TERKINI: Barcelona Tak Dapat Daftarkan 5 Pemain Baharu Mereka, La Liga Suruh Jual De Jong Segera!

Barcelona telah menerima tamparan hebat pada ketika ini. Selagi lagi mereka gagal menjual setidak tidaknya bintang tengah, Frenkie de Jong, mereka akan bermasalah untuk mendaftarkan 5 pemain baharu mereka.

Ianya jelas berbeza dengan pandangan Tebas sebelum ini yang yakin Barcelona tiada masalah untuk mendaftarkan pemain pemain baharu mereka atas dasar percaya bahawa Barcelona lebih arif.

Ini selepas diberitahu mereka tidak boleh mendaftarkan mana-mana pemain baharu mereka sehingga mereka mengurangkan beban kewangan mereka.

Kelab Catalan itu telah menandatangani Andreas Christensen, Franck Kessie, Raphinha, Robert Lewandowski dan Jules Kounde pada musim panas ini sambil memperbaharui kontrak Ousmane Dembele dan Sergi Roberto – tiada seorang pun daripada nama nama ini boleh didaftarkan dengan La Liga sehingga kelab itu mengimbangi buku akaun mereka.

Barca telah menetapkan tarikh akhir 10 hari untuk sebarang potensi perpindahan pemain antarabangsa Belanda De Jong dengan kedua-dua Manchester United dan Chelsea sedang berusaha memuktamadkan perjanjian.

Barca perlu jual De Jong untuk daftarkan pemain baharu

De Jong adalah kunci sebenar kepada akaun Barca. Kerana mereka boleh mendapatkan sekitar €80 juta wang masuk dan mengurangkan gaji pemain itu yang dilaporkan lebih €500k seminggu di kelab itu.

Perpindahan De Jong masih lagi gagal direalisasikan Barca sejak hari pertama jendela perpindahan. Namun Man United masih yakin akan dapat pemain tersebut. Kini Chelsea berminat untuk mendapatkan De Jong.

Gerard Romero sebelum ini melaporkan bahawa De Jong lebih berminat dengan kelab seperti Chelsea yang menawarkan tempat bermain di UCL. Tetapi ketika ini keutamaan De Jong adalah untuk terus kekal. Dia hanya akan mempertimbangkan untuk berpindah jika tunggakan gajinya bernilai sekitar €20 juta dibayar oleh Barca.

Barca yang meminta pemain itu menerima pengurangan gaji sekitar 40%-50%, masih tidak mendapat persetujuan pemain itu.

Lembaga pengarah Barcelona – diketuai oleh presiden kelab Joan Laporta – telah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengumpul dana pada musim panas ini dengan membenarkan penjualan beberapa aset utama kelab. Di antara aset, kelab itu memilih untuk menjual 25% (merentasi dua transaksi berasingan) hak TV mereka kepada Sixth Street.

Bagaimanapun, itu masih belum mencukupi untuk meletakkan kelab itu dalam keadaan ekonomi yang sihat menjelang musim baharu, mendorong mereka menjual 25 peratus kepentingan dalam Barça Studio kepada socios.com dengan bayaran sekitar €100 juta.

Penjualan gabungan aset kelab meningkat kepada €767 juta untuk kelab – dan mereka berharap untuk mendaftarkan pendatang baharu mereka dengan jualan ini. Dan Laporta sudah sedia mengaktifkan tuil keempat untuk mengimbangi akaun mereka.

Pada hari Jumaat, semasa sesi pengumuman rasmi Lewandowski di Camp Nou, presiden kelab Laporta memberitahu peminat: “Kami telah berusaha untuk mendaftarkan kesemua mereka (rekrut baharu). Kami telah bekerja keras dan produktif, untuk memenuhi keperluan.”

“Dan jika perlu untuk menjalankan sebarang urusan lagi, kami akan melakukannya. Kami menunggu. Ia adalah keputusan yang mesti dibuat oleh La Liga. Kami telah mematuhi apa yang diperlukan. Kami yakin kami akan dapat mendaftar mereka.”

Bagaimanapun, percubaan Barca untuk mendaftarkan pemain pemain baharu mereka gagal pada hari Jumaat – dengan La Liga menyekat percubaan mereka untuk mendaftarkan pemain baharu dalam sistem mereka. Secara ringkasnya, kelab Catalan itu kini mesti mengumpul dana lagi untuk membolehkan pemain baharu mereka mewakili kelab.

Laporta sudah pun menyediakan penjualan 24.5 peratus lagi Barça Studios, yang dianggap akan mampu membantu menyuntik dana yang sangat diperlukan. Namun beberapa pengkritik mendakwa bahawa langkah ini hanya akan membebankan kelab itu di masa akan datang.

Barcelona perlu menjual beberapa pemain mereka. Walaupun aktif membeli, Barcelona sangat perlahan dalam urusan menjual. Mereka cuma menjual pemain pada kadar yang sangat rendah pada ketika ini.

Mereka hanya dapat menjual Phil Coutinho dengan nilai €20 juta. Kemudian Trincao secara pinjaman. Riqui Puig pula dilepaskan secara percuma bersama sama dengan Mingueza, Rey Manaj, Moussa Wague, Dani Alves,  dan Clement Lenglet.

Masa semakin suntuk untuk mereka mendapatkan wang daripada penjualan pemain dengan 4 lagi nama berada dalam senarai untuk dijual selain daripada De Jong. Mereka ialah Memphis Depay, Martin Braithwaite, Miralem Pjanic dan Samuel Umtiti. Malangnya, pemain seperti Braithwaite dan Umtiti sudah menyatakan mereka tak mahu pindah kecuali kelab melangsaikan dulu tunggakan gaji mereka.

Seterusnya, Depay sudah setuju untuk pergi, namun jika dia benar benar mendapat tawaran yang dia tertarik. Barca setuju melepaskannya secara percuma. Jika tidak, pemain itu akan terus kekal. Tiada peluang untuk Barca menamatkan kontrak pemain itu tanpa persetujuan bersama kerana ia memerlukan Barca untuk membayar pampasan €20 juta.