Terengganu memintas Kedah untuk berada di tangga ke-2 apabila menewaskan Kuala Lumpur City 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Jaringan tunggal dari Makan Konate pada 2 minit terakhir memberi kemenangan ke-5 kepada skuad bimbingan Nafuzi Zain.
Kedah akan turun menentang Perak pada malam ini dan jika Aidil Sharin boleh memastikan kemenangan pasukan Kedah, Kedah akan kembali berada di kedudukan ke-2 Liga Super.
Secara keseluruhan Terengganu menguasai pada 10 minit pertama dan 5 minit terakhir di kedua-dua babak perlawanan. Kuala Lumpur City mendominasi perlawanan selepas memasuki minit ke-10.
Larian bijak Faisal Halim yang melorongkan bola kepada Hakimi, percubaan melambung David Da Sylva, dan percubaan dari luar kotak penalti pada 10 minit awal menunjukkan Terengganu pasukan lebih garang.
Giliran Kuala Lumpur City hadir selepas itu melalui rembatan Josue dari dalam kotak penalti, berjaya dihadang oleh pertahanan Terengganu. Larian menarik dari Paulo Josue yang melorongkan bola kepada Romel Morales pula hanya menyentuh tiang gol Terengganu.
Selepas percubaan tersebut Kuala Lumpur meningkat menjadi pasukan lebih baik. Gerakan 1-2 diantara Hadin Azman dan Morales menyaksikan satu percubaan berjaya dilepaskan.
Kuala Lumpur sekali lagi melakukan serangan yang menghasilkan situasi 3 lawan 3 namun pertahanan Terengganu berjaya menghalang percubaan dari Hadin.
Tidak terhenti disitu, tandukan dari pemain center back Kuala Lumpur City, Giancarlo singgah di palang.
Terengganu berjaya mengekang asakan kuat hampir 30 minit dan Kuala Lumpur City perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak menterjemahkan banyak peluang menjadi jaringan.
Kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.
Seperti babak pertama, kronologi perjalanan separuh masa ke-2 hampir sama. Terengganu terlebih dahulu menguasai serangan. Gerakan kemas dari Hakimi menyaksikan penyerang kiri melepaskan percubaan tepat ke arah Kevin Ray Mendoza.
Selepas 15 minit permainan, Kuala Lumpur menguasai majoriti permainan dan banyak melakukan serangan.
Danial Sang Ting meraih peluang terbaik apabila sepakan percuma Josue tepat ke kepalanya tanpa dijaga oleh pemain lawan. Tandukannya seidikit tersasar di tepi.
Tandukan dan rembatan dari Indra pada minit ke-76 dan ke-79 mewarnai penguasaan Kuala Lumpur City yang bermula pada minit ke-59.
Kemasukan Rahmat Makasuf ternyata menjadi keputusan tepat apabila pemain itu kerap memberi ancaman. Dia melakukan asakan kuat di bahagian kanan dan tengah pasukan, mendapat 1 sepakan percuma yang gagal disudahkan oleh Hakimi.
Terengganu menekan kawasan final third dengan agak kuat pada 5 minit terakhir dan Makan Konate berjaya melepas 1 percubaan cemerlang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Mendoza.
Tiada apa yang salah dari Mendoza kerana percubaan itu terlalu cantik, laju dan sukar untuk diselamatkan oleh mana-mana penjaga gol.
Terengganu meraih 3 mata berharga menentang pasukan yang lebih baik darinya dalam perlawanan itu.
5 Perkara menarik boleh digariskan dalam perlawanan itu.
1. PERTAHANAN TERENGGANU CEMERLANG
Kuala Lumpur City banyak melakukan percubaan dari dalam dan luar kotak penalti. Beberapa percubaan berjaya dihadang oleh pertahanan Terengganu, jika perkara ini tidak berlaku Kuala Lumpur City pasti akan mendahului perlawanan dan keputusan akan menjadi lebih sukar buat Terengganu.
Pada minit ke-12 percubaan Paulo Josue dihadang, minit ke-32 -dalam situasi 3 lawan 3- sekali lagi percubaan dari Josue terkena pertahanan Terengganu. 3 minit selepas itu giliran percubaan Hadin pula dihadang.
2. DAVID DA SYLVA BERGELUT
Pertahanan Terengganu cemerlang, Nasir Basharuddin kuat membantu unit pertahanan dan Makan Konate sentiasa terlibat dengan serangan pasukan disamping Dechi Marcel berada di kedua-dua peranan itu. Hakimi Abdullah dan Faisal aktif mengerakkan serangan di bahagian sayap namun Da Silva bergelut sepanjang perlawanan.
Prestasi di separuh masa pertama agak mengecewakan. Dia sering kehilangan bola apabila berada dikakinya, hantarannya sering dipintas oleh lawan. Da Sylva juga tidak banyak berlari dan tidak berada di dalam ruang betul ketika Konate, Faisal dan Hakimi melakukan gerakan.
3. KAD KUNING FAISAL HALIM (GANTUNG)
Pada minit ke-36, terdapat insiden pergaduhan kecil diantara Faisal dan Hadin. Ia berlaku apabila Hadin terpijak kaki Faisal dan pemain Terengganu itu cuba membalas dengan satu sepakan di belakang Hadin.
Kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Zamzaidi Katimin.
Mengikut rekod tidak rasmi, Faisal sudah mempunyai 2 kad kuning. Faisal dilayang kad kuning pada LS4 ketika menentang Melaka United dan pada LS8 bertemu kedah.
Kad kuning ke-3 semalam membolehkannya digantung pada perlawanan seterusnya. Ia adalah perlawanan paling penting pasukannya, bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
4. KEDUDUKAN JOSUE & MORALES AGAK KEBAWAH
Banyak gerakan serangan Kuala Lumpur City terbantut apabila kedudukan 2 penyerang mereka berada agak rendah. Hantaran kepada Morales dan Josue terputus kerana tiada lagi pemain berada di kawasan final third. Kedua-dua penyerang ini menerima bola terlalu awal di bahagian middle third.
Situasi tersebut melihat mereka terpaksa menangguhkan serangan dan kembali kebahagian bawah semula atau ke sisi padang. Namun perkara itu tidak menjadi masalah utama, cuma ia perlu diperbaiki oleh Bojan Hodak.
Mungkin kerana Josue dan Morales bukanlah penyerang tulen yang digunakan oleh Hodak untuk berfungsi di posisi tersebut.
5. PERLAWANAN MENARIK & BERBALOI DITONTON
Perlawanan ini bukanlah satu perlawanan yang melihat kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi mempunyai skrip yang menarik.
Terengganu baik pada 10 minit pertama selepas itu giliran Kuala Lumpur City menjadi baik pada 30 minit berikutnya. Pada 5 minit terakhir Terengganu pula menjadi baik.
Pada aksi separuh masa pertama 10 minit pertama dan terakhir menjadi milik Terengganu, di tengah masa permainan milik pasukan Kuala Lumpur City.
Peminat mempunyai masa yang lebih panjang untuk melihat fasa terbaik kedua-dua pasukan untuk menilai unit serangan dan bertahan.
RUMUSAN
Kuala Lumpur City mempunyai lebih bayak peluang untuk menjaringkan gol. Kuala Lumpur City juga lebih banyak menguasai perlawanan. Terengganu cuma mengancam pada awal dan akhir di kedua babak.
Kedua-dua pasukan berhak mendapat mata, namun percubaan padu memisahkan kedua-dua pasukan ketika perlawanan hanya berbaki 2 minit.