TERKINI: PKR Yakin Bentuk Kerajaan, Cadang Anwar Sebagai PM Kelapan

Rakyat Malaysia masih lagi menunggu siapa agaknya bakal menjadi Perdana Menteri ke-8?

Ketika ini, jawatan Perdana Menteri Malaysia hanyalah digalas secara interim oleh Tun Dr Mahathir Mohamed.

Beberapa hari lalu, Tun Dr  Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Kemudian, BERSATU mengesahkan mereka keluar dari Pakatan Harapan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Zuki dalam kenyataan rasmi berkata:

KEDUDUKAN ANGGOTA PENTADBIRAN BERIKUTAN PELETAKAN JAWATAN YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan Menteri-Menteri atas nasihat YAB Perdana Menteri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan YAB Perdana Menteri.

Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi YAB
Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama (24 Februari 2020).

 

Yang di-Pertuan Agong kemudian melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim.

PKR cadang nama Anwar Ibrahim

Sebentar tadi, PKR mengesahkan mereka sudah mencadangkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew, antara mereka yang sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dipetik daripada Berita Harian, Datin Tan berkata: “Kami bagi sokongan penuh (kepada Anwar) sebagai Perdana Menteri kelapan.”

“Baru sebentar tadi kami tandatangan SD (akuan bersumpah) dan setakat ini PKR berdiri di belakang Anwar.”

“Saya percaya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP bersama dengan kami, kami selalu bersama,” katanya.

PKR juga yakin bahawa mereka kini dalam landasan terbaik dan mendapat sokongan untuk membentuk Parlimen.

Baca yang lain