TERKINI: Liverpool Sedang Berunding Dengan Benfica Mendapatkan Nunez

Perkembangan terkini saga perpindahan Darwin Nunez ke Liverpool menjadi semakin rancak.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa Liverpool sedang berunding secara rasmi dengan Benfica untuk membeli Darwin Nunez.

Sumber yang sama menyatakan bahawa, ketika ini kesemua pihak berada dalam fasa yang sangat penting untuk rundingan tersebut.

Sama ada rundingan itu akan memasuki fasa seterusnya iaitu untuk bidaan rasmi.

Liverpool seperti yang dilaporkan semalam, masih kekal dengan bidaan sekitar £68 juta untuk mendapatkan pemain tersebut dengan pakej bonus tambahan sebanyak £17 juta lagi.

Liverpool sedia mengkontrak pemain itu selama 5 tahun.

Walaubagaimanapun, Manchester United masih berharap akan dapat menandatangani Darwin Nunez. Dengan Red Devils masih berhubung dengan ejen pemain tersebut untuk mendapatkan Nunez termasuk untuk hari ini.

Nunez menjadi sasaran utama Erik Ten Hag untuk menggantikan Edinson Cavani dan dilihat sebagai striker pada masa depan untuk Manchester United memandangkan usianya baru 22 tahun. Namun dia sudah sangat matang di atas padang dan fizikalnya sangat lasak.

Liverpool yang kehilangan Divock Origi kemudian bakal kehilangan Sadio Mane dalam beberapa hari atau minggu lagi.

Mane sudah menyatakan bahawa dia mahu mencari cabaran baharu dengan Bayern Munich menjadi kelab yang sangat berminat dengan pemain itu.

Rundingan sudah dibuat cuma Liverpool dan Bayern masih gagal mencapai kesepakatan harga.

Darwin Nunez boleh beraksi di mana mana posisi di serangan selain daripada peranan utamanya sebagai no.9.

Laporan daripada UK sebelum ini menyebut bahawa dia berminat untuk ke Liverpool dengan prospek bekerjasama dengan Jurgen Klopp.

Klopp benar benar perlu bertindak untuk mendapatkan penyerang baharu. Memandangkan dia bakal kehilangan pemain seperti Mane. Pada masa yang sama Roberto Firmino dan Mo Salah juga memasuki tahun akhir dalam kontraknya.

Jika Nunez menyertai Liverpool, dia akan menjadi pemain kedua dibeli Klopp pada jendela perpindahan kali ini selepas Fabio Carvalho dari Fulham.

Pemain muda itu disahkan akan bersama dengan Liverpool dalam pasukan utama musim hadapan dan tidak akan dipinjamkan ke mana mana kelab.

Nunez menjadi prospek yang sangat panas di jendela perpindahan. Tetapi Benfica masih membuka pintu rundingan kepada semua kelab yang mahu membida pemain tersebut.

Ke manakah destinasi Nunez pada musim hadapan? Adakah ke Liverpool atau ke Manchester United?