TERKINI: Glazer Mahu Jual Man United Selepas Dikecam Ronaldo Beberapa Minggu Lalu

Pemilik Manchester United, keluarga Glazer kini akan meneroka potensi penjualan kelab. Manchester United dalam kenyataan rasminya menyatakan mereka sedang mencari pelabur baharu untuk kelab.

The Athletic melaporkan bahawa Glazer turut mempertimbangkan untuk menjual kelab itu jika ada pembeli yang menawarkan harga memuaskan hati mereka.

Sky News melaporkan bahawa, beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, harga saham United terus naik 17 peratus, menokok hampir $400 juta kepada permodalan pasaran kelab itu menurut pakar kewangan.

Manchester United akhirnya boleh dijual oleh pemiliknya dari Amerika selepas ‘rejim’ 17 tahun mereka di kelab itu. Dengan protes peminat ke atas pemilikan Glazer sudah boleh dikira sangat lama sudah dibuat.

Sky News secara eksklusif boleh mendedahkan bahawa keluarga Glazer sedang bersedia untuk mengumumkan secara rasmi hasratnya untuk memeriksa potensi sumber pelaburan luar yang boleh termasuk lelongan penuh untuk kelab yang boleh dikatakan paling popular di dunia itu.

Sumber berkata pada hari Selasa jurubank pelaburan diarahkan oleh pemilik Manchester United untuk menjadi broker dan konsultan kepada proses itu, yang mungkin termasuk proses penjualan penuh atau sebahagian, atau perkongsian strategik dengan pihak ketiga.

Baru baru ini Cristiano Ronaldo dalam temu bual bersama Piers Morgan mempersoalkan cita-cita United dan mengecam pemilikan Glazer yang menurutnya tidak kisah pembangunan kelab termasuk fasiliti kelab yang usang.

Ronaldo malah mendedahkan bahawa peralatan gym yang dia gunakan sebelum dia meninggalkan kelab itu untuk ke Real Madrid satu ketika dahulu, masih dia jumpa sekali lagi ketika dia berpindah semula ke United.

Ronaldo turut memberitahu bahawa staf di kantin kelab turut orang yang sama. Menunjukkan kelab langsung tidak kisah tentang isu di sebalik tadbir.

Semalam Man United mengumumkan penamatan kontrak Ronaldo serta merta atas persetejuan bersama.

Dan beberapa jam kemudian, berita Glazer menilai opsyen baharu untuk membangunkan kelab mereka keluar. Ianya dikatakan merujuk kepada niat Glazer mahu menjual kelab itu sama ada secara sebahagian dalam perkongsian, atau sepenuhnya.

Namun begitu, sumber Sky News tidak menolak bahawa keluarga Glazer yang menguasai United pada 2005 dalam perjanjian £790 juta yang sebahagiannya dibiayai oleh hutang bank atas nama kelab, memilih untuk tidak menjual sepenuhnya kelab itu.

Jualan separa kepada pelabur baharu, dengan modal dikumpul untuk membiayai pembangunan semula Old Trafford yang tertunda, merupakan salah satu agenda utama mereka.

Dalam kenyataan rasmi kelab, Glazers telah mengakui keperluan untuk pelaburan infrastruktur baharu untuk mengubah stadium itu menjadi venue bertaraf dunia yang tulen, manakala dana yang besar juga diperlukan untuk membolehkan pasukan utama bersaing sekali lagi di puncak permainan Eropah.

Ramai peminat teringat dengan kritikan Ronaldo ke atas Glazer yang menyentuh isu infrastruktur dan pembangunan pasukan. Walaupun ada sebahagian temubual itu mereka tidak setuju denagn Ronaldo.

Apa yang pasti berita itu disambut baik peminat Man United yang berharap Glazer benar benar berambus daripada kelab mereka.

Kenapa Glazer dibenci?

Manchester United adalah salah sebuah jenama sukan paling ikonik di dunia. Tetapi mereka masih tidak memenangi Liga Perdana Inggeris dalam hampir sedekad, dan kumpulan pemilikan kelab telah mengambil lebih daripada $1 bilion dari akaun kelab sambil membebankan kelab dengan hutang yang tinggi.

Keluarga Glazer bukanlah orang baru dalam pemilikan sukan—mereka membeli Tampa Bay Buccaneers NFL pada tahun 1995.

Selepas menjana keuntungan di AS mereka melengkapkan pengambilalihan Manchester United pada tahun 2005.

Tetapi daripada menggunakan gabungan tunai & hutang yang sihat, keluarga Glazer sebaliknya membiayai pembelian berbilion dolar itu melalui pengambilalihan dengan hutang yang dianggap tidak sihat. Mereka meletakkan hutang itu atas nama Manchester United selepas pengambilalihan tersebut.

Itu menjerumuskan kelab ke dalam hutang $1.2 bilion. Daripada bebas hutang pada 2005, Manchester United menanggung hutang $1.2 bilion pada 2006.

Masalahnya adalah, Glazers tidak menggunakan hutang sebagai modal pertumbuhan — untuk membiayai stadium baharu atau menyokong akademi belia mereka secara kewangan. Ini memberikan impak kepada pembangunan kelab secara keseluruhannya sebagai sebuah pasukan bola sepak.

Ini termasuk aspek lain dalam bola sepak moden seperti bahagian scouting, analisis dan pelbagai aspek lagi yang tidak dibangunkan seperti mana pasukan seteru mereka yang lain seperti Manchester City dan Liverpool.

Kesannya Manchester United tidak memenangi Liga Perdana hampir sedekad, dan stadium bersejarah mereka sedang rosak.

Keadaan menjadi lebih teruk, walaupun Manchester United bergelut di atas padang, keluarga Glazer masih lagi menang di tepi padang kerana mereka berterusan mengambil wang daripada kelab.

Keluarga Glazer telah menjual hampir $700 juta saham sejak IPO kelab itu pada 2012.

Manchester United membayar dividen, dan memandangkan Glazers masih memiliki kira-kira 70% daripada kelab, mereka juga membawa pulang kira-kira $20 juta dalam pembayaran dividen tahunan.

MUFC adalah satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris yang membayar dividen pemegang saham. Bukan itu sahaja, apabila Glazer menambahkan pembayaran faedah, pembayaran balik hutang, yuran lembaga pengarah dan yuran pengurusan yang kesemuanya ditanggung oleh akaun kelab, dianggarkan Glazers telah telah memgambil kira-kira $1.3 bilion dari kelab itu. Ianya disifatkan satu ‘pencurian’ oleh peminat.

Walaupun membelanjakan satu bilion dolar untuk pembayaran faedah sepanjang  lebih 15 tahun yang lalu, jumlah hutang MUFC hampir sama dengan jumlah hutang MUFC pada tahun 2006.

Hutang MUFC
2005: £0
2006: £604 juta
———
2022: £596 juta

Jadi, secara tak langsung, mereka dahulu menyusun strategi agar Manchester United itu sendiri membelikan mereka Manchester United. Penjelasannya, Glazer tidak mengeluarkan modal untuk membeli kelab itu. Mereka berhutang dan kemudian meletakannya atas nama kelab. Hutang yang sama masih kekal sehingga ke hari ini.

Dan saham mereka turun daripada harga IPO 2012.

Jadi sementara Manchester City, Chelsea, dan Aston Villa telah melihat pemilik mereka secara kolektif melabur lebih daripada $2 bilion wang peribadi ke dalam kelab mereka, Manchester United pula telah melihat sebaliknya, dengan Glazers mengambil kira-kira $1.3 bilion daripada kelab itu.

Dan pastinya, Man United telah membelanjakan lebih daripada $1.5 bilion untuk pemain sepanjang dekad yang lalu, tetapi mereka tidak memenangi liga atau UCL, infrastruktur kelab semakin rosak.

Nisbah kejayaan dan pelaburan kelab mereka adalah rendah. Ini kerana ketidakcekapan sistem mereka dalam pembelian pemain. Dengan penilaian harga yang tidak munasabah serta gaji yang tak masuk akal.

Sebab itulah pentingnya melabur dalam bidang pembangunan bola sepak termasuk aspek pentadbiran yang lebih kompleks.

Jadi beribu-ribu peminat memprotes, dan khabar angin mula tersebar bahawa Glazers mungkin menjual kelab itu. Adakah mereka benar benar mahu menjualnya?

Glazers sebelum ini pernah meletakkan nilai Manchester United sebanyak $5 bilion pada tahun 2022. Jika ada yang sanggup membayar sebanyak itu, maka mereka akan berjaya menjadikan United sebagai penjualan terbesar dalam sejarah kelab sukan.

Paling menarik, ketika Roman Abramovich menjual Chelsea, dia telah meletakkan klausa anti Glazer. Untuk mencegah pemilik baharu meletakkan beban hutang pada kelab sebelum mereka melabur wang mereka sendiri.

Selain itu, Chelsea juga meminta agar pemilik baharu mereka melabur dalam aspek akademi, pembangunan bola sepak, scouting dan sebagainya. Sangat ironi!

 

Baca yang lain