia tidak mahu masalah masalah itu berulang lagi.

Etoo berkata: “Saya tak gembira. Saya tak kisah dengan siapa kamu berlawanan, kamu adalah pemain yang mewakili Cameroon. Saya tak gembira langsung.”

“Ketika zaman saya, saya terlepas Piala Dunia sebab saya tahu apa masalah yang saya lalui pada masa tu.”

“Dan masalah masalah itu tak boleh berulang lagi dalam bola sepak kita, ketika saya menjadi Presiden.”

“Tempat dalam pasukan ini adalah diberikan kepada yang layak dan bukan diminta. Saya ulangi, tiada siapa pun dalam pasukan ini yang sudah terjamin tempatnya dalam pasukan ini.”

“Kamu harus melakukan tugas kamu. Sesiapa sahaja yang datang memakai jersi ini harus melakukan tugas mereka sebaiknya, kalau tak, lebih baik saya tengok bebudak yang main bola.”

“Saya pernah berada di tempat kamu beberapa tahun yang lalu. Saya tahu ada di antara kamu yang berkata: ‘Ahh, dia ni bodohlah’, Namun saya tahu kenapa saya dulu gagal [memenangi Piala Dunia].”

“Sebab itu saya akan memberikan segala-galanya untuk membantu kamu, malah saya sanggup bergadai nyawa saya, untuk membantu kamu agar berada dalam keadaan terbaik.”

“Kamu semua yang berada di sini tidak tahu perjuangan yang saya sedang lalui selama ini demi kamu semua.”

“Setiap kali kamu tiba di sini ianya adalah tentang Cameroon. Tiada perkara lain yang lebih indah daripada Cameroon.”

“Saya sanggup berkorban demi negara saya Cameroon. Saya ada rasa cinta ke atas negara saya dan saya akan berada di sini [perjuangan ini] sama ada dengan kamu atau tanpa kamu.”

“Jika kamu mahu menjadi sebagian daripada perjalanan ini, maka kamu harus bekerja keras.”

“Tapi, berdasarkan apa yang saya tengok pada hari ini saya tidak pasti, ada beberapa orangkah agaknya yang layak berada dalam senarai itu.”

“Tak pasti kalau ada seorang pun daripada kamu yang layak, dari kalangan kamu yang berada di sini pada hari ini.”

“Saya mahukan lebih lagi kerana saya berimpian untuk memenangi piala dunia. Semua masalah yang saya pernah lalui sebagai pemain tidak akan berulang lagi pada zaman kamu selagi lagi saya menjadi presiden.”

“Objektif pertama adalah memiliki kumpulan yang berhati tulus. Kami dulu gagal memenangi piala dunia kerana itu adalah perkara yang kami tidak ada di dalam kumpulan kami dulu walaupun kami memiliki ramai pemain yang hebat.”

“Apabila kumpulan pemain yang ada pada hari ini gembira bermain bersama, kita boleh memenangi piala dunia bersama-sama.”

Baca yang lain