Terguris Tindakan Putera Jordan Mahu FIFA Gantung Israel Macam Rusia, Lihat Bagaimana Niv Goldstein Spin

FA Israel kecewa dengan tindakan persatuan bola sepak dari Timur Tengah atau dari rantau Arab yang menulis surat aduan rasmi kepada FIFA menggesa agar pasukan mereka digantung.

Sebelum ini Rusia dikenakan penggantungan oleh FIFA, selepas negara itu menyerang Ukraine dan menyebabkan krisis kemanusiaan.

Rusia dilarang beraksi dalam semua aksi antarabangsa di bawah FIFA termasuk Piala Dunia dan Euro.

Kelab kelab dari Rusia turut berdepan penggantungan daripada UEFA. Di mana UEFA turut membenarkan pemain pemain yang mahu meninggalkan kelab Rusia untuk menamatkan kontrak mereka secara sepihak.

Kini rantau Arab pula mahu tindakan sama dibuat ke atas Israel selepas menjadi punca kepada krisis kemanusiaan di Gaza.

Seruan itu diketuai oleh Putera Ali Bin Al Husein, yang merupakan saudara tiri kepada Raja Jordan, Sultan Abdullah II, yang juga merupakan presiden FA Jordan, serta Ketua Persekutuan Bola Sepak Asia Barat.

Dalam surat yang dihantar kepada 211 persekutuan bola sepak kebangsaan Fifa dan enam konfederasi serantau, daripada kumpulan 12 negara yang merangkumi FA Palestin, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, Putera Ali menulis:

“Kami, Persekutuan Bola Sepak Asia Barat, merangkumi semua ahlinya, menyeru FIFA, Konfederasi Bola Sepak, dan Persatuan Ahli untuk menyertai kami dalam mengambil pendirian tegas menentang kekejaman yang dilakukan di Palestin dan jenayah perang di Gaza.

“Kami dengan ini, mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak bersalah termasuk pemain, jurulatih, pengadil, dan pegawai, kemusnahan infrastruktur bola sepak, dan mengambil bahagian secara kolektif dalam mengasingkan Persatuan Bola Sepak Israel daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak sehingga tindakan pencerobohan ini berhenti.”

Surat itu membuatkan FA Israel benar benar kecewa. Dan mereka yakin bahawa FIFA dan UEFA ‘cukup bijak’ dalam menentukan siapa pengganas sebenar. Kerana menurut mereka, Israel bukan pengganas. Namun Israel adalam mangsa serangan pengganas. Israel hanya mempertahankan diri mereka daripada serangan pengganas Hamas.

Sambil berharap bahawa FIFA dan UEFA tidak mencampur adukkan politik dan bola sepak. Dipetik daripada Telegraph UK, Ketua Eksekutif FA Israel, Niv Goldstein berkata: “Saya percaya FIFA dan UEFA tak akan sesekali mencampur adukkan isu politik dengan bola sepak.

“Kami FA Israel menentang sebarang campur aduk politik dalam bola sepak serta dalam sukan secara umumnya. Jadi, kami FA Israel hanya fokus kepada bola sepak, dan kini paling penting adalam impian kami mahu layak ke Euro 2024. Dan kami berharap agar keamanan dicapai.

FIFA dan UEFA setakat ini masih tidak melarang pasukan kebangsaan Israel atau kelab Israel daripada beraksi. Dan mereka masih lagi dijadualkan untuk beraksi dalam aksi separuh akhir play off Euro menentang Iceland bulan depan.

Ditanya tentang tindakan FIFA sebelum ini menggantung Rusia daripada bola sepak, Goldstein berkata, situasi di Israel tak sama dengan Rusia. Kerana Israel diserang Hamas. Sebaliknya Rusia menyerang Ukraine.

“Jelas sekali, kami rasa senario ini sangat berbeza berbanding dengan yang berlaku di negara lain,” rumusnya.