TERKINI: Hutang Inter Cecah €700 Juta, €340 Juta Wajib Bayar Dalam 36 Bulan

Walaupun sudah menjual Achraf Hakimi dan Romelu Lukaku, Inter Milan masih €340 juta lagi dari paras selamat dalam ratio FFP.

Dan mereka perlu mendapatkan jumlah itu dalam 36 bulan. Ini kerana hutang semasa pasukan tersebut bernilai €700 juta.

RAI 3 melaporkan bahawa Inter Milan berdepan dengan krisis kewangan yang kritikal walaupun mereka baru sahaja memenangi Serie A pada bulan Mei.

Ini kerana mereka sebelum ini meminjam dana dari Great Horizon bernilai €275 juta. Syarikat itu kini memegang 68% saham dalam pemilikan Inter Milan.

Masalahnya kini, itu bukan satu satunya wang pinjaman besar dibuat oleh Suning untuk Inter Milan. Sehinggakan mereka menanggung hutang yang kini mencecah €700 juta.

Inter Milan kini menanggung kadar faedah pinjaman 9% setiap tahun bersamaan yang akan mencecah  €72 juta selepas tiga tahun.

Seterusnya Suning perlu mencari €340 juta untuk membayar wang yang mereka pinjam dari Oaktree dalam tempoh 3 tahun.

Situasi di Inter Milan ini mirip kepada apa yang berlaku kepada AC Milan ketika di bawah bekas presiden Yonghong Li dan yang meminjam wang dengan kadar bunga yang tinggi dari Elliott Management.

Oleh sebab itu Suning terus meminta pengurus pasukan untuk terus menjual beberapa pemain lagi bagi membantu mereka membayar pinjaman tersebut.

Sebelum ini Antonio Conte meletak jawatan kerana menganggap ianya satu kerja gila untuk menjual pemain pemain bintang penting Inter dalam usaha mereka mahu mempertahankan kejuaraan dan beraksi di UCL.

Conte malah merasakan bahawa pengurusan tertinggi seharusnya menyediakan dana perpindahan untuk membantu menguatkan lagi pasukan dan bukannya meminta pengurus mengurangkan kekuatan pasukan.

Inter Milan sebelum ini yakin mereka akan mampu membayar hutang itu dengan keterlibatan dalam Liga Super Eropah. Itulah sebabnya mereka meminjam dana di kiri dan kanan untuk berbelanja mewah.

Malangnya projek ESL itu buat masa ini masih tidak dapat dilaksanakan, malah hanya 3 pasukan sahaja yang kekal tidak menarik diri, iaitu Real Madrid, Barcelona dan Juventus.

Dan masih belum ada tanda tanda jelas ESL akan dapat dilaksanakan selepas mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk daripada penyokong.

Inter sudah mendapatkan sekitar €190 juta daripada penjualan Romelu Lukaku dan juga Achraf Hakimi. Namun mereka masih perlu mencari lebih banyak dana lagi.

Serie A tidak seperti EPL yang ada bayaran daripada hak penyiaran yang tinggi. Mereka kini sangat bergantung kepada penjualan pemain semata mata.

Seterusnya, situasi pandemik membuatkan Inter hilang pendapatan daripada hari perlawanan pada musim lalu.

Selain itu, ramai penaja yang tidak dapat menawarkan pakej tinggi ataupun bertenang seketika daripada tajaan mega kepada kelab kelab bola sepak.

Inter Milan kini dikaitkan dengan penjualan beberapa lagi pemain termasuk Lautaro Martinez.

Inter pastinya tidak mahu menanggung nasib yang sama seperti AC Milan sebelum ini yang digantung daripada menyertai pertandingan Eropah kerana FFP.

Itu akan memberikan impak lebih besar ke atas kewangan mereka.