TERKINI: Kerana Sekatan, Chelsea Terlepas Rudiger Ke Madrid, Klausa Pelepasan €400 Juta Diselit

Fabrizio Roman dan juga The Athletic mengesahkan bahawa bek tengah Chelsea, Antonio Rudiger telah mencapai kesepakatan dengan Real Madrid untuk perpindahan secara percuma.

Rudiger yang menjadi juara Eropah bersama Chelsea sebelum ini gagal memeterai perjanjian dengan Chelsea.

Namun rundingan tersebut masih berjalan. Cuma apabila Chelsea dikenakan sekatan, mereka dilarang melanjutkan kontrak pemain. Dengan pemain tak pasti tentang apa akan berlaku pada kelab pada ketika itu.

Tuchel mengakui kesan daripada sekatan itu telah membuatkan dia kehilangan pemain penting seperti Rudiger. Rudiger menjadi bek tengah utama era Tuchel. Dia boleh bergandingan dengan sesiapa sahaja di dalam pasukan Chelsea termasuk Thiago Silva dan Christensen.

Sebelum kedatangan Tuchel, Rudiger hampir meninggalkan Chelsea dan diarahkan oleh Lampard mencari kelab baharu. Rudiger pada ketika itu malah dibekukan daripada beraksi kerana tak sehaluan dengan Frank Lampard.

Kehadiran Tuchel telah mengubah nasib pemain itu. Dia dipanggil semula ke dalam pasukan utama dan diminta menunjukkan kemampuan sebenarnya.

Rudiger menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaiknya. Dia menjadi bek tengah yang sangat konsisten dan antara yang terbaik di Eropah dalam 2 musim kebelakangan ini.

Rundingan antara Rudiger dengan Chelsea menemui kesulitan kerana pemain itu dilaporkan meminta €10 juta semusim.

Tetapi Chelsea masih yakin akan dapat melanjutkan kontrak pemain itu dengan rundingan terus berjalan. Malangnya situasi menjadi sukar ketika Chelsea dikenakan sekatan. Di mana rundingan tersebut terpaksa dihentikan seketika.

Tuchel menyalahkan sekatan oleh kerajaan ke atas Chelsea sebagai punca mereka sukar berdepan dengan banyak perkara. Namun Tuchel menegaskan, dia masih memuji pemain pemainnya yang kekal memberikan yang terbaik.

Real Madrid akhirnya menawarkan pakej yang hampir sama seperti diminta Rudiger. Dengan adanya klausa bonus persembahan.

Selain itu, kelab juara Sepanyol yang baru dinobatkan itu turut memasukkan klausa pelepasan €400 juta dalam kontrak Rudiger.

Pemain itu dikatakan setuju dengan kontrak 4 tahun dan akan dimumumkan secara rasmi selepas final Liga Juara Juara Eropah menentang Liverpool pada akhir Mei ini.

Tuchel menghargai Rudiger yang turut menjadi mentor kepada Trevoh Chalobah dan Malang Sarr. Dia pemain yang memiliki personaliti yang sangat bagus dan kemampuan bertutur pelbagai bahasa.

Itu telah banyak membantu Rudiger dan juga membantunya dalam membantu pemain lain.

Selain daripada kehilangan Rudiger, Chelsea juga dijangka akan kehilangan Andreas Christensen kepada kelab seteru Real Madrid iaitu Barcelona. Kes dia sama dengan Rudiger, Chelsea tak dapat melanjutkan kontrak pemain itu sebelum ini.

Tuchel kini meminta kelab untuk mendapatkan 2 pemain bek tengah baharu musim hadapan. Dengan isu pemilikan Chelsea sudah hampir dimeterai.

Mujur pemain seperti Jorginho, Kante dan Marcos Alonso masih ada baki setahun lagi kontrak selepas ini. Namun masih tidak pasti sama ada pemain pemain itu akan kekal.

Oleh sebab itu Tuchel sangat berharap isu pemilik ini diselesaikan segera. Kerana dia melihat lebih lama isu ini tak selesai lebih banyak kerosakan dan kesulitan dihadapi Chelsea.

Real Madrid terdesak mahu memperbaiki barisan pertahanan mereka. Rudiger masih lagi muda dan dianggap pemain yang akan mampu menjadi nadi penting pasukan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, status pemain itu sebagai ejen bebas juga sangat penting untuk Real Madrid yang masih berusaha memulihkan ekonomi mereka.

Selain Rudiger, Real Madrid masih berusaha mendapatkan Kylian Mbappe dari PSG. Walaupun laporan dari Perancis menyebut bahawa pemain itu sudah hampir pasti akan terus kekal dengan PSG pada musim hadapan.

Real Madrid mahukan Mbappe untuk menggantikan Eden Hazard yang dilihat tidak dapat mencapai standard yang dimahukan dan diharapkan daripada beliau.

Baca yang lain