TERKINI: United Dan Ronaldo Capai Kesepakatan, Manchester City Tak Berminat Dengan Ronaldo

Koresponden sukan terkenal, Simon Stones mengesahkan bahawa Manchester City tidak berminat menandatangani Cristiano Ronaldo.

Ianya selepas mereka dikaitkan dengan pemain itu sepanjang minggu ini.

Ronaldo sebelum ini sudah memberitahu Juventus bahawa beliau mahu keluar. Dan Ronaldo turut disisihkan daripada kesebelasan utama dalam aksi pembukaan Serie A kerana masa depannya yang tidak menentu.

Selepas PSG menarik diri daripada mendapatkan Ronaldo, nama Man City mulai menjadi kelab yang dianggap destinasi baru Ronaldo.

Malangnya, saga perpindahan itu nampaknya tidak lama. City dikatakan sudah tidak berminat untuk membincangkan soal Ronaldo.

Kelab itu sebelum ini hanya meletakkan Ronaldo sebagai kemungkinan yang dipertimbangkan. Dan akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskannya.

City Xtra turut menyatakan bahawa Manchester City tidak akan menandatangani Cristiano Ronaldo.

Man City ditawarkan oleh Jorge Mendes sebelum ini untuk mendapatkan Ronaldo.

Dan City tidak mahu terus menutup kemungkinan tersebut. Namun City difahamkan tidak melakukan sebarang bidaan langsung walaupun perbincangan dengan ejen Ronaldo dibuat untuk membincangkan soal terma dan syarat peribadi kontrak.

Juventus dikatakan menunggu bidaan rasmi daripada Manchester City sejak beberapa hari ini. City pula keberatan untuk membida Ronaldo dengan nilai EUR 30 juta yang diminta Juventus.

Terbaru, Manchester United tiba tiba menyatakan bahawa mereka juga berminat untuk membawa pulang legenda kelab mereka itu ke Old Trafford.

Dalam sidang medianya, Ole Gunnar Solskjaer berkata: “Saya terkejut dan tak sangka Ronaldo akan meninggalkan Juventus. Ianya banyak dilaporkan dan banyak spekulasi.”

“Namun jika dia benar benar meninggalkan Juventus, cuma nak bagitau dia bahawa kami sentiasa ada di sini.”

Jorge Mendes bercakap dengan Manchester United semalam tentang isu Ronaldo. Menghangatkan lagi kemungkinan Ronaldo akan kembali ke Old Trafford.

Samuel Luckhurst kemudian melaporkan bahawa Man United dan Ronaldo sudah mencapai kesepakatan kontrak peribadi dengan gaji GBP270k seminggu. Bayaran agensi juga sudah dipersetujui.

Kini tinggal rundingan antara kelab pemilik dan pembeli iaitu Juventus dan Manchester United.

Ronaldo sudah meminta pelepasan daripada tugasan minggu ini. Laporan di Itali turut menyebut bahawa Ronaldo sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan rakannya di Juventus.

Ini pastinya akan menjadi kepulangan paling sensasi dalam sejarah kelab Man United jika ianya menjadi kenyataan.

Fabrizio Romano mengesahkan bahawa United kini sedang menyediakan tawaran kontrak kepada Ronaldo. Jorge Mendes akan menerimanya secepat mungkin.

Kem Man United yakin bahawa mereka akan memenangi persaingan mendapatkan Ronaldo.