TERKINI: Bale Pulang Ke Spurs

Gareth Bale sudah beberapa musim dikaitkan dengan kepulangan semula ke EPL.

Menurut Daily Mail, Gareth Bale telah melengkapkan kepulangan sensasi ke Tottenham dari Real Madrid.

Perjanjian itu telah dimuktamadkan pada Rabu malam. Bale, adalah bintang tersisih di bawah kendalian Zinedine Zidane musim lalu, telah mempersetujui syarat perjanjian pinjaman untuk semusim.

Perjanjian melibatkan pemain antarabangsa Wales dengan Spurs dilaporkan bernilai lebih dari £ 13 juta. Sebahagian daripada gaji Bale akan dibiayai oleh Real Madrid.

The Daily Mail menambah bahawa Bale gembira dan sudah tak sabar untuk membangkitkan kembali kariernya di kelab di mana dia menjadi nama besar.

Tidak dapat dipastikan bila agaknya Spurs akan membuat pengumuman rasmi.

Namun Daily Mail percaya perkara itu akan dilakukan ‘setelah beberapa isu kecil dalam kontrak diselesaikan’.

Kembalinya Bale ke Tottenham banyak dipengaruhi oleh Jose Mourinho, yang dilaporkan merasakan kedatangan penyerang sayap kelas dunia itu ‘sangat penting’ berikutan kekalahan 1-0 pasukannya di tangan Everton pada Ahad lalu.

Sebelum ini, ketika di Man United, Jose Mourinho juga pernah mahukan pemain itu menyertainya di Old Trafford.

Bale pemain yang pantas dan memiliki kualiti hantaran dan penyudah yang sangat baik.

Mourinho difahamkan telah memberitahu bos besar Tottenham Daniel Levy bahawa semangat dan dinamisme Bale diperlukan untuk merancakkan serangan pasukan mereka.

Jika Bale masuk, Mourinho boleh membentuk gandingan serangan bertiga dengan adanya Son dan Kane sekali.

Dele Alli yang dikaitkan dengan perpindan ke arah yang bertentangan tetapi Mail menyatakan bahawa ianya tidak akan berlaku. Pemain tengah tidak akan menuju ke Bernabeu.

Kedatangan Bale pastinya akan disambut dengan sangat luar biasa oleh semua peminat yang masih sayangkan Bale.

Malah Gareth Bale sendiri pernah menyatakan bahawa Spurs sentiasa berada di dalam hatinya.

Pemain berusia 31 tahun itu menikmati bola sepak yang sensasi untuk Spurs dalam beberapa musim terakhirnya dan menjaringkan 55 gol dalam 203 perlawanan.

Prestasi cemerlangnya menyebabkan beliau dibeli dengan rekod perpindahan £85.3 juta ke kelab gerasi Sepanyol pada 2013.

Antara sebab utama Real Madrid mendapatkan Bale adalah untuk menggantikan Cristiano Ronaldo pada masa akan datang.

Namun malangnya itu gagal berlaku. Bale bukanlah tak bagus, dia bagus, tetapi di bawah kendalian Zidane beliau bukan pemain pilihan utama.

Malah dalam beberapa musim terakhir ini, beliau sudah terlibat dalam beberapa drama dengan Real Madrid termasuk kontroversi meletakkan Real Madrid di tangga ketiga dalam senarai keutamannya selepas Wales, Golf dan barulah Madrid.

Bale juga mengejutkan ramai apabila Zidane menyatakan bahawa beliau sendiri yang tidak mahu terlibat dalam beberapa perlawanan terakhir musim lalu.

Selain isu tidak mendapat tempat, Bale juga memiliki rekod kecederaan yang agak banyak.

Bale secara keseluruhannya telah berjaya di Real Madrid, di menjaringkan 105 gol dalam 251 penampilan dan memenangi banyak gelaran dalam tempoh tersebut.

Ini termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan berharap Bale dapat menemukan kembali prestasi dan keyakinannya, peluang Tottenham untuk memperoleh kedudukan empat teratas musim ini dilihat akan lebih tinggi.

Spurs juga hampir menandatangani rakan sepasukan Bale, Sergio Reguilon, yang akan menandatangani kontrak lima tahun setelah mempersetujui perpindahan £27 juta.

Baca yang lain