Bek tengah Paris Saint-Germain (PSG), Sergio Ramos akhirnya meluahkan perasaannya tentang kegagalannya memasuki senarai pasukan untuk ke Piala Dunia 2022.
Ramos menyatakan bahawa dia mengakui sukar untuk menerima hakikat dia terlepas daripada skuad 26 pemain Sepanyol untuk Piala Dunia FIFA 2022.
Ramos, 36, gagal berada dalam senarai pemain pilihan Luis Enrique ke Qatar untuk bersaing merebut trofi paling terkenal dalam bola sepak antarabangsa.
Bek tengah PSG itu telah kembali cergas sepenuhnya pada kempen ini daripada kecederaan betis jangka panjang yang menyaksikan dia tersisih untuk sebahagian besar musim lalu.
Dia telah membuat 13 penampilan dalam semua pertandingan, menjaringkan dua gol dan membantu PSG mengekalkan lapan clean sheet.
Ada yang membayangkan Enrique akan memilih Ramos kerana pengalaman dan kepakarannya dalam bola sepak antarabangsa. Dia boleh menjadi tambahan berguna ketika di kem pasukan untuk membantu Enrique membimbing pemain muda.
Bekas kapten Real Madrid itu telah memperoleh 180 caps antarabangsa untuk Sepanyol, menjaringkan 23 gol, dan telah bermain dalam empat kejohanan Piala Dunia FIFA (2006, 2010, 2014, dan 2018).
Ramos juga memenangi pertandingan dengan La Furia Roja pada 2010, namun Enrique mengenepikan pemain PSG itu.
Walaupun sudah lama berkarier bersama Sepanyol, namun pemain itu enggan bersara daripada bola sepak antarabangsa. Dia masih mahu terlibat!
Pemain Sepanyol itu kini mengulas mengenai ketiadaannya daripada skuad yang menuju ke Qatar, dengan catatan di akaun Instagramnya:
“Musim lalu adalah sukar, disebabkan kecederaan dan penyesuaian dengan kelab baru dan bandar yang berbeza. Saya bekerja dengan sepenuh jiwa dan raga untuk pulih dan merasai diri saya semula, dipacu oleh matlamat dan ilusi yang sentiasa ditetapkan dan disasarkan.”
“Nasib baik saya boleh katakan musim ini saya berasa seperti diri saya semula dan saya dapat menikmati bola sepak, kelab saya dan bandar yang hebat seperti Paris.”
“Piala Dunia? Sudah tentu, ia adalah salah satu impian besar yang perlu saya penuhi. Akan menjadi yang ke-5 tetapi malangnya saya perlu menontonnya dari rumah saya.”
“Sukar, tetapi setiap hari matahari terbit semula. Benar-benar tiada apa yang akan berubah tentang saya. Baik mentaliti mahupun semangat saya mahupun keteguhan saya mahupun usaha dan dedikasi 24 jam memikirkan tentang bola sepak.”
Sebelum ini Luis Enrique sudah memberitahu sebab utama dia tidak memilih Sergio Ramos ke dalam skuad Piala Dunia 2022. Kata beliau, Ramos hanya baru bermain banyak minit dalam beberapa bulan ini.
Selain itu beliau mahu memanggil pemain pemain yang benar benar sudah serasi dengan pasukan yang dia bentuk ketika ini.