Terlepas Kesebelasan Utama Sejak 13 Ogos, Southgate Minta Maguire Jangan Risau Tentang Kedudukannya Di England

Harry Maguire sudah gagal menjadi pemain kesebelasan utama dalam 4 perlawanan berturut turut. Dan terbaru dalam aksi berdepan Arsenal, Maguire sekali lagi masuk sebagai pemain simpanan.

Ada banyak teori menyatakan bahawa kapten Manchester United itu bakal kehilangan tempat dalam pasukan Three Lions di Piala Dunia 2022 jika dia berterusan terpinggir.

Dengan Piala Dunia akan berlangsung pada hujung tahun ini, jadi, tidak ada penyelesaian untuk Maguire mencari pasukan lain secara pinjaman pada pertengahan musim.

Harry Maguire kali terakhir dimasukkan dalam senarai permulaan Man United pada 13 Ogos lalu, ketika Man United tewas 0-4 kepada Brentford.

Sejak itu, Harry Maguire bukan lagi pilihan pertama jurulatih Red Devils, Erik ten Hag.

Dalam aksi di Old Trafford menentang Arsenal, Harry Maguire tidak memulakan permainan dan hanya masuk pada minit ke-80.

Masa bermain yang tidak teratur boleh mengakibatkan Harry Maguire dianggap mungkin akan disisihkan daripada pasukan Three Lions.

Walaubagaimanapun, pengurus England, Gareth Southgate sudah menghubungi Maguire dan meminta pemain itu kekal tenang. Kerana tempatnya dalam pasukan utama Three Lions ataupun kesebelasan utama masih terjamin.

Southgate memastikan kedudukan Harry Maguire dalam pasukan kebangsaan selamat dan meminta pemain itu hanya perlu fokus kepada aspek kecergasannya di Man United tanpa perlu tertekan memikirkan untuk merebut kesebelasan utama.

Menurut Southgate, pemain itu sentiasa layak mendapat tempat dalam skuad England kerana sumbangannya selama ini, serta peranannya sebagai pemain bek utama Three Lions sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini bukan kali pertama Southgate menyatakan kepercayaannya kepada Harry Maguire.

Walaupun Maguire musim lalu dianggap beraksi di bawah prestasi yang diharapkan, namun Southgate sudah mengumumkan bahawa hanya Maguire sahaja pemain Manchester United ketika itu yang sudah selamat tempatnya dalam pasukan England. Dan beberapa pemain lain lagi termasuk Jadon Sancho dan Marcus Rashford masih tidak selamat.

Southgate malah memberikan amaran kepada Rashford agar meningkatkan lagi prestasinya jika mahu bermain di Piala Dunia bersama dengan England.

Selain Rashford, nama Sancho juga turut menjadi perhatian. Pemain tersebut beraksi cemerlang pada akhir musim lalu, walaupun permulaan yang sukar bersama Man United.

Sancho mendapat rentaknya semula di atas padang, meskipun ianya bukan sumbangan terbaiknya.

Pada masa itu Southgate menjelaskan bahawa, hanya Harry Maguire sahaja nama pemain Manchester United yang sudah terjamin tempatnya.

Southgate berkata: “Mereka [Sancho dan Rashford] ada banyak lagi perkara yang perlu mereka lakukan untuk kembali semula ke dalam skuad ini.”

“Buat masa ini, kita cuma ada seorang [Harry Maguire] sahaja yang berada dalam pasukan kita.”

Walaupun prestasi Harry Maguire bersama Man United seringkali dikritik, namun ketika bersama dengan Three Lions beliau sentiasa menunjukkan aksi lebih baik dan antara pemain yang konsisten menjadi pilihan Southgate.

England berada dalam Kumpulan B pada Piala Dunia 2022 bersama Wales, Iran dan Amerika Syarikat. Perlawanan sulung mereka menentang Iran pada 21 November 2022.

Berdasarkan situasi semasa, Maguire dijangka akan memainkan peranan penting dalam kempen Europa League yang akan bermula tidak lama lagi.

Dan itu bermakna, Maguire perlu menggunakan peluang tersebut sebaik baiknya untuk merebut semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

Baca yang lain