Terlalu Minat Kereta F1, Mekanik Ini Cipta Kereta F1 Jenama Faraon Yang Road Legal

Miso Kuzmanovic adalah seorang mekanik yang tinggal di sebuah wilayah di Sarajevo. Beliau sangat obses dengan sukan Formula 1. Dari kecil Kuzmanovic berangan-angan mahu menjadi pemandu Formula 1. Tetapi hasrat itu sangat sukar untuk dicapai.

Lebih-lebih lagi di Bosnia sukan ini bukanlah popular berbanding dengan sukan-sukan yang lain. Pada masa yang sama, beliau sentiasa mengimpikan memiliki sebuah kereta Formula 1 di garajnya.

Sudah pastinya ia bukan murah dan tidak mampu untuk beliau miliki. Jadi, Kuzmanovic mengambil inisiatif untuk membina kereta Formula 1 sendiri yang boleh digunakan di jalanraya awam.

Kuzmanovic memberitahu beliau melaburkan sekitar $30,000 untuk membina kereta Formula 1. Kos itu pastinya jauh lebih murah daripada sebiji kereta Formula 1 yang mencecah nilai jutaan dollar.

Rekaan luaran kereta mirip kepada Ferrari yang dipandu oleh legenda Michael Schumacher satu ketika dahulu. Dan Kuzmanovic menamakan kereta itu Faraon.

Beliau memberitahu AFP:

“Saya membelanjakan sekitar $30,000. Melaburkan banyak tenaga dan beribu-ribu jam untuk membina sebuah kereta formula 1. Kini saya menikmati hasilnya dan saya sangat sukakannya.”

Kereta ini menggunakan tayar kereta biasa. Panjangnya sekitar 20 kaki. Beratnya pula adalah 1,280 kilogram. Menggunakan enjin 2 liter.

Kuzmanovic melakukan kerja-kerja di garaj yang tertutup. Beliau memang mahu melakukan kejutan kepada jiran-jiran beliau. Dan ketika kereta itu ditayangkan keluar, ramai jiran beliau teruja dan memuji hasilnya.

Idea untuk menghasilkan kereta Formula 1 ini bermula ketika Formula 1 datang mempromosikan perlumbaan itu di Belgrade. Beliau datang ke acara itu dan melihat sendiri replika kereta formula 1 ditayangkan.

Beliau jatuh cinta pandang pertama apabila melihat kereta itu di depan mata dan menyifatkan kereta itu sebagai sangat hebat.

Lalu beliau balik ke rumah dan melakukan banyak kajian untuk menghasilkan kereta Formula 1 itu sendiri.

Ianya mengambil masa 4 tahun untuk beliau menghasilkan sebuah kereta replika Formula 1 ini. Selepas itu, Kuzmanovic pergi mendaftarkan kereta itu dengan kerajaan untuk digunakan di jalanraya awam.

Pihak berkuasa telah memeriksa kereta itu dan mendapati ianya tiada masalah untuk digunakan. Kuzmanovic diberikan geran kereta dan lengkap dengan spesifikasi kereta tersebut. Mereka meluluskan kereta itu untuk digunakan di jalanraya.

Kuzmanovic sangat gembira kerana kini beliau boleh menggunakan kereta itu ke sana dan ke sini termasuk untuk membeli belah. Kereta Formula 1 beliau dilengkapi dengan sistem stereo dan memiliki 2 tempat duduk sahaja.

Lulus PUSPAKOM cawangan Sarajevo

Kereta ini sangat laju walaupun tidak selaju Formula 1 sebenar. Kereta beliau boleh memecut sehingga 117 batu per jam ataupun 250 km/j. Laju kan?

“Saya gembira kerana kereta ini lulus untuk digunakan di jalanraya (road legal). Saya tak mampu memiliki kereta Formula 1 sebenar dan ini pun sangat memuaskan hati.”

“Walaupun kereta ini boleh dipandu sehingga 117 batu sejam, saya tetap menghormati had kelajuan di jalanraya.”

“Selepas kejayaan ini, saya bertekad mahu menghasilkan lebih banyak perkara yang hebat lagi selepas ini.”

Beliau kini digelar, Michael Schumacher Bosnia. Kuzmanovic memberitahu yang beliau dalam proses untuk berhijrah ke Kanada dan akan membawa sekali kereta itu bersamanya.

Impian beliau kini, mahu meyakinkan mana-mana syarikat pembuatan kereta untuk menghasilkan kereta Formula 1 yang boleh digunakan di jalanraya awam secara besar-besaran.

Beliau yakin ramai lagi orang di luar sana yang memiliki impian seperti beliau iaitu mahu memandu kereta Formula 1 di jalanraya.

Satu usaha yang pernuh inovasi. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Sumber

1. Jalopnik

2. IB Times

Baca yang lain

Tuchel Tuduh Pengadil Memihak Arsenal

Thomas Tuchel menuduh pengadil sebagai berat sebelah memihak kepada Arsenal. Ini selepas beberapa keputusan pengadil dianggap memihak Arsenal dan tidak kepada Bayern.