Berita baik buat peminat Kedah FC kerana, pasukan tersebut baru sahaja mengumumkan bahawa pasukan mereka akan kembali dikenali sebagai Sang Kenari, menggantikan Lang Merah.
Kenari sangat sinonim dengan bola sepak Kedah kerana ianya menjadi simbol kepada transformasi dan revolusi di bawah Allahyarham Dato Ahmad Basri Akil. Yang turut popular dengan tagline: Biar Jasa Jadi Kenangan – serta bunga alamanda.
Logo yang sangat unik dan berpengaruh untuk diingati dalam sejarah bola sepak kita.
Namun pada 2014, Kedah FA membuat kejutan apabila menukar Kenari kepada Lang Merah ataupun Helang Merah sebagai maskot pasukan mereka. Terdapat banyak bantahan diterima daripada Kedah FA pada ketika itu yang turut di bawah revolusi di bawah kepimpinan Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Ketika itu Mukhriz menyatakan, pemilihan Helang Merah sebagai maskot dan kemudian diabadikan dalam logo pasukan kerana ianya lebih garang. Mukhri berkata: “Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang.
Walaupun berlaku perbezaan pandangan dari segi logo yang kemudian ditukar ke logo Helang, dan maskot dari kenari kepada Lang Merah, namun penyokong Kedah tetap bersatu dalam menyokong pasukan mereka.
Menjadikan mereka antara kelompok penyokong yang terus kukuh di Malaysia sehingga ke hari ini.
Sebelum musim 2022 bermula, pengurusan tertinggi Kedah Darul Aman FC membawakan semula imej yang pernah menjadi kebanggan Kedah. Perkara itu diumumkan dengan video khas dengan kapsyen: Kami kini digelar ‘Sang Kenari’! #KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari.
Mereka menyatakan bahawa, tidak ada salahnya pun menggunakan Lang Merah, kerana perlancongan di Kedah pun sinonim dengan burung Helang dan bendera Kedah pun dominan warna merah.
Namun apabila bercakap tentang bola sepak, Kedah lebih dekat dengan Hijau Kuning dan juga burung Kenari.
Rata rata di ruangan komen, para peminat Kedah mengalu alukan langkah ini. Kerana bagi mereka, legasi Kenari itu sangat kuat dan bermakna untuk mereka. Terutama sekali ianya adalah simbol kepada revolusi di bawah Allahyarham Dato Ahmad Basri Akil.
Selain itu, era Kenari juga menampilkan Kedah sebagai pasukan double treble satu ketika dahulu. Pencapaian yang masih tak diulangi oleh mana mana pasukan dalam liga Malaysia sehingga sekarang ini.
Video dimulakan dengan keindahan alam termasuk sawah padi yang terbentang luas. Kemudian burung Kenari, serta sorakan peminat fanatik Kedah FC.
Peminat juga dipaparkan dengan beberapa detik ikonik para pemain menjulang trofi.
Saksikan video khas itu:
Kedah sama seperti pasukan lain, sedang dalam rangka persiapan untuk musim baharu. Kedah pastinya akan berwajah lain musim 2022 lebih lebih lagi, tiada nama legenda ikonik mereka, Baddrol Bakhtiar yang menyertai pasukan Sabah.
Ini adalah peluang untuk generasi baharu bola sepak di Kedah untuk cuba menonjolkan diri mereka.