Thomas Muller Kini Ada Pingat Emas Olimpik 2024 Di Rumahnya

Legenda Bayern Munich dan Jerman Thomas Müller kini ada pingat emas di rumahnya tanpa perlu bertanding di Paris 2024. Pemain legenda Bayern Munich dan Jerman itu sedang menikmati kejayaan Olimpik yang indah.

Bagaimana dia boleh ada emas? Sebenarnya emas itu hadir daripada kuda peliharaannya.

Muller adalah pemilik bersama kuda bernama Checker yang ditunggang oleh Christian Kukuk, pada Sukan Olimpik Paris 2024. Dan gandingan tersebut berjaya memenangi emas dari Paris 2024.

Checker adalah kuda yang berusia 14 tahun, dan Muller adalah tuan kepada kuda itu. Muller memang seorang pencinta kuda dan suka ekuestrian.

Pelaburan Muller selama bertahun tahun untuk Checker memberikan pulangan luar biasa. Apabila kuda itu membawa pulang emas di Olimpik dari gelanggang di Versailles pada hari Selasa bersama dengan Kukuk.

Checker kini menjadi sebahagian daripada penyumbang emas dalam sejarah sukan Olimpik untuk negara Jerman.

“Ia adalah emas – kami adalah pemenang Olimpik!”, tulis legenda Bayern itu menulis di akaun Instagramnya ketika menyambut berita itu. Dia menerbitkan video yang mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Kukuk dan Checker sambil turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih baharu Vincent Kompany kerana mengadakan latihan pada sebelah petang supaya Müller dapat menonton aksi kudanya di TV pada waktu pagi.

“Terima kasih kepada Coach kerana mengadakan latihan di sebelah petang, ini membolehkan saya menyaksikan aksi kuda saya pada waktu sebelah pagi,” tegas Muller sambil berseloroh.

Muller tidak mahu terlepas aksi Checker dan Kukuk pada Olimpik kali ini. Dan sentiasa mendoakan kejayaan kedua dua pasangan tersebut.

Muller turut mengucapkan terima kasih kepada Kukuk yang memilih Checker sebagai kuda tungganggannya dan membawa kuda itu bersamanya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bersyukur dengan apa yang telah anda lakukan bersama Checkers sejak setengah tahun lalu. Saya sangat teruja. Biarkan diri anda pergi dan raikan sekarang,” kata Müller dalam video ucapan tahniahnya kepada Kukuk.

Pelumba yang memenangi pingat emas itu mengucapkan terima kasih kepada Thomas Muller dalam temu bual bersama wartawan di Perancis selepas kejayaannya, berkata pemilikan bersama Müller adalah penting untuk membolehkannya terus bersaing di peringkat tertinggi bersama dengan kuda tersebut.

Kukuk menghargai Muller sebagai pemilik dan tuan kuda yang sangat baik di mana dia sanggup melabur banyak untuk Checker termasuk melantik jurulatih terbaik untuk kuda itu.

Semua itu antara bahagian penting dalam membentuk seekor kuda yang berjaya menjadi juara olimpik.

Sebelum ini Muller pernah mendedahkan bahawa minat dia ke atas kuda daripada isterinya. Dia mulai mempelajari ilmu tentang haiwan tersebut. Isterinya memang seorang yang rapat dengan kuda.

Isterinya Lisa adalah seorang penunggang kuda profesional. Muller pada mulanya mati kutu untuk berinteraksi dengan haiwan tersebut. Dia tidak tahu cara menjinakkan kuda tersebut sehingga ia boleh mendengar arahan daripada manusia.

Muller berkata: “Kuda adalah makhluk yang sangat ramah, mereka adalah rakan kongsi dan sahabat yang memancarkan ketenangan bersama dengan kekuatan dan keanggunan.”

Muller seringkali berkongsi video dia berada di kawasan kandang kudanya. Malah pernah berseloroh menamakan kuda kuda itu dengan nama rakannya.

Bersama dengan 12 kejuaraan Bundesliga yang menakjubkan, enam Piala DFB, dua Liga Juara-Juara UEFA dan kemenangan Piala Dunia, Müller kini mempunyai sesuatu yang agak berbeza untuk diraikan sebelum dia berusaha menambah jumlah kejayaan itu pada musim 2024/25 akan datang.

Muller sudah mengumumkan dia bersara daripada peringkat antarabangsa. Dan fokusnya kini adalah untuk Bayern Munich. Dia akui peranannya di padang selepas ini mungkin akan lebih terhad.

Namun Muller sudah berjanji akan memberikan aksi terbaik dan sentiasa sedia menyumbang untuk pasukan apabila diperlukan.