TERKINI: Hudson Odoi, Mikel Arteta Positif Covid-19

Arsenal telah mengesahkan bahawa pengurus mereka,Mikel Arteta telah diuji positif untuk Covid-19.

Arsenal sudah menutup pusat latihan mereka di Colney ditutup. Langkah pencegahan seperti pengasingan dan kuarantin juga diambil ke atas beberapa staf mereka.

Mikel Arteta berkata: “Ini sangat mengecewakan. Namun saya mengambil test ini selepas terasa tak sihat. Saya akan kembali semula bertugas selepas dibenarkan kelak.”

Sementara itu, pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi juga disahkan positif Covid-19.

Pengumuman oleh Arsenal itu dibuat pada malam Khamis.

Chelsea pula mengeluarkan kenyataan tentang Callum Hudson Odoi pada pagi Jumaat.

Chelsea mengesahkan mereka sudah mengambil langkah mengkuarantin dan mengasingkan para pemain lain.

Pusat latihan Chelsea di Cobham juga bakal ditutup buat sementara waktu.

Chelsea dalam kenyataan mereka berkata: “Pemain pasukan Chelsea Callum Hudson-Odoi telah diuji positif koronavirus ketika kembali ke kelab pada malam tadi.”

“Kesemua individu dalam pasukan Chelsea yang bersentuhan dengan Callum Hudson Odoi di bangunan kelab, akan diasingkan di rumah, selaras dengan panduan kesihatan oleh kerajaan.”

“Ini akan melibatkan kesemua pemain pasukan lelaki, staf kejurulatihan dan beberapa orang staf di belakang tadbir.”

“Callum mengalami simpton kesejukan pada pagi Isnin dan tidak berada di pusat latihan sebagai langkah berjaga jaga.”

“Namun hasil daripada ujian ke atas beliau malam ini, ianya positif dan akan menjalani pengasingan di rumah.”

“Walaupun disahkan positif koronavirus, Callum baik baik sahaja dan beliau sudah tak sabar untuk kembali berlatih apabila sihat kelak.”

Liga Perdana Inggeris akan mengadakan mesyuarat tergempar pada pagi Jumaat dengan pegawai pegawai kelab bagi membincangkan isu ini.

Buat masa ini EPL masih belum mengenakan sebarang arahan untuk menangguhkan liga ataupun bermain di stadium kosong.

Pusat Latihan Arsenal London Colney kini ditutup dan aksi pada perlawanan Sabtu ini di Brighton ditunda.

Kedua-dua skuad utama pasukan Arsenal dan Chelsea kini dikuarantin. Ini juga bermakna perlawanan di antara The Blues vs Aston Villa juga akan ditangguhkan.

Pemain Manchester City, Benjamin Mendy berada dalam self isolation / kuarantin diri selepas ahli keluarganya dibawa ke hospital selepas mengalami masalah pernafasan.

Selain itu, dilaporkan tiga pemain Leicester City juga dalam pengasingan diri.

Dalam perkembangan yang lain. Serie A sudah mengesahkan liga mereka akan dihentikan seketika.

Bintang Juventus, Rugani antara yang disahkan positif koronavirus. Namun pemain itu menyatakan kondisi beliau pada ketika ini baik.

Sementara itu pemain pemain pasukan Real Madrid juga dikenakan kuarantin selepas ada pemain daripada pasukan bola keranjang mereka disahkan positif Covid – 19.