TERKINI: Legenda Penjaga Gol Hoki, S Kumar Bersara

Beliau merupakan salah seorang penjaga gol hoki terbaik di dalam generasi beliau, tak kira di peringkat Asia mahupun dunia.

Ketangkasan, kelasakan dan ketenangan beliau di atas gelanggang memang menjadi salah satu senjata penting buat negara.

Namun, segalanya yang bermula pasti akan berakhir. S Kumar akhirnya mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa selepas 20 tahun menabur bakti bersama Speedy Tiger.

S Kumar sudah berusia 40 tahun, dan pengumuman rasmi tentang persaraan beliau itu dibuat dalam satu sidang media.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.

Kumar sangat berat hati untuk meninggalkan skuad kebangsaan. Persaraan di arena antarabangsa adalah perkara yang paling sukar buat beliau, setelah sekian lama beraksi.

Kumar turut rasa kesal kerana gagal membantu Malaysia ke Sukan Olimpik, yang menjadi satu satunya kejohanan yang beliau tak pernah sertai.

S Kumar mendapat debut bersama skuad kebangsaan pada Sukan Sea Brunei 1999.

Dan beliau sudah beraksi dalam 321 penampilan bersama skuad kebangsaan.

MHC turut mengumumkan S Kumar akan diserap ke dalam barisan kejurulatihan skuad hoki kebangsaan selepas ini.

Ianya adalah titik permulaan kepada fasa baharu di dalam karier beliau selepas ini.

Terima kasih S Kumar. Anda legenda yang akan diingati selamanya. Selamat maju jaya kepada anda pasca era bersama skuad kebangsaan.

Baca yang lain