TERKINI: Penganjur Buat U-turn, Tak Jadi Bagi Ballon d’Or 2020 Kepada Lewandowski

Penganjur Ballon d’Or mfengesahkan bahawa mereka telah sebulat suara mengundi untuk tidak memberikan Ballon d’Or 2020 kepada Robert Lewandowski.

Sebelum ini France Football Magazine berbincang tentang idea untuk menyerahkan Ballon d’Or 2020 kepada Robert Lewandowski yang dianggap calon terbaik untuk memenanginya pada tahun tersebut.

Namun acara itu tidak diadakan tahun tersebut kerana pandemik yang melanda. Tahun berikutnya, acara tersebut diadakan, dengan desakan daripada kem PSG terutama sekali – menurut laporan L’Equipe. Yang menyaksikan dua pemain PSG menjadi pilihan untuk memenanginya iaitu Mbappe dan Messi.

Messi memenangi edisi 2021. Dan Lewandowski agak terkilan kerana tidak mendapat anugerah tersebut.

Beberapa tahun lalu dia memberitahu BILD: “Pada tahun 2020 dan 2021, adalah tahun terbaik karier saya. Kawan saya hantar statistik kepada saya menunjukkan bahawa saya mencetak 100 gol dalam 85 perlawanan.”

Ballon d’Or beberapa minggu lalu ada membincangkan tentang kemungkinan memberikan anugerah 4 tahun lalu itu kepada Lewandowski.

Namun semalam laporan menyebut bahawa selepas mesyuarat antara pegawai terlibat, pihak penganjur memutuskan untuk tidak memberikan anugerah tersebut – Ballon d’or 2020 – kepada Lewandowski.

France Football berkata: “Untuk menamatkan segala spekulasi tentang perkara ini, kami selaku penganjur tidak akan menyerahkan anugerah ballon d’or 2020 tersebut kepada Robert Lewandowski.

“Sebagai sebuah institusi, kami ada peraturan dan prinsip dan kami menghormati prinsip tersebut,” tegas pihak Ballon d’Or.

Jadi nampaknya Lewandowski kekal tidak akan berada dalam senarai Ballon d’Or setakat ini. Atau mungkin tidak akan pernah berada dalam senarai penerima buat selamanya.

Dia masih ada beberapa musim untuk cuba memenangi anugerah itu. Namun dengan peningkatan nama pemain seperti Erling Haaland, Kylian Mbappe ataupun Vinicius Jr, jelas sekali ianya kerja sukar untuk dilakukan.