TERKINI: Najib Razak Dipenjara 12 Tahun, Denda RM210 Juta

Usaha bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat rayuan akhir, telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Sebelum memasuki mahkamah, Najib Razak sempat keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi dan mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” kata Najib Razak, menurut sumber Bernama.

Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

Najib kemudian menjelaskan: “Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Hari ini, panel 5 hakim yang diketuai dan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat telah sebulat suara bersetuju bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dalam mensabitkan Najib Razak dengan tuduhan berkenaan.

Oleh itu, bekas Perdana Menteri itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib akan mulai menjalani hukuman penjara bermula hari ini, menjadikannya perdana menteri Malaysia pertama yang pernah dihantar ke penjara di dalam sejarah.

Tengku Maimun, ketika menjatuhkan keputusan itu bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd, berkata:

“Pembelaan sememangnya tidak konsisten dan luar biasa sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. Kami juga mendapati bahawa hukuman yang dikenakan tidak secara nyata keterlaluan.”

Menurut laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Pada 8 Disember 2021 lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah gagal dalam cubaannya untuk mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.