TERKINI: Pogba Terpaksa Dibedah, Berisiko Terlepas Aksi Piala Dunia

Berita buruk dari kem Juventus, di mana Paul Pogba dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan untuk memulihkan kecederaannya.

Paul Pogba masih belum membuat kemunculan semula rasminya bersama Juventus dalam Serie A selepas menyertai mereka musim panas ini sebagai ejen bebas.

Pemain tengah Perancis itu mengalami kecederaan di meniskus lutut kanannya pada Julai, memaksanya terlepas jelajah pramusim bersama kelab Itali itu.

Dia kemudian menghabiskan masa hampir dua bulan cuba memulihkan dan mengelakkan pembedahan, memilih pendekatan konservatif.

Salah satu daripada sebabnya adalah, jika dibedah Pogba berpotensi terlepas beraksi di Piala Dunia 2022, yang menjadi keutamaannya.

Ia tidak berjaya. Pogba dan Juventus secara bersama-sama memutuskan dia perlu menjalani pembedahan minggu ini selepas keputusan ujian negatif pada pagi Isnin di J Medical di Turin menunjukkan kekurangan perkembangan pada lutut.

Pogba kini akan terlepas sekitar enam hingga lapan minggu, bermakna sama ada dia kembali tepat pada masanya untuk Piala Dunia 2022 pada bulan November akan ditentukan oleh tempoh pemulihannya dalam beberapa minggu akan datang dan sama ada pengurus Perancis Didier Deschamps sanggup mengambil risiko untuk membawa Pogba yang baru pulih pada masa itu.

Ini juga bermakna Pogba mungkin akan terlepas aksi sepanjang tahun ini bersama Juventus, memandangkan kelab Itali itu akan bermain sehingga minggu pertama November sebelum pemain berlepas ke Piala Dunia Qatar.

Sebaliknya, kemungkinan besar Pogba akan kembali ke Bianconeri pada awal tahun depan dalam keadaan sihat sepenuhnya dengan lutut yang telah diperbaiki.

Pogba kembali ke Juventus pada musim panas ini sebagai ejen bebas, enam tahun selepas dia meninggalkan kelab Itali itu untuk menyertai Manchester United.

Ia adalah kali kedua Pogba bersama kelab itu selepas kali pertama beraksi bersama mereka dari tahun 2012 sehingga 2016 sebelum kembali ke Old Trafford dengan harga kira-kira €105 juta.

Pogba memulakan kariernya ketika masih muda di Manchester United tetapi kemudian memilih untuk berpindah ke Itali sebagai ejen bebas untuk menyertai Juve buat kali pertama, bermain empat tahun, mencatat 178 perlawanan dan menjaringkan 34 gol sambil turut memberikan 40 assist.

Dia memenangi empat kejuaraan Serie A berturut-turut dan 2 gelaran Coppa Italia dalam proses itu. Dia berpindah semula ke Manchester United pada musim panas 2016 selepas kelab Inggeris itu membayar yuran perpindahan rekod ketika itu untuk perkhidmatannya.

Namun dia kemudian kembali semula dari Manchester United secara percuma ke Juventus.

Tahun yang sukar buat Pogba. Selain daripada dilanda kecederaan, dia juga baru sahaja diserang oleh abangnya sendiri di media sosial menuduhnya manusia hipokrit dan kuat berdukun termasuk cuba menyihir Mbappe. Pogba sudah menafikan kesemua tuduhan itu dan membuat laporan polis menyatakan dia mangsa peras ugut sekumpulan penjenayah bersenjata yang turut disertai oleh abang dan rakan baiknya sejak dari kecil.

Apa yang penting sekarang, Pogba fokus kepada pemulihan kecederaannya. Itu paling penting.