TERKINI: TMJ Bongkar Tangan Ghaib Sebenar Pukul 4 Petang Ini

Sebelum ini FAM diajukan tentang persoalan tentang kemungkinan ada campur tangan oleh tangan ghaib aka hidden hand dalam pemilihan skuad kebangsaan ke Piala AFF Suzuki 2020 yang lalu.

Dan pemilik JDT iaitu , Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim ataupun TMJ sudah sedia untuk membongkar siapakah tangan ghaib sebenar.

Kegagalan Malaysia dalam Piala AFF 2020 yang lalu mendapat perhatian serius peminat dan pemerhati bola sepak tempatan. Dengan skuad yang dibawa dilabel sebagai bukan skuad terbaik yang sepatutnya Malaysia ada.

Ini ditambah dengan hanya 24 pemain yang didaftarkan daripada 30 kuota maksimum yang digunakan sepenuhnya pasukan lain. Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampil menjelaskan kenapa Mohamadou Sumareh tidak dapat beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2020.

Sebelum itu, Datuk Dell Akhbar Khan yang dilantik menjadi ketua jawatankuasa menjelaskan bahawa nama Mohamadou Sumareh dipanggil untuk mewakili Malaysia dalam Piala AFF 2020. Namun pemain itu menolak.

Datuk Dell Akhbar turut menggariskan ada kelemahan pada FAM itu sendiri yang membuatkan squad depth menjadi nipis berbanding pasukan lain. Di mana Malaysia menjadi satu satunya negara yang menghantar 24 sahaja pemain berbanding 30 yang dibenarkan.

Menurut Datuk Dell Akhbar Khan: “Pada awal lagi memang ada kekurangan di pihak FAM untuk menghantar jumlah yang sepatutnya boleh dihantar [hanya hantar 24 pemain]. Peraturan pertandingan membenarkan untuk menghantar 30 pemain untuk didaftarkan.”

“Jadi pada awal terdapat kekurangan. Di mana silapnya? FAM perlu jawab. Kerana ada sebilangan yang dipanggil, tidak dapat menyertai. Sumareh misalnya, menolak tawaran untuk bermain kali ini.”

Korang boleh rujuk minit ke-15:40s di mana Datuk Dell Akhbar menyatakan bahawa Sumareh menolak untuk mewakili Malaysia.

Seterusnya Datuk Hamidin  menafikan bahawa Sumareh bukan menolak untuk mewakili Malaysia. Sebaliknya pemain itu masih bersemangat untuk mewakili negara dalam Piala AFF 2020, cuma dia meminta untuk melapor diri lewat iaitu paling awal pun perlawanan kedua – kerana ada masalah keluarga.

Hamidin menambah, selepas perbincangan dengan coach Tan Cheng Hoe, kedua dua mereka setuju bahawa, Malaysia tidak perlu memanggil Sumareh yang kesulitan untuk melapor diri ketika itu kerana masalah keluarga.

Dan akhirnya mereka setuju untuk memanggil sahaja pemain yang sedang meningkat naik yang juga merupakan pemenang ABK21 iaitu Arif Aiman.

Hamidin berkata: “Fina [wartawan Astro], saya nak jawab sikit isu tentang Sumareh. Saya harap saya punya kenyataan ini bukan dianggap sebagai kenyataan lepas tangan ataupun….. yang benar is benarlah.”

“Sumareh telah berjumpa dengan saya dengan coach Tan [Cheng Hoe] beberapa hari sebelum [kejohanan bermula]. Mungkin dia ada berjumpa dengan orang lain tapi mereka ni apabila mereka ada masalah besar [yang tak dapat diselesaikan] maka mereka akan berjumpa dengan saya sebagai orang yang terakhir selaku presiden memang tugas saya pun.”

“Jadi Tan jumpa balik dengan saya dalam beberapa hari, dalam 5 hari macam tu.”

Oleh kerana kecelaruan yang berlaku dalam pemilihan pemain, peminat merasakan ada tangan ghaib yang campur tangan dari belakang. Ini kerana Tan Cheng Hoe dilihat sangat sukar untuk mendapatkan pemain yang beliau mahukan dalam beberapa bulan sebelum kejohanan dan juga ketika pertandingan berlangsung.

Lantas TMJ akan mendedahkan siapakah tangan ghaib tersebut dalam satu siaran khas menerusi YouTube Arena pada pukul 4 petang bertarikh 27 Januari 2022.

Jadi sama sama kita nantikan pembongkaran eksklusif ini.