TERKINI: Lisandro Martinez Jalani Pembedahan Kedua Kerana Kecederaan Lamanya Tak Pulih Sebaiknya

Lisandro Martinez dilaporkan perlu menjalani satu lagi pembedahan lanjutan untuk merawat kecederaan yang pertama kali dia alami pada April lalu.

Laman rasmi Man United mengesahkan bahawa Martinez mengalami kecederaan yang sama sekali lagi ketika aksi menentang Arsenal bulan ini.

Namun pemain itu dengan semangat juang yang tinggi tetap memberanikan diri untuk bermain dalam aksi menentang Brighton & Hove Albion dan Bayern Munich.

Kini pemain itu harus berehat daripada bola sepak bagi menumpukan sepenuhnya kepada proses pemulihan dan rehabilitasi. Kelab mengesahkan bahawa, pemeriksaan rapi terus dibuat.

Lisandro Martinez merupakan pemain yang dibeli Man United dari Ajax dengan nilai £47 juta. Dia mengalami kecederaan retak tulang metatarsal pada April dalam aksi menentang Sevilla – pada kempen UEL.

Kemudian dia kembali semula ke Carrington pada pra musim dan disahkan cergas untuk memulakan musim 2023/24. Tetapi mengalami kecederaan yang sama ketika kekalahan di tangan Arsenal pada September.

Lisandro Martinez tetap melapor diri untuk tugasan antarabangsa namun dia tidak bermain untuk Argentina pada minggu antarabangsa yang lalu.

Walaupun dia sedar akan risiko kecederaan yang dia alami boleh memberikan impak jangka panjang kepada kariernya, pemain itu tetap bermain dalam aksi menentang Brighton dan Bayer, di mana Man United menelan kekalahan dalam dua perlawanan itu. Dia dikatakan bermain dengan bantuan ubat tahan sakit dalam kedua dua aksi tersebut.

Satu ujian medikal dibuat pada Khamis minggu lalu, dengan keputusan yang keluar agak meresahkan. Pakar perubatan mengesahkan bahawa ada keretakan pada kakinya yang tidak dirawat atau pulih dengan sebaiknya.

Bermakna, Martinez perlu menjalani pembedahan kedua dan dijangka akan berehat sekitar 3 bulan. Berita ini pastinya tamparan hebat buat Erik Ten Hag yang kini sedang runsing dengan prestasi pasukannya.

Di mana Man United baru sahaja menelan kekalahan keempat mereka dalam 7 perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris. Menjadikan ia permulaan terburuk Man United dalam liga sejak 1989/1990.

Skuad Man United ketika ini dibelenggu krisis kecederaan yang serius, ditambah dengan penggantungan Jadon Sancho oleh kelab itu.

Pada Ahad lalu, Erik Ten Hag menjelaskan tentang kecederaan Martinez. “Kami melakukan diagnosis yang sebaiknya, begitu juga di kem Argentina, namun ketika ini, Lisandro disahkan ada masalah kecederaan.”

“Ianya berita sangat sedih, untuk dia dan juga pasukan, kerana dia tidak cergas 100%. Saya rasa ada perbezaan yang sangat besar antara Licha Martinez dalam perlawanan terakhir, dengan Licha Martinez yang kita saksikan pada musim pertamanya di sini.”

Peminat Man United tidak gembira dengan berita ini. Mereka mahu jurulatih kecergasan dan petugas perubatan Man United bertanggungjawab kerana membenarkan pemain yang dalam kesakitan turut beraksi.

Selain daripada Lisandro Martinez, seorang lagi pemain mereka iaitu Sergio Reguillon juga disahkan mengalami kecederaan selepas aksi menentang Palace. Pemain itu bagaimanapun dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan.